Jumaat, 28 Ogos 2009

UJIAN PENULISAN BAHAGIAN B

UJIAN PERCUBAAN 4


UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2009

BAHASA MELAYU

Soalan 1

Pada cuti semester yang lalu, pelbagai aktiviti yang menarik telah diaturkan oleh keluarga anda. Perihalkan mengenai salah satu aktiviti tersebut.

ATAU

Soalan 2

Anda mempunyai seorang kawan karib. Sejak akhir-akhir ini, kawan anda itu selalu termenung dan pelajarannya turut merosot. Apakah tindakan anda untuk mengatasi masalah kawan anda itu.

ATAU

Soalan 3

Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan pihak sekolah.
Tulis faedah-faedah mengikuti lawatan tersebut.


KERTAS SOALAN TAMAT



Contoh jawapan 1

Hatiku melonjak-lonjak riang, tidak sabar rasanya menunggu harinya. Begitulah perasaanku apabila diberitahu oleh ayah bahawa kami akan bercuti di sebuah pulau peranginan. Di mana ya? Ayah masih berahsia kepada kami.

Lamunanku tersentak apabila mendengar suara ayah, “Turun!...kita dah sampai ke jeti.” Lumut, perkataan yang tertulis di pintu masuk ke jeti. Sahlah sekarang, bahawa ayah akan membawa kami ke Pulau Pangkor. Aku menjerit. “Yahoo!…” Ayah dan ibu tersenyum melihat gelagat kami tiga beradik.

Selepas setengah jam, kami pun sampai ke calet tempat kami menginap. Ayah menyewa sebuah kereta lalu membawa kami bersiar-siar mengelilingi pulau. Kami dapat melihat pantai yang putih bersih dan laut yang membiru. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pokok-pokok kelapa melambai-lambai, seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Pada sebelah malam, ayah membawa kami ke sebuah restoran di tepi laut untuk menikmati makanan laut yang sungguh segar dan enak. Kami makan dengan sepuas-puasnya. Gulai ketam, udang, sotong dan ikan bakar menjadi hidangan yang cukup istimewa sehingga menjilat jari.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami sudah melangkah ke gigi air tidak jauh dari calet penginapan kami. Kami bermandi-manda di air yang jernih dan sejuk. Saya dan adik membina istana pasir. Abang pula mengutip kulit-kulit siput. Ayah telah merakamkan segala pergerakan kami dengan kamera digitalnya untuk dijadikan kenangan.

Selepas bercuti di situ selama empat hari, kami pun berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami singgah di gerai untuk membeli sedikit cenderahati. Akhirnya, kami pulang dengan membawa seribu kenangan manis yang tidak mudah kami lupakan.


Contoh Jawapan 2

Perubahan sikap Herlina kawan karibku ini dapat aku rasakan sejak ayahnya meninggal dunia. Herlina kelihatan murung dan kurang bersemangat untuk belajar lantaran itu, tidak hairanlah jika prestasi pelajarannya semakin merosot.

Aku dan rakan-rakan berusaha menasihati Herlina supaya sentiasa berdoa kepada Allah semoga diberi ketabahan dan ketenangan. Aku sering mengajaknya berbual-bual dan berbincang. Aku dan rakan-rakan akan memastikan Herlina sentiasa diberi perhatian setiap hari. Namun, sikapnya tidak banyak berubah.

“Herlina perlu menjadikan apa yang telah berlaku sebagai satu cabaran. Sebagai anak sulung, kamu perlu berjaya dengan cemerlang untuk membantu keluarga”, kata-kata Cikgu Zamrud memberi perangsang kepada Herlina apabila melihat prestasi akademik Herlina semakin merosot dalam ujian baru-baru ini.

Sebagai seorang kawan karib, aku aku tidak patah semangat, aku terus berusaha mendampingi Herlina. Aku telah mengajaknya menemui kaunselor sekolah Puan Mustika Aman. Nampaknya, daripada beberapa pertemuan yang telah diaturkan, telah mula memberikan keyakinan kepada Herlina.

Selain itu, aku juga berusaha mengajak Herlina ke rumahku untuk berbincang tentang pelajaran. Kami sekeluarga menganggap Herlina seperti keluarga kami sendiri. Kami melayannya dengan mesra dan pada hujung minggu aku dan keluarga akan menziarahi keluarga Herlina atau pergi berkelah bersama-sama.

Setelah empat bulan berlalu, kini Herlina telah kembali ceria dan dia begitu yakin untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Aku turut gembira dengan perubahan Herlina dan guru-guru di sekolah turut memberi perangsang kepadanya untuk berjaya. Aku sungguh bangga kerana telah dapat membantunya.
.
Contoh Jawapan 3

Jauh berjalan luas pandangan ialah ungkapan yang mengambarkan seseorang akan memperolehi banyak pengalaman jika banyak berjalan atau mengikuti lawatan.

Justru itu, lawatan merupakan satu aktiviti yang sangat berfaedah kepada para pelajar. Dengan menyertai aktiviti tersebut seseorang pelajar akan memperolehi banyak maklumat. Contonya jika melawat ke Melaka, kita akan dapat melihat banyak tempat-tempat bersejarah.

Selain itu, semangat patriotisma lebih mudah disemai sekiranya kita melawat ke tempat-tempat bersejarah. Contohnya jika melawat Memorial Tun Abdul Razak, kita dapat mengetahui perjuanagan bekas Perdana Menteri Malaysia.

Setelah penat belajar, melancong merupakan cara terbaik bagi seseorang untuk merehatkan fikiran dan tubuh badan. Fikiran akan lebih tenang dengan menyertai aktiviti lawatan. Kita akan lebih bertenaga dan bersemangat.

Industri pelancongan, di negara kita memerlukan sokongan daripada orang ramai terutamanya rakyat tempatan. Dengan pelbagai aktiviti lawatan akan mendorong lebih banyak lagi hotel-hotel dan rumah rehat dibina. Dengan itu akan dapat meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi negara.

Kesimpulan daripada pernyataan di atas jelaslah kepada kita bahawa lawatan sememangnya banyak mendatangkan faedah. Sama ada kepada diri sendiri atau kepada negara. Janganlah kita jadi seperti katak di bawah tempurung.

Isnin, 24 Ogos 2009

UJIAN PENULISAN BAHAGIAN B

UJIAN PERCUBAAN 3

UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2009

BAHASA MELAYU
Ujian Penulisan


Soalan 1

Unit pakaian seragam yang kamu sertai akan mengadakan perkhemahan. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis surat kepada guru besar memohon menggunakan peralatan sukan untuk kegunaan semasa perkhemahan tersebut.
Tulis surat kamu itu selengkapnya.

ATAU
Soalan 2

Persatuan yang kamu wakili telah terlibat dalam satu aktiviti gotong-royong sempena kempen kebersihan peringkat sekolah. Sebagai setiausaha persatuan itu, kamu diminta menyediakan satu laporan mengenai aktiviti tersebut.
Tulis laporan itu selengkapnya.

ATAU

Soalan 3

Sebaik sahaja melangkah keluar pintu pagar sekolah kamu terlihat dua orang murid sedang bergaduh. Apakah yang sepatutnya kamu lakukan untuk menghalang mereka daripada bergaduh itu.
Tulis tindakan kamu itu selengkapnya.

KERTAS SOALAN TAMAT




Jawapan 1

Persatuan Pengakap,
Sekolah Kebangsaan Mempaga 1,
28000 Bentung,
Pahang Darul Makmur.


Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Mempaga 1,
28000 Bentung,
Pahang Darul Makmur. 25 MEI 20009
Tuan,

Memohon Kebenaran Menggunakan Peralatan Sukan dalam Aktiviti Perkhemahan Tahunan Persatuan.

Sukacita dimaklumkan perkara di atas dirujuki.

2 Persatuan Pengakap sekolah ini akan mengadakan perkhemahan tahunan di Hutan Lipur Bukit Tinggi pada 20 Julai 2009. Pelbagai aktiviti permainan telah dirancang dalam perkhemahan tersebut. Sehubungan itu, pihak kami memohon meminjam pelbagai peralatan sukan untuk tujuan tersebut.

3 Berikut ialah senarai peralatan yang kami perlukan;

1. 10 biji bola getah saiz 3
11. 10 biji bola getah saiz 1
111. 10 buah sekital
1V. 30 gelong rotan
V. 20 batang kayu hoki

4 Pihak persatuan akan memastikan semua peralatan yang digunakan akan dijaga dengan baik. Kami juga akan memulangkannya selepas aktiviti tersebut berlangsung.

5 Pihak persatuan mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama dan sokongan yang diberikan oleh pihak tuan untuk menjayakan aktiviti tersebut.

Sekian, terima kasih.

‘Murid Cemerlang, Guru Gemilang, Sekolah Terbilang’

Yang menjalankan tugas,

( FARHAN BIN MARHAN)
Sstiausaha,
Persatuan Pengakap,
SK. Mempaga 1,
Bentung,
PAHANG DARUL MAKMUR.



Jawapan 2

LAPORAN GOTONG-ROYONG
PERSATUAN BULAN SABIT MERAH
SEKOLAH KEBANGSAAN JERANTUT

Pada 18 Jun 2009, Persatuan Bulan Sabit Merah telah mengadakan gotong-royong sempena kempen kebersihan bagi tahun 2009. Aktiviti ini melibatkan beberapa persatuan dan kelab antaranya ialah Persatuan Pengakap, Puteri Islam, dan Kadet Remaja Sekolah.

Kami berkumpul di padang sekolah pada pukul 8.00 pagi untuk mendengar taklimat daripada Cikgu Roslan. Setelah dibahagi-bahagikan tugas, kami mula bergerak ke kawasan masing-masing dengan pelbagai peralatan seperti kain buruk, baldi, penyapu, dan berus.

Ahli-ahli Persatuan Bulan Sabit Merah telah ditugaskan membersihkan longkang di hadapan dan belakang sekolah, menyiram pokok-pokok bunga, membersihkan tandas. Kumpulan kami diawasi oleh Cikgu Fazrina. Beliau juga turut membantu.

Pada pukul 10.00 pagi kami berehat. Semua pelajar berkumpul di kantin. Kami telah diberi sebungkus nasi lemak dan segelas air sirap. Kami difahamkan jamuan gotong-royong ini telah ditaja oleh PIBG.

Selepas rehat, kami menyambung semula kerja-kerja yang masih belum disiapkan. Setelah itu, ahli-ahli persatuan telah diarahkan untuk membersihkan bilik rawatan. Antara kerja-kerja yang dilakukan ialah mengelap cermin, memasang cadar dan sarung bantal baru, memasang lagsir, dan memasang tikar getah.

Pada pukul 12.00 tengah hari para peserta gotong-royong berkumpul di kantin untuk menikmati jamuan makan tengah hari. Sebelum bersurai Tuan Guru Besar Encik Talib Ahmad telah menyampaikan ucapan. Beliau menyeru seluruh warga sekolah agar mengamalkan budaya ‘ Sentiasa Bersih’


Disediakan oleh, 12 JULAI 2009

Nasihaha Arbain
(NASEHAHA BINTI ARBAIN)
Setiausaha Persatuan Bulan Sabit Merah,
Sekolah Kebangsaan Jerantut,
Jerantut,
Pahang Darul Makmur.


Jawapan soalan 3

Sebaik sahaja melangkah keluar pintu pagar sekolah aku terlihat dua orang murid sedang bergaduh. Beberapa orang murid berlarai menghampiri mereka. Mungkin mereka ingin melihat pergaduhan itu.

Aku bergegas menghampiri mereka sambil menjerit, “Jangan bergaduh!….” Jeritanku tidak dihirukan. “Damin, Jalud sudahlah jangan bergaduh!…,”aku menjerit lagi. Aku menarik tangan Damin. Aku cuba memisahkan mereka. Rakan-rakanku yang kebetulan berada di situ menarik tangan Jalud.

“Jalud yang memulakan dulu!,” Damin bersuara. “Dia tuduh aku mengoyakkan bukunya. Aku pun bagi sebiji penumbuk!,”kata Jalud berang. “Sudahlah Jalud, Damin, pasal buku koyak pun kamu hendak bergaduh” Aku cuba mententeramkan mereka.

Seketika kemudian setelah aku menasihati mereka, kemarahan mereka mulai reda. “Kita, telah berkawan sejak tahun satu lagi, sepatutnya perkara kecil seperti ini janganlah jadikan alasan untuk bergaduh, malu nampak adik-adik kita. Macam samsing!...” kataku.

Setelah puas aku berkhutbah Jalud meghulurkan tangan untuk bersalam dengan Damin. Damin menyambut salam Jalud dengan berat hati, mungkin dia masih marah lagi. Aku berasa lega melihat mereka berdamai.

Sebelum kami berpisah balik ke rumah masing-masing, aku mengajak mereka datang ke rumahku untuk membincangkan aktiviti perkhemahan yang akan kami sertai tidak lama lagi. Aku tak sangka dapat mendamaikan mereka. “Ada bakat jadi jadi kaunselor,” bisik hatiku.

Selasa, 18 Ogos 2009

UJIAN BAHAGIAN B

UJIAN PERCUBAAN 2

BAHASA MELAYU
Ujian Penulisan



SOALAN PILIHAN BAHAGIAN B


1 Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu diminta menulis surat kepada guru besar untuk meminta kebenaran mengadakan lawatan sambil belajar.

Tulis surat kamu selengkapnya.

ATAU

2 Sebelum cuti akhir tahun bermula, kelas kamu akan mengadakan jamuan perpisahan. Sebagai ketua kelas kamu dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis jamuan tersebu.

Tuliskan ucapan kamu itu selengkapnya.

ATAU

2 Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka…

Lengkapkan cerita di atas.


KERTAS SOALAN TAMAT



Contoh jawapan 1

Khilawati binti Haji Mohamad Nasir,
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,

Selangor Darul Ehsan. 25 JUN 2009

Tuan,

Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Balai Berita

Sukacita dimaklumkan, Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini bercadang akan mengadakan lawatan ke Balai Berita, Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu, saya,memohon kebenaran mengadakan lawatan tersebut.

2. Tujuan lawatan diadakan adalah untuk mendedahkan ahli-ahli persatuan tentang cara-cara penerbitan surat khabar khususnya akhbar DIDIK. Pengalaman tersebut diharapkan akan dapat membantu ahli-ahli persatuan menerbitkan buletinnya sendiri.

3. Kami bercadang untuk mengadakan lawatan itu pada hari Sabtu bersamaan dengan 26 Julai 2009. Rombongan ini dijadualkan bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 pagi dan balik pada pukul 3.00 petang.

4. Lawatan ini akan disertai oleh 30 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat persatuan ini iaitu Cikgu Hilal bin Mohamad Nor dan Cikgu Jamilah binti Bidin.

5. Saya berharap pihak tuan tidak keberatan memberikan kebenaran kepada persatuan ini untuk mengadakan lawatan tersebut. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Khilawati Mohamad Nasir
…………………………………
(KHILAWATI BINTI HAJI MOHAMAD NASIR)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,








Contoh jawapan 2


Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis. Tuan Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi kami di sekolah ini. Tidak dapat digambarkan betapa pilunya hati kami untuk meninggalkan sekolah ini. Maklumlah sudah enam tahun kami belajar di sekolah ini.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh tersebut, tentulah banyak ilmu dan pengalaman serta kejayaan yang kami perolehi. Semua ini adalah hasil kerja keras guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik kami menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang telah banyak membimbing kami. Kami tidak mampu membalas jasa cikgu. Semoga Allah akan membalasnya.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga , kami meminta maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang kami belajar di sekolah ini.Segala yang baik itu akan kami jadikan teladan dan yang buruk itu kami jadikan sempadan.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah kepada guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita bertemu kembali.

Sekian, terima kasih.


Contoh jawapan 3

Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka ayah terdengar bunyi pintu dibuka ‘krek……’ . “Siapa di dapur!” ayah bersuara. “Kali ini nahas aku,” bisik hati kecilku.

Aku terus menuju ke bilik air. Belum sempat aku membuka pintu, ayah telah tercegat di depanku. “Zali pergi kemana tadi? Kenapa tak beritahu ayah dan ibu? Kenapa?!…” Aku terpaku, terkunci mulutku untuk berkata-kata, membisu seribu bahasa.

Ayah terus berkhutbah. “Lain kali kalau hendak pergi kemana-mana beritahulah kepada ayah atau ibu. Budak baik patut meminta kebenaran ibu bapa sebelum keluar rumah supaya tidak menimbulkan kerisauan kepada orang tua”.

“Ayah dah tahu segala-galanya, tak payahlah Zali hendak beri alasan lagi. Tadi kawan ayah telefon, nampak Zali dengan kawan-kawan sedang melepak di pasaraya”. Ayah terus menyerangku.

Kini giliran ibu pula, “Zali memang suka membuang masa. Bukankah lebih baik Zali duduk di rumah mengulangkaji pelajaran, lagipun UPSR sudah hampir benar. Zali ingat, mudah untuk mendapat 5A? Pergi mandi! Jangan buat lagi”.

Selepas mendengar kata-kata ayah dan ibu, aku pun mengakui kesalahan aku dan segera meminta maaf kepada ayah dan ibu. Mereka tersenyum lalu mengusap kepala aku. Kini, aku telah insaf. Aku berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu lagi.




Cadangan Aktiviti di atas:

• Garisi isi penting yang terdapat dalam contoh karangan yang diberi.
(3 minit untuk karangan)
• Tukarkan maklumat contoh karangan yang diberikan dengan maklumat anda.
( 5 minit untuk sebuah karangan )



SELAMAT MENCUBA
SELAMAT BERJAYA

Isnin, 10 Ogos 2009

Ujian Bahagian B

Percubaan 1


UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2009

BAHASA MELAYU
Ujian Penulisan

Soalan bahagian B

1 Sekolah kamu telah mengadakan sukan tahunan. Tulis catatan mengenai sukan tersebut.



2 Seorang kawan kamu berjaya dalam satu pertandingan atau peraduan. Tuliskan sepucuk surat kepadanya untuk mengucapkan tahniah.



3 Kamu dan rakan-rakan sedang bermain bola. Tiba-tiba seorang rakan kamu tercedera.
Ceritakan pengalaman kamu menghadapi peristiwa tersebut.


KERTAS SOALAN TAMAT


Contoh Jawapan:

Soalan 1

Sabtu, 29 Mei 2009

8.00 pagi - Aku tiba di sekolah. Ramai rakan-rakanku telah tiba lebih awal. Kami terus berkumpul di rumah sukan masing-masing untuk mendengar taklimat daripada ketua rumah dan guru rumah.

8.15 pagi - Para tetamu datang berduyun-duyun, mula memenuhi khemah-khemah yang disediakan. Mereka, memberikan tepukan dan perangsang kepada murid-murid yang telah bersiap-sedia memulakan permainan.

8.45 pagi - Acara sukan bermula dengan acara-acara sukanika murid pra sekolah dan murid tahap satu. Antara acara yang menarik ialah acara tiup belon dan rebut hadiah murid pra sekolah. Pelbagai aksi yang melucukan dapat disaksikan.

10.00 pagi - Waktu rehat, para hadirin dihiburkan dengan persembahan gimrama oleh murid-murid tahun empat. Persembahan ini telah mendapat tepukan gemuruh.

10.30 pagi - Acara sukan tahap dua bermula. Setiap rumah telah menunjukkan persaingan yang sengit untuk menjadi juara. Acara kemuncak ialah tarik tali antara rumah. Rumah saya, rumah kuning telah muncul sebagai juara.

12.30 tengah hari - Upacara penutup dan penyampaian hadiah dijalankan. Tuan Pegawai Pelajaran Daerah telah menyempurnakan upacara tersebut. Rumah Kuning telah muncul sebagai juara keseluruhan temasya sukan kali ini.


Jawapan 2



No. 55, Jalan Keranji, Seksyen 1,
Kota Warisan,
39400 Bandar Baru Salak Tinggi,
05 Jun 2009.

Menemui saudara Amir yang kini berada di Pedas, Negeri Sembilan, semoga berada dalam keadaan sihat walafiat.

Saudara,

Tujuan saya menulis surat kali ini ialah untuk mengucapkan tahniah kerana saudara telah menjuarai ‘Peraduan Cabaran Minda – Berita Perdana baru-baru ini. Saya mendapat tahu kejayaan saudari apabila melihat gambar saudara terpampang di muka hadapan akhbar Didik.

Untuk makluman saudara, saya juga telah menghantar penyertaan dalam ‘Peraduan Cabaran Minda’ itu, walau bagaimanapun saya gagal memenangi sebarang hadiah. Saya cukup berbangga dengan kejayaan saudara.

Saudara,

Seperkara yang menarik perhatian saya berhubung dengan slogan yang membawa kejayaan saudara, ‘Didik bermanfaat kerana sentiasa membantu, mengasuh,mendidik dan merangsang pelajar menghadapi cabaran dan membina wawasan’. Saya sangat kagum dengan slogan tersebut. Saudara memang hebat…

Kejayaan saudara sebenarnya telah memberi cabaran yang hebat kepada saya. Kalau saudara boleh berja kenapa saya tidak? Oleh itu, saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi juara pada peraduan siri yang akan datang.

Saudara,

Hanya setakat ini coretan saya pada kali ini. Sebelum mengundur diri, sambutlah salam mesra daripada saya. Saya berdoa semoga kita akan berjaya.

Sekian, terima kasih.


Sahabatmu,

Maharoll Marzuki
(Maharoll Marzuki)




Jawapan soalan 2

Ketika itu, aku dan beberapa orang rakan sedang bermain bola. Kami bermain di kawasan lapang di pinggir kampung. Tiba-tiba Ravi meraung sambil memegang kakinya yang berlumuran darah.

Aku bergegas menghampirinya. Kulihat luka di kakinya agak parah, mungkin dia terpijak pecahan kaca. Aku dan rakanku cuba menenagkannya.

Aku dan Fahmi memapah Ravi ke tempat yang redup di bawah pokok di tepi padang. Aku mengikat bahagian atas kakinya yang luka itu untuk menghentikan pendarahan.

Aku menyuruh Aliman menahan kereta di jalan besar. Sejurus kemudian sebuah kereta berhenti. Kami segera memasukan Ravi ke dalam perut kereta lalu membawanya ke hospital.

Sedang kami menunggu Ravi dirawat, tiba-tiba muncul emak Ravi. Dia terkejut melihat anaknya yang cedera itu. Aku terus menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku.

Setengah jam kemudian, Ravi dibawa keluar dari bilik rawatan. Ravi telah menerima enam jahitan akibat lukanya itu. “Lain kali tak payahlah pakai kasut kalau bermain…” leter ibu Ravi kepada kami.

Khamis, 6 Ogos 2009

KLINIK PENULISAN CERITA

KARANGAN JENIS CERITA( TINDAKAN)



Panduan Mengarang

 Mempunyai gambaran jelas dan tepat tentang bahan yang menjadi cerita
sama ada melalui pengalaman, pembacaan, tontonan atau imaginasi.

 Setiap cerita mestilah mempunyai nilai murni seperti tolong-menolong, kasih sayang
dan sebagainya.

 Mempunyai permulaan, puncak cerita, dan penutup

 Boleh menggunakan bahasa berbunga tetapi terkawal.

Tajuk Perbincangan

Kamu dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba kamu terdengar jeritan meminta tolong.
Tulis tindakan kamu seterusnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti. Fahamkan tema atau cerita yang hendak ditulis . Garis maklumat-maklumat yang penting supaya kamu tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan. Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas.

Langkah 3

Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini.


Aku tercari-cari arah suara itu. Akhirnya pandanganku tertumpu ke arah Darsan. Aku melihat dia terkapai-kapai dibawa arus. Aku tergamam seketika, memikirkan langkah terbaik untuk menyelamatkan Darsan.

Aku ,Ravi, dan Leong tidak banyak pilihan.Antara kami bertiga hanya aku sahaja yang boleh berenang. Aku mengarahkan Ravi dan Leong mencari tali sementara aku terus terjun ke dalam sungai.

Aku cuba menarik Darsan yang sudah kelemasan, namun arus sungai yang deras telah menggagalkan usahaku. Aku dan Darsan terus hanyut. Namun begitu dengan kemahiran berenang yang aku miliki, aku masih mampu mengawal diriku daripada terus hanyut.

Beberapa minit kemudian, Ravi dan Leong yang bertindak pantas mengambil tali di tapak perkhemahan berjaya melontarkan tali ke arahku. Dengan sepenuh tenaga Ravi dan Leong menarik aku dan Darsan. Akhirnya mereka berjaya menarik aku dan Darsan ke tebing.

Darsan sudah tidak bermaya. Kami semakin cemas.Nasib baik aku pernah mempelajari cara memberi pertolongan cemas. Beberapa minit kemudian Darsan mulai sedar. Dengan bantuan beberapa orang pemuda yang kebetulan baru sampai, Darsan dikejarkan ke hospital.

Berikutan kejadian itu, kami sepakat membatalkan perkhemahan itu. Sebaliknya, kami berkemas untuk pulang dan menziarahi Darsan di hospital. Walaupun peristiwa itu sudah hampir setahun berlalau, namun peristiwa itu masih segar dalam ingatanku hingga ke hari kini.

Langkah 4

Kamu hendaklah membaca dan menyemak semula karangan itu. Dalam proses penyemakan perkara- perkara berikut perlu diperhatikan ialah kesalahan penggunaan kata , struktur ayat , penggunaan imbuhan ,tanda baca, dan ejaan.

Latihan Minggu Ini

1 Kamu memakan makanan yang dibeli dari sebuah warung di tepi jalan . Selepas itu, perut kamu terasa sakit.

Apakah tindakan-tindakan yang akan kamu ambil seterusnya.

2 Kamu ternampak seorang pemuda meragut beg tangan seorang wanita. Tulis
sebuah cerita apakah tindakan yang kamu lakukan.

Apakah tindakan-tindakan yang akan kamu ambil seterusnya .

3 Anda dalam perjalanan pulang dari sekolah. Anda melihat satu kemalangan jalan raya.

Tuliskan sebuah karangan yang menceritakan bagaimana kemalangan itu
boleh berlaku dan apakah tindakan anda seterusnya.


GLOSARI

berapi bersemangat, ada api
anggota ahli , bahagian tubuh
alat perkakas , dipergunakan
batas garis pinggir, pematang , had
terbelenggu terkongkong, terikat hati atau perasaan
darjah tingkatan di sekolah , ukuran
curang tidak jujur, jurang
miring tidak datar,tidak tegak,senget sedikit,kurang siuman, berat sebelah
muda remaja,belum masak, belum lama ada
lapis susunan,deretan
pungut mengambil, memetik hasil
bertanding berlawan , menyaingi
tuntut mendesak, menagih, belajar
utama
berselisih berbeza , berlainan


Contoh Jawapan soalan 1

Pada ketika itu, aku dan rakan-rakanku sedang berbual-bual sementara menunggu bas. Tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu dengan laju telah merempuh rakan-rakanku yang sedang berbasikal.

Satu dentuman yang kuat kedengaran. Beberapa orang rakanku tepelanting di bahu jalan, manakala ada yang tercampak ke dalam parit. Kereta yang terbabit telah terpelosok di dalam parit.

Aku segera bertindak dengan menyuruh rakanku menahan kereta untuk menghantar mangsa ke hospital. Sementara itu, aku dan rakan-rakanku yang lain mengangkat mangsa untuk dimasukkan ke dalam beberapa buah kereta.

“Amir dalam parit!” jeritku. “Tolong angkat dia naik, kami tak kuat, dia cedra parah !” jeritku lagi. Jeritanku berjaya menarik perhatian beberapa orang yang segera membantu kami .Amir pengsan, darah banyak mengalir daripada kepalanya.Dia segera dikejarkan ke hospital.

Orang ramai pula berusaha mengeluarkan pemandu kereta itu tetapi tidak berjaya. Akhirnya pasukan bomba dan polis yang datang beberap minit kemudia berjaya mengeluarkan mangsa.

Kemalangan yang berlaku di depan mataku itu amat mengerikan. Aku tidak pasti, bagaimanakah keadaan rakan-rakanku itu. Aku berdoa semoga rakan-rakanku itu akan selamat.

Rabu, 5 Ogos 2009

Penulisan Perbahasan

TAJUK : PERBAHASAN


PERBAHASAN


• Karangan ini memerlukan anda membincangkan sesuatu tajuk atau menyatakan pendapat anda tentang sesuatu tajuk yang dikemukakan.
• Anda hanya dikehendaki memberikan hujah satu pihak sahaja iaitu pihak yang anda sokong atau anda bangkang serta mampu membidas hujah-hujah lawan anda.
• Huraian fakta yang diberi secara jelas, mudah difahami serta meyakinkan.
• Kata alu-aluan amat penting. Mulakan akat alu-aluan dengan menyebut Pengurusi Majlis, orang yang tinggi kedudukannya, pihak lawan iaitu pencadang atau pembangkang seterusnya hadirin sekalian.
• Kata sapaan untuk menarik perhatian penonton perlu dinyatakan seperti “hadirin sekalian”, “hadirin yang dihormati”, atau “hadirin yang budiman”.
• Jika anda sebagai pencadang, sokonglah tajuk dengan memberikan hujah-hujah yang tepat, bernas, dan padat. Hujah-hujah perlu logik dan meyakinkan.
• Sebelum anda mengakhiri hujah-hujah anda anda mestilah membuat kesimpulan dengan menyatakan pendirian anda terhadap tajuk dengan pernySoalan Perbincangan


Anda terpilih mewakili kelas dalam satu perbahasan antara kelas. Tajuk perbahasan yang ditetapkan ialah “Membaca Komik Lebih Banyak Membawa Keburukan Daripada Kebaikan Kepada Murid Sekolah ”. Sebagai pencadang, sediakan hujah-hujah anda selengkapnya.


Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti. Fahami tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis. Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan. Dalam soalan ini anda sebagai pencadang, dikehendaki mengemukakan hujah-hujah untuk menyatakan keburukkan-keburukkan membaca komik.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan. Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas.

Langkah 3

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan pembangkang dan hadirin yang saya hormati sekalian. Sebagai pencadang saya tetap dengan pendirian bahawa “Mermbaca Komik Lebih Banyak Membawa Keburukan Daripada Kebaikan Kepada Murid Sekolah”

Hadirin sekalian,

Komik merupakan bahan bacaan ringan yang paling popular di kalangan murid sekolah. Bagaimanapun, ramai yang tidak sedar bahawa membaca komik boleh mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Antara keburukannya ialah ada murid yang asyik membaca komik, sehingga tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran. Sepatutnya tanggungjawab murid ialah belajar.

Hadirin sekalian,

Bahasa yang digunakan dalam buku komik juga tidak mematuhi tatabahasa bahasa Melayu, murid-murid sudah pasti akan menghadapi masalah berbahasa, atau pencemaran bahasa kerana terpengaruh dengan bahasa pasar komik tersebut.

Selain itu, komik juga boleh mempengaruhi pemikiran pembaca dengan cerita-cerita khayalan yang kadang-kadang tidak mempunyai nilai murni. Apa yang sering ditonjolkan dalam kebanyakan komik yang terdapat di pasaran ialah bercorak keganasan atau pertarungan dan berunsur humor sahaja.

Hadirin sekalian,

Bagi murid-murid yang ketagih dengan komik, mereka sangup berbelanja besar untuk membeli buku-buku tersebut. Sebaliknya mereka sangat kedekut untuk membeli buku-buku rujukan atau buku-buku kerja yang sepatutnya menjadi keutamaan. Bukankah ini merupakan satu fenomena yang merugikan murid itu sendiri? Marilah wahai pihak pembangkang kita renungkan.

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan hujah-hujah yang saya utarakan tadi, kami di barisan pencadang tetap mengatakan bahawa “Mermbaca Komik lebih Banyak Membawa Keburukan Daripada Kebaikan Kepada Murid Sekolah”

Sekian, terima kasih.



Langkah 4

Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan itu. Lihat dan pastikan aspek-aspek berikut tiada sebarang kesalahan iaitu penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan. Selain itu pastikan juga isi karangan anda benar-benar menepati tajuk.

Latihan minggu ini.

1. Kamu terpilih menyertai satu perbahasan antara kelas. Tajuk perbahasan yang ditetapkan ialah “Melancong Dalam Negara Lebih Baik Daripada Melancong Ke luar Negara”. Sebagai pencadang, sediakan hujah-hujah anda selengkapnya.

2. Andaikan bahawa anda sebagai pencadang dalam satu perbahasan. Tajuk perbahasan itu " Membaca Buku Lebih Baik Daripada Menonton Televisyen". Tuliskan hujah-hujah anda selengkapnya.

3. Andaikan anda sebagai pencadang dalam perbahasan. Tajuk perbahasan itu ialah "Buah-buahan Tempatan Lebih Baik Daripada Buah-buahan Luar Negeri. Tulikan hujah-hujah anda selengkapnya.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

GLOSARI:


balas : dijawab,menjawab,pengadilan Tuhan
pejal : tidak berongga di dalamnya,padat dan keras
membisu : diam, berusaha, tenang,hening, tinggal, rahsiakan
bab : fasal, hal, bahagian daripada sesebuah buku
pemangkas : alat seperti guntung yang digunakan untuk memangkas,
orang yang kerjanya memangkas
ancam : gertak, ugut
awas : kawal, jagai, berwaspada, berhati-hati
ejekan : giat.mempermainkan orang, mempersendakan orang
dengan tingkah laku atau dengan tutur kata.
miskipun : Sungguhpun, walaupun
ria : suka hati kerana mendapat apa yang dihajatkan, riang, gembira
kemestian : Sesuatu yang diwajibkan, sesuatu yang
sudah ditentukan,ketentuan, ketetapan.
mesyuarat : bersidang , rundingan untuk membincangkan sesuatu
atau mencari sesuatu ketetapan
pengadil : orang yang mengadili sesuatu perkara atau pertandingan sukan,
di mahkamah hakim.










Contoh jawapan Soalan 1

Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis, barisan pembangkang dan hadirin yang saya hormati sekalian. Sebagai pencadang saya tetap dengan pendirian bahawa “Melancong Dalam Negara Lebih Baik Daripada Melancong Ke luar Negara”.

Hadirin sekalian,

Hujah saya yang pertama dengan melancong dalam negara akan dapat meningkatkan semangat cintakan negara. Hal ini terjadi kerana dengan mengunjungi tempat-tempat yang bersejarah, seseorang itu akan dapat melihat, memahami, dan menghayati bagaimana generasi yang terdahulu membangun dan mempertahankan negara.

Hujah saya yang kedua, dengan memberikan tumpuan melancong di negara sendiri akan dapat membangunkan industri pelancongan. Hotel-hotel dan tempat-tempat pelancongan pastinya akan dapat dibangunkan, dan seterusnya dapat menawarkan pekerjaan kepada rakyat. Tanpa sokongan pelancong-pelancong tempatan, industri pelancongan kita pasti malap, lebih-lebih lagi dalam keadaan kelembapan ekonomi dunia sekarang.

Hadirim sekalian,

Hujah saya seterusnya ialah dengan melancong dalam negara secara tidak langsung kita dapat menyekat pengaliran wang keluar negara. Ini sudah tentu akan meningkat dan menyuburkan ekonomi negara. Lebih-lebih lagi dalam kelembapan ekonomi yang sedang melanda sekarang.

Selain itu, kita akan dapat mengenali budaya rakyat negara kita dengan lebih dekat lagi. Contohnya, bagi mereka yang tinggal di Sabah atau Sarawak bolehlah mereka melancong ke negeri-negeri di semenanjung manakala oarang semenanjung pula sebaliknya. Dengan hal yang demikian akan wujudlah perpaduan nasional yang kita harap-harapkan.

Hadirin sekalian,

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan hujah-hujah yang diutarakan kami di barisan pencadang tetap mengatakan bahawa “Melancong Dalam Negara Lebih Baik Daripada Melancong Ke luar Negara”.


Sekian, terima kasih.