Jumaat, 30 April 2010

KISAH LIMA PERKARA ANEH

Abu Laits as-Samarqandi adalah seorang ahli fiqh yang masyur. Suatu ketika dia pernah berkata, ayahku menceritakan bahawa antara Nabi-nabi yang bukan Rasul ada menerima wahyu dalam bentuk mimpi dan ada yang hanya mendengar suara.
Maka salah seorang Nabi yang menerima wahyu melalui mimpi itu, pada suatu malam bermimpi diperintahkan yang berbunyi, "Esok engkau dikehendaki keluar dari rumah pada waktu pagi menghala ke barat. Engkau dikehendaki berbuat, pertama; apa yang negkau lihat (hadapi) maka makanlah, kedua; engkau sembunyikan, ketiga; engkau terimalah, keempat; jangan engkau putuskan harapan, yang kelima; larilah engkau daripadanya."

Pada keesokan harinya, Nabi itu pun keluar dari rumahnya menuju ke barat dan kebetulan yang pertama dihadapinya ialah sebuah bukit besar berwarna hitam. Nabi itu kebingungan sambil berkata, "Aku diperintahkan memakan pertama aku hadapi, tapi sungguh aneh sesuatu yang mustahil yang tidak dapat dilaksanakan."
Maka Nabi itu terus berjalan menuju ke bukit itu dengan hasrat untuk memakannya. Ketika dia menghampirinya, tiba-tiba bukit itu mengecilkan diri sehingga menjadi sebesar buku roti. Maka Nabi itu pun mengambilnya lalu disuapkan ke mulutnya. Bila ditelan terasa sungguh manis bagaikan madu. Dia pun mengucapkan syukur 'Alhamdulillah'.

Kemudian Nabi itu meneruskan perjalanannya lalu bertemu pula dengan sebuah mangkuk emas. Dia teringat akan arahan mimpinya supaya disembunyikan, lantas Nabi itu pun menggali sebuah lubang lalu ditanamkan mangkuk emas itu, kemudian ditinggalkannya. Tiba-tiba mangkuk emas itu terkeluar semula. Nabi itu pun menanamkannya semula sehingga tiga kali berturut-turut.
Maka berkatalah Nabi itu, "Aku telah melaksanakan perintahmu." Lalu dia pun meneruskan perjalanannya tanpa disedari oleh Nabi itu yang mangkuk emas itu terkeluar semula dari tempat ia ditanam.

Ketika dia sedang berjalan, tiba-tiba dia ternampak seekor burung helang sedang mengejar seekor burung kecil. Kemudian terdengarlah burung kecil itu berkata, "Wahai Nabi Allah, tolonglah aku."
Mendengar rayuan burung itu, hatinya merasa simpati lalu dia pun mengambil burung itu dan dimasukkan ke dalam bajunya. Melihatkan keadaan itu, lantas burung helang itu pun datang menghampiri Nabi itu sambil berkata, "Wahai Nabi Allah, aku sangat lapar dan aku mengejar burung itu sejak pagi tadi. Oleh itu janganlah engkau patahkan harapanku dari rezekiku."

Nabi itu teringatkan pesanan arahan dalam mimpinya yang keempat, iaitu tidak boleh putuskan harapan. Dia menjadi kebingungan untuk menyelesaikan perkara itu. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengambil pedangnya lalu memotong sedikit daging pehanya dan diberikan kepada helang itu. Setelah mendapat daging itu, helang pun terbang dan burung kecil tadi dilepaskan dari dalam bajunya.
Selepas kejadian itu, Nabi meneruskan perjalannya. Tidak lama kemudian dia bertemu dengan satu bangkai yang amat busuk baunya, maka dia pun bergegas lari dari situ kerana tidak tahan menghidu bau yang menyakitkan hidungnya. Setelah menemui kelima-lima peristiwa itu, maka kembalilah Nabi ke rumahnya. Pada malam itu, Nabi pun berdoa. Dalam doanya dia berkata, "Ya Allah, aku telah pun melaksanakan perintah-Mu sebagaimana yang diberitahu di dalam mimpiku, maka jelaskanlah kepadaku erti semuanya ini."

Dalam mimpi beliau telah diberitahu oleh Allah S.W.T. bahawa, "Yang pertama engkau makan itu ialah marah. Pada mulanya nampak besar seperti bukittetapi pada akhirnya jika bersabar dan dapat mengawal serta menahannya, maka marah itu pun akan menjadi lebih manis daripada madu.
Kedua; semua amal kebaikan (budi), walaupun disembunyikan, maka ia tetap akan nampak jua. Ketiga; jika sudah menerima amanah seseorang, maka janganlah kamu khianat kepadanya. Keempat; jika orang meminta kepadamu, maka usahakanlah untuknya demi membantu kepadanya meskipun kau sendiri berhajat. Kelima; bau yang busuk itu ialah ghibah (menceritakan hal seseorang). Maka larilah dari orang-orang yang sedang duduk berkumpul membuat ghibah."

Saudara-saudaraku, kelima-lima kisah ini hendaklah kita semaikan dalam diri kita, sebab kelima-lima perkara ini sentiasa sahaja berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Perkara yang tidak dapat kita elakkan setiap hari ialah mengata hal orang, memang menjadi tabiat seseorang itu suka mengata hal orang lain. Haruslah kita ingat bahawa kata-mengata hal seseorang itu akan menghilangkan pahala kita, sebab ada sebuah hadis mengatakan di akhirat nanti ada seorang hamba Allah akan terkejut melihat pahala yang tidak pernah dikerjakannya. Lalu dia bertanya, "Wahai Allah, sesungguhnya pahala yang Kamu berikan ini tidak pernah aku kerjakan di dunia dulu."

Maka berkata Allah S.W.T., "Ini adalah pahala orang yang mengata-ngata tentang dirimu." Dengan ini haruslah kita sedar bahawa walaupun apa yang kita kata itu memang benar, tetapi kata-mengata itu akan merugikan diri kita sendiri. Oleh kerana itu, hendaklah kita jangan mengata hal orang walaupun ia benar.

AL-QUR'AN SEBAGAI PEMBELA DI HARI AKHIRAT

Abu Umamah r.a. berkata : "Rasulullah S.A.W telah menganjurkan supaya kami semua mempelajari Al-Qur'an, setelah itu Rasulullah S.A.W memberitahu tentang kelebihan Al-Qur'an."
Telah bersabda Rasulullah S.A.W : Belajarlah kamu akan Al-Qur'an, di akhirat nanti dia akan datang kepada ahli-ahlinya, yang mana di kala itu orang sangat memerlukannya."
Ia akan datang dalam bentuk seindah-indahnya dan ia bertanya, " Kenalkah kamu kepadaku?" Maka orang yang pernah membaca akan menjawab : "Siapakah kamu?"

Maka berkata Al-Qur'an : "Akulah yang kamu cintai dan kamu sanjung, dan juga telah bangun malam untukku dan kamu juga pernah membacaku di waktu siang hari."
Kemudian berkata orang yang pernah membaca Al-Qur'an itu : "Adakah kamu Al-Qur'an?" Lalu Al-Qur'an mengakui dan menuntun orang yang pernah membaca mengadap Allah S.W.T. Lalu orang itu diberi kerajaan di tangan kanan dan kekal di tangan kirinya, kemudian dia meletakkan mahkota di atas kepalanya.
Pada kedua ayanh dan ibunya pula yang muslim diberi perhiasan yang tidak dapat ditukar dengan dunia walau berlipat ganda, sehingga keduanya bertanya : "Dari manakah kami memperolehi ini semua, pada hal amal kami tidak sampai ini?"

Lalu dijawab : "Kamu diberi ini semua kerana anak kamu telah mempelajari Al-Qur'an."

Rabu, 28 April 2010

CAP

Sekali lagi masalah beg sekolah berat timbul semula. Ia bukanlah masalah baru. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah hampir sedekad mengulangi gesaan pihak berkuasa pendidikan supaya menangani masalah beg sekolah berat tetapi ia seperti tidak diendahkan.

Pada Februari 2007, CAP menyerahkan satu penemuan daripada sebuah kajian tempatan bertajuk School Bag Load and Its Effect on Erector spinae Muscle and Low Back Pain Among Primary School Children in Malaysia, (diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) January 2005) kepada Kementerian Pelajaran yang mengemukakan masalah itu dengan jelas dan untuk diambil tindakan segera.

Dalam kajian Universiti Putra Malaysia yang dijalankan oleh Tamrin SBM dan rakannya, mendapati sehingga 58.3% daripada kanak-kanak sekolah yang dikaji melaporkan mengalami sakit pada bahagian bawah belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat.

Penyelidik itu merumuskan bahawa insiden sakit pada bahagian bawah belakang dikaitkan dengan beban yang berat yang boleh dikaitkan dengan fakta bahawa kebanyakan kanak-kanak sekolah yang dikaji membawa beg sekolah dengan berat 15% daripada berat tubuh mereka sendiri. Ini merupakan had bahagian atas yang disarankan oleh kebanyakan pengamal kesihatan.

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak perempuan tidak mampu menanggung dalam membawa beban pada bahagian belakang mereka. Kanak-kanak sekolah yang lebih muda juga didapati tidak mampu untuk membawa beban, dalam bentuk tenaga yang digunakan berbanding dengan kanak-kanak yang lebih tua yang cenderung untuk menggunakan otot-otot mereka lebih mampu untuk membawa beban pada bahagian belakang mereka. Penemuan ini selaras dengan hasil pengarang lain yang menyatakan kanak-kanak yang lebih muda mempunyai masalah untuk membawa beg sekolah yang berat.

Pada keseluruhannya, dirumuskan bahawa terdapat insiden sakit belakang yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah dan perkara ini perlu dinilai semula sama ada mereka perlu membawa sebarang beban terutama beg sekolah yang berat memandangkan mereka terpaksa berdepan dengan risiko sakit belakang pada masa hadapan.

Beberapa tahun yang lalu, CAP menjalankan tinjauan secara rambang terhadap lebih 200 pelajar sekolah rendah. Kajian kami menunjukkan kira-kira 40% daripada mereka membawa beg sekolah yang lebih daripada 20% atau lebih satu perlima daripada berat tubuh mereka sendiri. Beberapa garis panduan menyarankan bahawa berat seperti itu tidak seharusnya melebihi 10% daripada berat kanak-kanak.

Beban yang tidak sama dan berlebihan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko masalah belakang dan kecacatan spina. Tekanan daripada berat yang berlebihan ini mungkin menyebabkan bahaya dan mungkin kesan sampingan yang menjejaskan perkembangan sistem musculo-skeletal.

Pihak Kementerian Pelajaran tidak seharusnya memberikan sebarang alasan atau teragak-agak untuk bertindak terhadap masalah beban ke atas belakang kanak-kanak tetapi perlu dengan segera melihat masalah beg sekolah yang berat ini. Potensi kesan sampingan terhadap kesihatan amat serius bukan hanya kesan segera terhadap kanak-kanak tetapi mungkin juga akan menjadikan berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik apabila dewasa nanti.