Khamis, 24 Jun 2010

HIKMAH BERBAKTI KEPADA KEDIA IBU BAPA

Selain seorang nabi, Sulaiman a.s. juga seorang raja terkenal. Atas izin Allah ia berhasil menundukkan Ratu Balqis dengan jin ifrit-Nya. Dia dikenal sebagai manusia boleh berdialog dengan segala binatang. Dikisahkan, Nabi Sulaiman sedang berkelana antara langit dan bumi hingga tiba di satu samudera yang bergelombang besar. Untuk mencegah gelombang, ia cukup memerintahkan angin agar tenang, dan tenang pula samudera itu.
Kemudian Nabi Sulaiman memerintahkan jin Ifrit menyelam ke samudera itu sampai ke dasarnya. DI sana jin Ifrit melihat sebuah kubah dari permata putih yang tanpa lubang, kubah itu diangkatnya ke atas samudera dan ditunjukkannya kepada Nabi Sulaiman.

Melihat kubah tanpa lubang penuh permata dari dasar laut itu Nabi Sulaiman menjadi terlalu hairan, "Kubah apakah gerangan ini?" fikirnya. Dengan minta pertolongan Allah, Nabi Sulaiman membuka tutup kubah. Betapa terkejutnya dia begitu melihat seorang pemuda tinggal di dalamnya.
"Sipakah engkau ini? Kelompok jin atau manusia?" tanya Nabi Sulaiman kehairanan.
"Aku adalah manusia", jawab pemuda itu perlahan.
"Bagaimana engkau boleh memperolehi karomah semacam ini?" tanya Nabi Sulaiman lagi. Kemudian pemuda itu menceritakan riwayatnya sampai kemudian memperolehi karomah dari Allah boleh tinggal di dalam kubah dan berada di dasar lautan.

Diceritakan, ibunya dulu sudah tua dan tidak berdaya sehingga dialah yang memapah dan menggendongnya ke mana jua dia pergi. Si anak selalu berbakti kepada orang tuanya, dan ibunya selalu mendoakan anaknya. Salah satu doanya itu, ibunya selalu mendoakan anaknya diberi rezeki dan perasaan puas diri. Semoga anaknya ditempatkan di suatu tempat yang tidak di dunia dan tidak pula di langit.
"Setelah ibuku wafat aku berkeliling di atas pantai. Dalam perjalanan aku melihat sebuah terbuat dari permata. Aku mendekatinya dan terbukalah pintu kubah itu sehingga aku masuk ke dalamnya." Tutur pemuda itu kepada Nabi Sulaiman.

Nabi Sulaiman yang dikenali boleh berjalan di antara bumi dan langit itu menjadi kagum terhadap pemuda itu.
"Bagaimana engkau boleh hidup di dalam kubah di dasar lautan itu?" tanya Nabi Sulaiman ingin mengetahui lebih lanjut.
"Di dalam kubah itu sendiri, aku tidak tahu di mana berada. Di langitkah atau di udara, tetapi Allah tetap memberi rezeki kepadaku ketika aku tinggal di dalam kubah."
"Bagaimana Allah memberi makan kepadamu?"
"Jika aku merasa lapar, Allah menciptakan pohon di dalam kubah, dan buahnya yang aku makan. Jika aku merasa haus maka keluarlah air yang teramat bersih, lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu."

"Bagaimana engkau mengetahui perbedaan siang dan malam?" tanya Nabi Sulaiman a.s yang merasa semakin hairan.
"Bila telah terbit fajar, maka kubah itu menjadi putih, dari situ aku mengetahui kalau hari itu sudah siang. Bila matahari terbenam kubah akan menjadi gelap dan aku mengetahui hari sudah malam." Tuturnya. Selesai menceritakan kisahnya, pemuda itu lalu berdoa kepada Allah, maka pintu kubah itu tertutup kembali, dan pemuda itu tetap tinggal di dalamnya. Itulah keromah bagi seorang pemuda yang berbakti kepada kedua orang tuanya.

Isnin, 14 Jun 2010

LANTIHAN SOALAN RAMALAN (2) BAHAGIAN B

SOALAN RAMALAN 2

1 Sekolah kamu telah mengadakan sukan tahunan. Tulis catatan mengenai sukan tersebut.



2 Kamu ialah seorang pengawas sekolah. Pada waktu rehat, kamu telah melihat dua orang murid sedang bertengkar. Kamu cuba untuk mendamaikan mereka. Tuliskan dialog antara kamu dan dua orang murid itu.


3 Aku dan beberapa orang rakanku sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang daripada rakanku pengsan.

Lengkapkan cerita di atas.



Contoh Jawapan:

Soalan 1

Sabtu, 24 Mei 2010

7.30 pagi - Aku tiba di sekolah. Ramai rakan-rakanku telah tiba lebih awal. Kami terus berkumpul di rumah sukan masing-masing untuk mendengar taklimat daripada ketua rumah.

8.00 pagi - Para tetamu telah mula memenuhi khemah-khemah tetamu kerana acara sukan akan bermula.

8.30 pagi - Acara sukan bermula dengan acara-acara sukanika murid pra sekolah dan murid tahap satu. Antara acara yang menarik ialah acara tiup belon dan rebut hadiah murid pra sekolah. Pelbagai aksi yang melucukan dapat disaksikan.

10.00 pagi - Waktu rehat, para hadirin dihiburkan dengan persembahan gimrama oleh murid-murid tahun empat. Persembahan ini telah mendapat tepukan gemuruh.

10.30 pagi - Acara sukan tahap dua bermula. Setiap rumah telah menunjukkan persaingan yang sengit untuk menjadi juara. Acara kemuncak ialah tarik tali antara rumah. Rumah saya, rumah merah telah muncul sebagai juara.

12.00 tengah hari - Upacara penutup dan penyampaian hadiah dijalankan. Tuan Pegawai Pendidikan Daerah telah menyempurnakan upacara tersebut. Rumah Merah telah muncul sebagai juara keseluruhan temasya sukan kali ini.

Contoh Jawapan:

Soalan 2


Pengawas : Hisham, Zaki! Mengapa kamu bertengkar?
Hisham : Zaki telah mengambil duit saya ketika saya tiada di dalam kelas.
Pengawas : Kamu tidak boleh menuduh seseorang itu mengambil duit kamu jika kamu tidak mempunyai bukti dan saksi.
Zaki : Sebenarnya saya telah menjelaskan kepada Hisham bahawa saya tidak mencuri duitnya. Tetapi Hisham tidak mempercayainya.
Pengawas : Bertenanglah. Janganlah kamu terus bertegang leher kerana tidak akan menyelesaikan masalah. Hisham, sudah kamu periksa dengan teliti meja kamu?
Hisham : Saya telah memeriksa laci meja saya tetapi duit itu tidak ada di situ.
Pengawas : Kamu Zaki! Ada kamu melihat sesiapa menghampiri meja Hisham ketika dia tiada di dalam kelas.
Zaki : Saya kurang pasti kerana ketika Hisham pergi ke tandas, saya dan Sailan pergi menemui Cikgu Zainab di hadapan kelas.
Pengawas : Baiklah Hisham, Zaki. Sebenarnya tiada siapa yang tahu orang yang telah mengambil duit itu. Janganlah kamu bertengkar lagi. Biarlah kita adukan masalah ini kepada Guru Disiplin untuk disiasat.
Hisham : Saya minta maaf, Zaki kerana menuduh kamu mengambil duit saya.
Zaki : Tidak mengapa. Saya sedia memaafkan kamu.
Pengawas : Semoga kamu akan berbaik-baik semula.


Contoh jawapan soalan 3


Aku, Nasir, dan Hilal sedang membersihkan tapak perkhemahan. Kami mencabut rumput dan membuang daun serta ranting kering. Tiba-tiba, Hilal menjerit, “Nasir pengsan! ”.

Aku dan Hilal tergamam seketika. Kami meghampiri Nasir. Muka Nasir kelihatan pucat dan tidak bermaya. Aku dan Hilal segera memapah Nasir dan membawanya ke bawah pokok. Aku menyuruh Hilal mengambil kotak ubat yang kami bawa.

Aku pasti Nasir pengsan kerana keletihan dan tambahan pula dia belum bersarapan lagi. Aku membuka butang bajunya, sambil mengipas-ngipaskannya. Hilal menyapukan minyak angin di bahagian kepala dan leher Nasir. Lima minit berlalu, namun Nasir masih tidak sedar.

Aku dan Hilal mengambil keputusan untuk membawa Nasir ke hospital. Kami segera memapahnya ke tepi jalan. Aku menahan sebuah kereta dan meminta pemandunya menghantar Nasir ke hospital.

Sampai di hospital , aku memberitahu doktor mengenai kejadian yang menimpa Nasir. Nasir telah dibawa ke unit rawatan rapi. Aku berdoa semoga Nasir akan selamat.

Sepuluh minit kemudian, doktor yang merawat Amran menepuk-nepuk bahuku sambil berkata, “Mujurlah kamu dapat memberi pertolongan segera, kalau tidak mungkin….” Aku bersyukur kerana Nasir selamat walaupun terpaksa membatalkan hasrat untuk berkhemah .

Isnin, 7 Jun 2010

LANTIHAN SOALAN RAMALAN (1) BAHAGIAN B

SOALAN RAMALAN 1
1 Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu diminta menulis surat
kepada guru besar untuk meminta kebenaran mengadakan lawatan sambil belajar.
Tulis surat kamu selengkapnya.

2 Sebelum cuti akhir tahun bermula, kelas kamu akan mengadakan jamuan perpisahan. Sebagai ketua kelas kamu dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis jamuan tersebut.
Tuliskan ucapan kamu itu selengkapnya.

3 Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka…

Lengkapkan cerita di atas.









Contoh jawapan 1

Khilawati binti Haji Mohamad Nasir,
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,

Selangor Darul Ehsan. 2 JUN 2011

Tuan,

Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Balai Berita

Sukacita dimaklumkan, Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini bercadang akan mengadakan lawatan ke Balai Berita, Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu, saya, Nurun Najihah binti Mohamad, setiausaha persatuan ini memohon kebenaran mengadakan lawatan tersebut.

2. Tujuan lawatan diadakan adalah untuk mendedahkan ahli-ahli persatuan tentang cara-cara penerbitan surat khabar khususnya akhbar DIDIK. Pengalaman tersebut diharapkan akan dapat membantu ahli-ahli persatuan menerbitkan buletinnya sendiri.

3. Kami bercadang untuk mengadakan lawatan itu pada hari Sabtu bersamaan dengan 26 Julai 2010. Rombongan ini dijadualkan bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 pagi dan balik pada pukul 3.00 petang.

4. Lawatan ini akan disertai oleh 30 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat persatuan ini iaitu Cikgu Hilal bin Mohamad Nor dan Cikgu Jamiah binti Yasin.

5. Saya berharap pihak tuan tidak keberatan memberikan kebenaran kepada persatuan ini untuk mengadakan lawatan tersebut. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian, terima kasih.


Yang menjalankan tugas,

Khilawati Mohamad Nasir
…………………………………
(KHILAWATI BINTI HAJI MOHAMAD NASIR)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,




Contoh jawapan 2


Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis. Tuan Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi kami di sekolah ini. Tidak dapat digambarkan betapa pilunya hati kami untuk meninggalkan sekolah ini. Maklumlah sudah enam tahun kami belajar di sekolah ini.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh tersebut, tentulah banyak ilmu dan pengalaman serta kejayaan yang kami perolehi. Semua ini adalah hasil kerja keras guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik kami menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang telah banyak membimbing kami. Kami tidak mampu membalas jasa cikgu. Semoga Allah akan membalasnya.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga , kami meminta maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang kami belajar di sekolah ini.Segala yang baik itu akan kami jadikan teladan dan yang buruk itu kami jadikan sempadan.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah kepada guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita bertemu kembali.

Sekian, terima kasih.






Contoh jawapan 3

Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka ayah terdengar bunyi pintu dibuka ‘krek……’ . “Siapa di dapur!” ayah bersuara. “Kali ini nahas aku,” bisik hati kecilku.

Aku terus menuju ke bilik air. Belum sempat aku membuka pintu, ayah telah tercegat di depanku. “Zali pergi kemana tadi? Kenapa tak beritahu ayah dan ibu? Kenapa?!…” Aku terpaku, terkunci mulutku untuk berkata-kata, membisu seribu bahasa.

Ayah terus berkhutbah. “Lain kali kalau hendak pergi kemana-mana beritahulah kepada ayah atau ibu. Budak baik patut meminta kebenaran ibu bapa sebelum keluar rumah supaya tidak menimbulkan kerisauan kepada orang tua”.

“Ayah dah tahu segala-galanya, tak payahlah Zali hendak beri alasan lagi. Tadi kawan ayah telefon, nampak Zali dengan kawan-kawan sedang melepak di pasaraya”. Ayah terus menyerangku.

Kini giliran ibu pula, “Zali memang suka membuang masa. Bukankah lebih baik Zali duduk di rumah mengulangkaji pelajaran, lagipun UPSR sudah hampir benar. Zali ingat, mudah untuk mendapat 5A? Pergi mandi! Jangan buat lagi”.

Selepas mendengar kata-kata ayah dan ibu, aku pun mengakui kesalahan aku dan segera meminta maaf kepada ayah dan ibu. Mereka tersenyum lalu mengusap kepala aku. Kini, aku telah insaf. Aku berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu lagi.

Penyakit Hati

Jabatan Agama Islam Selangor
PENYAKIT HATI
"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah". ketahuilah Dengan "zikrullah" itu, tenang tenteramlah hati manusia. Berdasarkan ayat 28 dalam surah Ar-Ra’du marilah kita memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT, kerana zikir ini dapat memberikan ketenangan hati kepada seseorang.

Sesungguhnya hati manusia memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk peribadi seseorang insan. Hati yang baik akan melahirkan tingkah-laku yang baik dalam diri seseorang, manakala hati yang tidak baik pula akan menzahirkan sifat-sifat keji dan mazmumah dalam diri seseorang insan.

Rasulullah SAW bersabda;
“Bahawa di dalam tubuh badan manusia itu ada seketul daging, sekiranya baik daging tersebut maka baiklah seluruh tubuhnya tetapi sekiranya rosak daging tersebut maka rosaklah seluruh tubuh, daging tersebut ialah hati”(Riwayat Bukhari dan muslim)
Imam Gazali ra membahagikan atau ‘Al-Qalbu’ kepada dua pengertian iaitu;

Pertama: Hati sebagai segumpal daging yang terletak di dada sebelah kiri manusia yang boleh dilihat dengan mata kasar manusia.

Kedua: Hati dalam erti yang halus bersifat ketuhanan dalam rohani yang ada hubungan dengan hati jasmani yang pertama tadi. Hati dalam erti kata yang kedua ini disebut juga sebagai jiwa dan perasaan yang mendorong manusia melakukan sesuatu kebaikan atau keburukan. Kebaikan yang dilakukannya oleh manusia adalah kerana hati dan rohaninya baik, sedangkan kejahatan yang dilakukannya pula adalah kerana hati dan jiwanya telah rosak dan sakit.

Penyakit hati adalah berpunca daripada sifat-sifat keji (mazmumah) yang wujud dalam diri manusia, didalangi oleh iblis dan syaitan laknattullah. Dan syaitan adalah musuh yang sentiasa berusaha untuk memiliki dan menguasai hati dan
jiwa anak-anak Adam sehinggalah hari kiamat. Oleh kerana itu, adalah menjadi kewajipan kepada kita untuk memelihara hati daripada dimasuki dan dikuasai oleh syaitan.

Imam Gazali menyatakan di dalam kitab ‘Ihya’ Ulummudin ada dinyatakan bahawa hati manusia akan dapat dikuasai oleh syaitan melalui beberapa cara, antaranya;
*Perasaan Marah.
Syaitan akan sentiasa mengapi-apikan sehingga manusia sanggup melakukan perkara-perkara di luar batas kemanusiaan.

*Perasaan Hasad Dan Dengki.
Syaitan juga akan mengapi-apikan sehingga menyebabkan berlakunya fitnah-menfitnah sesama manusia.

*Apabila Manusia Mengutamakan Nafsu Shawat.
Syaitan akan melalaikan manusia daripada melakukan Solat dan Zikrullah.

*Sifat Bakhil Dan Kedekut.
Penyebab kepada manusia susah untuk bersedekah dan menginfaqkan hartanya pada perkara-perkara kebaikan.

*Terlalu Tergopoh-Gapah Dan Tidak Istiqamah Dalam Berbagai-Bagai Urusan.
Bersikap fanatik terhadap perasaan sendiri dan meremehkan pendapat orang lain, kerana syaitan akan menimbulkan jalan bahawa perbuatan itu adalah benar dan menyangka ia telah berbuat kebaikan. Bersangka buruk sesama umat Islam, sentiasa berperasaan was-was dan lain-lain lagi.

Apabila hati manusia telah dapat digoda dan dipengaruhi oleh bisikan syaitan, maka akan timbullah pula berbagai jenis penyakit hati, antaranya:

1: Sentiasa memenuhi kehendak dan tuntutan nafsu syahwat dan mengenepikan tuntutan agama. Golongan ini dianggap sebagai bertuhankan nafsu sendiri. Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan ayat 43;
„Terangkan kepadaku (wahai Muhammad) tentang keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi penjaga (yang menjaganya supaya tidak sesat?)‟
Sentiasa melakukan kesalahan demi kesalahan dan tidak pernah pula menyesal atas kesalahan yang telah dilakukan. Golongan ini sentiasa menambah dosa diri

dari sehari ke sehari sehinggalah hati mereka tertutup dari menerima hidayah Allah SWT.

2. Di antara tanda hati yang sakit juga ialah apabila kemewahan dunia telah menguasai diri seseorang, maka pada saat itu ia tidak lagi mengingati kehidupan akhirat dan tidak akan berusaha untuk mendapatkannya. Rasa tamak haloba yang bersarang dalam hatinya menyebabkan ia terus mengejar kekayaan di dunia dengan apa cara sekalipun, tidak mengira halal haram sehingga sanggup melakukan penipuan, rasuah dan sebagainya semata-mata ingin menggapai apa yang dihajati daripada milik orang lain.
Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang bermaksud;
“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) diantara kamu dengan jalan yang batil (yang salah menurut syara‟) dan janganlah pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya)”

Apa yang kita lihat dikalangan masyarakat kita pada hari ini, terjadinya perselisihan faham, kekecohan, pergaduhan, perebutan kuasa dan sebagainya adalah disebabkan oleh perasaan hasad dengki dan tamak haloba yang telah bersarang di dalam hati mereka. Mereka hanya mengutamakan nafsu dan kepentingan diri sendiri sehingga sanggup melontarkan berbagai-bagai tuduhan dan fitnah kepada kesepaduan masyarakat umum. Akibatnya masyarakat menjadi berpecah-belah dan kehidupan mereka menjadi tidak tenteram. Dalam keadaan begini pun, mereka masih lagi mahu menggunakan kesempatan yang ada untuk memenuhi keinginan nafsu syawat mereka.


Penyakit hati yang disebabkan dari sifat-sifat Mazmumah, jika tidak diubati pasti akan merosakkan ahklak dan budi pekerti seseorang muslim. Oleh kerana itu, hati manusia yang telah sakit itu perlulah diubati segera bagi mengelakkan kemudaratan yang lebih besar kepada masyarakat sekeliling. Setiap penyakit pasti ada ubatnya. Maka, apakah ubatnya yang paling mujarab untuk menyembuhkan hati yang telah sakit itu? Apakah dengan berhibur di pusat-pusat hiburan seperti karaoke sebagainya atau dengan menuntut filem-filem yang melalaikan? Jawapannya tidak lain dan tidak bukan ialah dengan memperbanyakkan Zikrullah.

Firman Allah dalam surah Ar-Ra’du ayat 28:
“(iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati dengan zikrullah” ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
Perlu diingati bahawa Zikrullah itu bukan sahaja di majlis-majlis tertentu, bahkan ianya hendaklah dilakukan di mana-mana dan pada bila-bila masa yang kita inginkan sama ada kita sedang berdiri, duduk, berbaring dan sebagainya.
Sebagai seorang hamba yang mengaku beriman kepada Allah SWT, marilah kita membersihkan jiwa kita daripada sifat-sifat Mazmumah yang menjadi penyebab kepada berlakunya penyakit hati. Hendaklah kita sentiasa mengingati Allah SWT dan bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan olehnya kerana dengan cara demikian kita akan dapat menundukkan perasaan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam bentuk penyakit hati yang lain.
“Oleh itu, ingatlah kamu kepadaku (dengan mematuhi hukum dan undang-undang), supaya aku membalas kamu dengan kebaikan; dan bersyukurlah kamu kepadaku dan janganlah kamu kufur (akan nikmatku)”
(Al-Baqarah ayat 152)