Khamis, 30 Jun 2011

UJI6

Baca syair di bawah dan jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Jalur gemilang bendera bertuah,

Rakyat Malaysia berasa megah,

Hidup bahagia tanpa resah,

Kerana kita merdeka sudah.

Jalur Gemilang lambing bersatu,

Merah, kuning, putih dan biru,

Bulan bintang menghiasi penjuru,

Empat belas negeri menjadi padu.

Di bangunan Parlimen tempat berkibaran,

Lambang demokrasi dan kemerdekaan,

Penuh daulat serta kebebasan,

Seiring dengan semangat perpaduan.

Putih dan merah suci berani,

Menyeru rakyat membangunkan negeri,

Menentang musuh yang penuh dengki,

Mempertahankan Negara setiap inci.

Pelbagai bangsa berlainan bahasa,

Jalur Gemilang menyatukan semua,

Teguh, bersatu, dan bekerjasama,

Tanda sepakat aman sentosa.

Jalur Gemilang kebanggaan kita,

Terkenal sudah ke seluruh dunia,

Hidup rakyatnya sejahtera senantiasa,

Sama-sama Berusaha memajukan Negara.

1 Bintang yang menghiasi penjuru Jalur Gemilang melambangkan………………

A. Dua belas negeri.

B. Tiga belas negeri.

C. Empat belas negeri

D. Lima belas negeri

2 Berdasarkan syair di atas, di manakah Jalur Gemilang sering dikibarkan?

    1. di bangunan Parlimen
    2. di gerai makan
    3. di perhentian bas
    4. di padang bola

3 Warna apakah yang melambangkan keberanian?

A. kuning

B. merah

C. biru

D. putih

4 Mengapakah rakyat Malaysia perlu bersatu padu dan bekerjasama?

a. supaya dipandang tinggi oleh masyarakat luar

b. supaya dipuji oleh pemimpin negara

c. supaya tidak ditindas oleh bangsa lain

d. supaya hidup aman dan sentosa

5 Apakah tajuk yang mungkin sekali sesuai untuk syair di atas?

e. Cintailah Negara Malaysia

f. Jalur Empat Belas

g. Benderaku Malaysia

h. Majulah Negaraku

Baca laporan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Laporan Khemah Kerja Kejiranan Sekolah Taman Pantai Sepang Putra

Baru-baru ini, Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra telah mengadakan Khemah Kerja Kejiranan di Kampung Bagan Lalang. Khemah kerja selama dua hari itu disertai oleh 30 orang murid. Khemah kerja itu dianjurkan oleh Jabatan Perpaduan Negeri Selangor dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan.

Tujuan utama khemah kerja ini diadakan adalah untuk menanam sikap bekerjasama,sifat kepemimpinan, dan memupuk semangat setia kawan disamping melahirkan individu yang bertanggungjawab.

Sepanjang khemah kerja tersebut, para peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk ceramah, bengkel penghayatan diri, dan menghargai keindahan alam semula jadi ciptaan Tuhan.

Aktiviti yang paling menarik ialah penjelajahan di sekitar hutan rekreasi dan perbincangan dalam kelompok. Acara kemuncaknya pula diadakan pada malam terakhir Khemah Kerja Kejiranan. Pada malam tersebut, semua peserta berpeluang menunjukkan persembahan masing-masing.

Pada 29 Mei 2011, majlis penutupan Khemah Kerja Kejiranan berlangsung dengan jayanya. Setiap peserta yang menyertai khemah itu diberikan sijil penyertaan dan piala. Ternyatalah khemah kerja ini banyak memberikan faedah kepada peserta. Secara tidak langsung, aktiviti seperti ini dapat melahirkan generasi yang cergas dan berpandangan jauh.

Disediakan oleh, 2 JUN 2011

T.t

(ANGSOR BIN KARIMON)

Setiausaha Khemah Kerja Kejiranan

6 Siapakah penganjur utama Khemah Kerja Kejiranan?

a. murid Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

b. setiausaha Khemah Kerja Kejiranan

c. Jabatan Perpaduan Negeri Selangor

d. Penduduk Kampung Bagan Lalang

7 Bilakah aktiviti Khemah Kerja Kejiranan ini diadakan?

a. 27 Mei 2011

b. 28 Mei 2011

c. 29 Mei 2011

d. 02 Jun 2011

8 Yang berikut ialah tujuan khemah kerja ini diadakan kecuali………..

a. memupuk semangat setia kawan

b. melahirkan individu yang bertanggungjawab

c. menanam sifat kepemimpinan

d. memahami peranan rakyat Malaysia

9 Rangkaian kata-kata berpandangan jauh bermaksud……………

a. Mempunyai kebolehan menjangka sesuatu yang akan datang.

b. Berkeupayaan untuk memandang

c. Mempunyai pengetahuan yang luas

d. Memberikan perhatian pada perkembangan jangka panjang

10 Yang manakah bukan faedah menyertai Khemah Kerja Kejiranan?

a. memutuskan tali silaturahim

b. dapat menikmati keindahan alam semula jadi

c. melahirkan generasi yang cerdas dan cergas

d. membina keyakinan diri

Rabu, 29 Jun 2011

UJI5

Arahan Am: Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan, iaitu A,B,C,dan D.

Antaranya ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5

Baca petikan di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Kayu rengas ialah sejenis kayu yang keras dan sederhana berat. Dari segi nama botani, rengas ada banyak spesies. Perkataan ‘rengas’ merujuk kepada pokok-pokok lain yang mengandungi getah beracun.

Pokok rengas mempunyai taburan yang banyak di dalam hutan tetapi kayu balak rengas tidak banyak terdapat di dalam hutan. Hal ini kerana banyak pokok kecil telah dicantas oleh manusia yang ingin memusnahkan pokok beracun ini.

Kayu rengas adalah antara yang terkenal sekali sebagai kayu balak yang beracun di Asia Tenggara. Getah rengas yang terkena pada kulit boleh mengakibatkan lecur yang sangat teruk. Manakala asap yang terhasil daripada pembakaran mana-mana bahagian pokok ini juga boleh mengakibatkan melecur yang teruk dan masalah pernafasan yang serius. Selain itu, orang yang berteduh di bawah pokok rengas semasa hujan lebat juga mungkin akan menghadapi masalah kulit.

Getah rengas mengandungi asid dan mungkin juga beberapa sebatian kimia yang lain. Sekiranya getah ini terkena pada salah satu anggota tubuh, getah ini akan menyebabkan masalah pada kulit, sistem pernafasan, dan bahagian tisu badan yang lain. Racun pokok rengas boleh memberi kesan yang buruk kepada hampir setiap orang yang terdedah kepadanya.

Walaupun pokok rengas ialah sejenis pokok yang beracun, namun pokok ini juga digelar pokok multiguna. Kayu rengas sangat cantik dan berwarna merah berjalur-jalur. Kayu ini juga digunakan untuk membuat perabot yang berkualiti tinggi. Selain itu, kayu rengas juga sesuai untuk tujuan kegunaan kasar dan tahan lasak seperti membuat tiang rumah, jambatan, perahu, dan lain-lain. Getah rengas yang dikumpul boleh digunakan untuk membuat arnish dan laker. Biji rengas yang dipanggang juga sedap dimakan manakala daun pokok rengas yang muda dibuat ulam. Pendek kata, pokok rengas mempunyai pelbagai kegunaannya.

  1. Mengapakah banyak pokok kecil rengas telah dicantas?
    1. Kerana ingin memusnahkan pokok yang beracun ini.
    2. Kerana pokok ini tumbuh meliar.
    3. Kerana pokok ini sangat berbahaya
    4. Kerana pokok ini tiada kegunaannya

2. Apakah akibatnya jika terkena getah rengas pada kulit?

A. Kulit akan menjadi lebih keras

B. Kulit akan melecur dengan teruk

C. Kulit tidak boleh terdedah kepada sinaran matahari

D. Kulit akan mengelupas

3. Pernyataan berikut adalah benar berdasarkan petikan, kecuali

A kayu rengas sangat cantik dan berwarna merah berjalur-jalur.

B. kayu rengas juga boleh dibuat perabot yang berkualiti tinggi.

C. pokok rengas mempunyai dua kegunaan sahaja.

D. getah rengas yang dikumpul boleh dibuat arnish dan laker .

4. Apakah kegunaan getah rengas yang dikumpul?

A. Untuk membuat tiang rumah dan jambatan

B. Untuk membuat varnis dan laker

C. Untuk membuat varnis dan landai kereta api

D. Untuk membuat perahu dan laker

5. Perkataan multiguna dalam petikan bermaksud

A. pelbagai guna

B. diguna ramai

C. pelbagai jenis

D. pelbagai cara

Soalan 6 hingga Soalan 10.

Baca dialog di bawah dan kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya.

Abang: Wah, lekanya kamu membaca! Ada apa-apa berita yang menarik?

Johari: Sebenarnya saya sedang membaca berita tentang kejohanan golf yang akan berlangsung tidak lama lagi. Saya berasa bangga kerana Malaysia dipilih sebagai penganjur kejohanan golf yang bertaraf antarabangsa.

Abang: Jika Johari ingin tahu, dahulu golf merupakan sukan untuk golongan atasan saja.

Kini golf menjadi permainan kegemaran semua lapisan masyarakat. Oleh sebab itu, tidak menghairankan mengapa banyak padang golf dibina di negara kita sekarang.

Johari: Setahu saya, padang golf dibina di kawasan tadahan hujan, kawasan bukit, dan kawasan yang berhampiran dengan empangan. Sebagai akibatnya, berlakulah hakisan tanah dan pencemaran alam. Kesan yang paling buruk ialah tanah ini akan terhakis dan dihanyutkan ke kawasan takungan air atau laut. Hal ini akan menyebabkan hidupan laut dan terumbu karang mati.

Abang: Betul tu, Johari. Kawasan hutan ini akan dibersihkan untuk membina padang golf. Selain itu, baja kimia dan racun rumput turut digunakan untuk mengelakkan rumput tumbuh.

Johari: Jadi, apakah langkah yang patut dilakukan oleh pihak pemaju padang golf untuk mengelakkan berlakunya hakisan tanah?

Abang: Pada pendapat abang, langkah yang patut dilakukan ialah pembinaan golf itu mestilah

bersifat mesra alam.

Johari: Mesra alam? Maksud abang?

Abang: Mesra alam ialah mengekalkan bentuk muka bumi. Contohnya, di kawasan padang golf itu hendaklah ditanami pokok supaya hakisan tanah dapat dielakkan.

  1. Apakah yang menyebabkan Johari berasa bangga?
    1. dia dapat bermain golf dengan abangnya.
    2. Malaysia dipilih sebagai penganjur kejohanan golf.
    3. Kejohanan golf akan berlangsung tidak lama lagi.
    4. Banyak padang golf dibina di Malaysia.

7. Perbezaan antara sukan golf dahulu dengan sukan golf sekarang ialah ………..

A. Permainan ini tidak hanya terhad kepada golongan tertentu saja.

B. Permainan golf dimainkan di atas padang yang cantik.

C. Permainan golf kian mendapat tempat di kalangan masyarakat dunia.

D. Permainan golf tidak memerlukan belanja yang besar.

  1. Yang berikut ialah kawasan-kawasan yang dibersihkan untuk membina padang golf, kecuali …………..

A. Kawasan tadahan hujan

B. Kawasan takungan air.

C. Kawasan yang berhampiran dengan empangan.

D. Kawasan bukit

  1. Yang manakah bukan kesan pembinaan padang golf?
    1. pokok-pokok ditebang dan kawasan hutan dibersihkan
    2. tanah di kawasan bukit akan terhakis lalu dihanyutkan ke laut
    3. hidupan laut dan terumbu karang semakin berkurang
    4. berlaku pencemaran alam sekitar

  1. Apakah pengajaran yang dapat diperoleh daripada perbualan antara Johari dengan abangnya?
    1. Kejohanan golf di negeri ini hendaklah dihadkan.
    2. Hak pembinaan padang golf perlu diberikan kepada pemaju yang tertentu saja.
    3. Orang ramai harus mementingkan keindahan alam sekitar daripada kepuasan diri sendiri.
    4. Pembinaan padang golf hendaklah mengutamakan keseimbangan alam.

Selasa, 28 Jun 2011

uji 4

Jawab semua soalan di bawah;


1 Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

2 Persatuan atau kelab yang kamu sertai bercadang untuk mengadakan satu ekspedisi. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis sepucuk surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk meminta kebenaran berhubung perkara tersebut.

Tuliskan surat itu selengkapnya.

3 Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku….

Sambung cerita di atas selengkapnya.


Contoh Jawapan Soalan 1

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar .’

Alam sekitar yang bersih dan indah perlu dipelihara untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan setiap insan menyayanginya?

Hadirin sekalian.

Aktiviti yang boleh menjejaskan flora dan fauna hendaklah dikawal. Hal ini demikian kerana jika tidak dikawal, akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, kita juga hendaklah memastikan kebersihan alam sekita tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh membawa kemusnahan seperti sisa-sisa toksik, sampah sarap, dan tumpahan minyak.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan lebih keras. Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan dan memusnahkan keindahan alam.

Hadirin sekalian,

Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menentukan dunia yang kita diami ini terus terpelihara, bersih, dan indah. Jika anda sayang diri anda, ‘sayangilah alam sekitar!’.

Contoh Jawapan soalan 2

Setiausaha Kelab Rekriasi,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan. 05 MEI 2011

Tuan,

Kebenaran Mengadakan Ekspedisi Berbasikal ke Bagan Lalang
Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2 Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Rekriasi pada 01 April 2011, telah bersetuju untuk mengadakan ekspedisi ke pantai peranginan tersebut.

3 Tujuan ekspedisi ini adalah untuk membina ketahanan diri pelajar. Selain itu, ekspedisi ini juga diharapkan dapat mendedahkan pelajar mengenali satu-satunya pantai peranginan di daerah ini, di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan para peserta.

4 Jika tiada apa-apa halangan, ekspedisi ini akan disertai oleh 40 orang pelajar dan empat orang guru. Mengikut perancangan, ekspedisi ini akan diadakan pada 24 dan 25 Mei 2011.

5 Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat menimbangkan permohonan ini. Dengan kebenaran dan sokongan daripada pihak tuan diharap dapat menambah pengalaman dan pengetahuan para peserta yang tidak boleh didapati di sekolah.

6 Akhir kata, saya bagi pihak Kelab Rekriasi mengucapkan terima kasih atas segala pertimbangan dan perhatian yang tuan berikan.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Nordin Sulung

(NORDIN BIN SULUNG)

Setiausaha Kelab Rekriasi,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan.

Contoh jawapan soalan 3

Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku menjerit, “Mastura pengsan!”….

Aku dan Jamiah tergamam seketika. Kami meghampiri Mastura. Muka Mastura kelihatan pucat dan tidak bermaya. Kami segera memapah Mastura dan membawanya ke bawah pokok. Aku menyuruh Jamiah mengambil kotak ubat yang kami bawa.

Aku pasti Mastura pengsan kerana keletihan. Aku membuka butang bajunya, sambil mengipas-ngipaskannya. Jamiah mengeluarkan minyak angin lalu menyapukannya di bahagian kepala dan lehernya. Lima minit berlalu, namun Mastura masih belum sedar.

Aku dan Jamiah segera melaporkan hal tersebut kepada Cikgu Zaki yang berada di khemah utama. Cikgu Zaki mengambil keputusan untuk membawa Mastura ke hospital.

Sampai di hospital , aku memberitahu doktor mengenai kejadian yang menimpa Mastura. Mastura telah dibawa ke unit rawatan rapi. Aku berdoa semoga Mastura akan selamat.

Sepuluh minit kemudian, doktor yang merawat Mastura menepuk-nepuk bahuku sambil menyatakan bahawa Mastura pengsan kerana masalah pernafasan. Mujurlah dia mendapat pertolongan segera. Aku bersyukur kerana Mastura selamat.