Rabu, 28 April 2010

CAP

Sekali lagi masalah beg sekolah berat timbul semula. Ia bukanlah masalah baru. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah hampir sedekad mengulangi gesaan pihak berkuasa pendidikan supaya menangani masalah beg sekolah berat tetapi ia seperti tidak diendahkan.

Pada Februari 2007, CAP menyerahkan satu penemuan daripada sebuah kajian tempatan bertajuk School Bag Load and Its Effect on Erector spinae Muscle and Low Back Pain Among Primary School Children in Malaysia, (diterbitkan dalam Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences Vol. 1 (1) January 2005) kepada Kementerian Pelajaran yang mengemukakan masalah itu dengan jelas dan untuk diambil tindakan segera.

Dalam kajian Universiti Putra Malaysia yang dijalankan oleh Tamrin SBM dan rakannya, mendapati sehingga 58.3% daripada kanak-kanak sekolah yang dikaji melaporkan mengalami sakit pada bahagian bawah belakang yang dikaitkan dengan membawa beg sekolah berat.

Penyelidik itu merumuskan bahawa insiden sakit pada bahagian bawah belakang dikaitkan dengan beban yang berat yang boleh dikaitkan dengan fakta bahawa kebanyakan kanak-kanak sekolah yang dikaji membawa beg sekolah dengan berat 15% daripada berat tubuh mereka sendiri. Ini merupakan had bahagian atas yang disarankan oleh kebanyakan pengamal kesihatan.

Kajian juga menunjukkan kanak-kanak perempuan tidak mampu menanggung dalam membawa beban pada bahagian belakang mereka. Kanak-kanak sekolah yang lebih muda juga didapati tidak mampu untuk membawa beban, dalam bentuk tenaga yang digunakan berbanding dengan kanak-kanak yang lebih tua yang cenderung untuk menggunakan otot-otot mereka lebih mampu untuk membawa beban pada bahagian belakang mereka. Penemuan ini selaras dengan hasil pengarang lain yang menyatakan kanak-kanak yang lebih muda mempunyai masalah untuk membawa beg sekolah yang berat.

Pada keseluruhannya, dirumuskan bahawa terdapat insiden sakit belakang yang tinggi dalam kalangan pelajar sekolah dan perkara ini perlu dinilai semula sama ada mereka perlu membawa sebarang beban terutama beg sekolah yang berat memandangkan mereka terpaksa berdepan dengan risiko sakit belakang pada masa hadapan.

Beberapa tahun yang lalu, CAP menjalankan tinjauan secara rambang terhadap lebih 200 pelajar sekolah rendah. Kajian kami menunjukkan kira-kira 40% daripada mereka membawa beg sekolah yang lebih daripada 20% atau lebih satu perlima daripada berat tubuh mereka sendiri. Beberapa garis panduan menyarankan bahawa berat seperti itu tidak seharusnya melebihi 10% daripada berat kanak-kanak.

Beban yang tidak sama dan berlebihan telah dikaitkan dengan peningkatan risiko masalah belakang dan kecacatan spina. Tekanan daripada berat yang berlebihan ini mungkin menyebabkan bahaya dan mungkin kesan sampingan yang menjejaskan perkembangan sistem musculo-skeletal.

Pihak Kementerian Pelajaran tidak seharusnya memberikan sebarang alasan atau teragak-agak untuk bertindak terhadap masalah beban ke atas belakang kanak-kanak tetapi perlu dengan segera melihat masalah beg sekolah yang berat ini. Potensi kesan sampingan terhadap kesihatan amat serius bukan hanya kesan segera terhadap kanak-kanak tetapi mungkin juga akan menjadikan berdepan dengan masalah sakit belakang yang kronik apabila dewasa nanti.

Rabu, 28 Oktober 2009

KLINIK PENULISAN PERIBAHASA

TAJUK : Peribahasa cerita



Pengenalan

• Karangan peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan bidalan.

• Perlu memahami maksud yang tersurat dan tersirat. Jika tidak memahami atau tidak mengetahui maksudnya , anda jangan membuat karangan jenis ini.

• Cerita yang disampaikan perlulah menjelaskan makna peribahasa itu dengan dengan menceritakan tentang sesuatu peristiwa atau kejadian.

• Sebaik-baiknya cerita mestilah mengandungi pengajaran atau nilai-nilai murni.

• Anda hendaklah mempelbagaikan jenis ayat dan menggunakan peribahasa, kiasan, bidalan, simpulan bahasa yang sesuai dengan maksud peribahasa yang diceritakan supaya cerita anda lebih menarik.

• Cerita yang ditulis boleh merupakan cerita-cerita rekaan atau berdasarkan pengalaman anda.


Soalan Perbincangan

1 Karangkan sebuah cerita berdasarkan peribahasa “Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih’.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis. Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa rengkas


Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini;


Pagi itu kelas Tahun 6 Bestari menjadi kecoh. Amin telah kehilangan dompetnya. Sudah puas, sudah jemu Amin dan rakan-rakan sekelasnya mencari dan mengeledah perut beg rakan-rakan sekelasnya. Namun, dompetnya yang mengandungi wang RM.50 untuk membeli kasut sukannya masih belum dijumpai. Amin menuduh Zohdilah yang mengambil dompetnya itu.

“ Memang awaklah yang mengambil dompet saya Zohdi!” kata Amin kepada Zohdi.

Kata-kata Amin itu telah mengejutkan rakan-rakan sekelasnya. Mereka tidak menyangka Amin sanggup menuduh rakan karibnya itu. Perasaan marah, sedih, dan geram bermain di hati mereka kepada Amin “Amin, cuba bawa bertenang, pereksa dahulu kecek dan beg sekolah saya,” kata Zohdi dengan nada yang kecewa. Air mata mengalir dari kelopak matanya. Zohdi tidak menyangka rakan karibnya sanggup menuduh dia mencuri.

“Ah, bukti apa lagi! Saya menyimpan dompet itu di dalam beg. Sebelum masuk ke kelas tadi, saya menyuruh awak bawakan beg ke kelas kerana saya hendak berjumpa cikgu Saiful. Sudah tentulah awak yang mengambilnya!” bentak Amin lagi. Amin cuba menghayun buku limanya, tetapi belum sempat hinggap ke pipi Zohdi dapat di tahan rakan-rakan sekelasnya.

Seminggu berlalu. Hubungan Amin dengan Zohdi yang sebelumnya seperti belangkas, kini seolah-olah sudah berpatah arang. Walaupun rakan-rakan sekelas cuba mendamaikan tetapi nampaknya masih tidak berhasil. Cikgu Saiful, juga telah membuat siasatan sependapat dengan rakan-rakan Amin sekelas yang Zohdi tidak mencuri dompet itu. Tetapi Amin tidak percaya.

Pagi itu, Amin mahu segera sampai ke sekolah. Dalam fikirannya terbayang wajah Zohdi. Amin mahu meminta maaf daripada Zohdi.” Tetapi mahukah Zohdi Memaafkanku?” bisik hati Amin. Dompet yang disangkanya hilang rupa-rupanya terjatuh di bawah kati.

“Maafkan aku Zohdi, kerana menuduh awak,” tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari mulut Amin. “Sudahlah Amin, Zohdi, buang yang keruh ambil yang jernih,” kata cikgu Saiful yang baru melangkah masuk ke kelas. Murid-murid Tahun 6 Bestari bertepuk tangan apabila Amin dan Saiful berpelukan.


Langkah 4
Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.


Latihan minggu ini.

1 ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ Tulis sebuah karangan tentang peribahasa ini.

2 Tulis suatu cerita berdasarkan peribahasa ‘Bagai menatang minyak yang penuh’.

3 ‘Genggam bara api biar sampai jadi arang’. Tulis sebuah karangan tentang peribahasa ini.


GLOSARI:


serondeng : sejenis makanan yang dibuat daripada kelapa
parut yang digoreng, makanan yang dibuat
daripada daging ikan, udang yang disiat-siat
halus yang dimasak dengan santan dan
rempah hingga kering.
sembang : bercakap atau berbual-bual
rengus : bermasam muka kerana tidak senang hati
atau marah, berbuat sesuatu dengan
kasar kerana marah
kempunan : berasa kecewa kerana tidak mendapat
sesuatu yang diingini
dana : kumpulan wang untuk sesuatu tujuan
bubar : bercerai-cerai ke berbagai-bagai arah , berselerak ke mana-mana, tamat, habis; (perjalanan sesebuah syarikat atau pertubuhan) dimansuhkan atau dihentikan, selesai ;(tentang mesyuarat, waktu sekolah, dan sebagainya)
parut : alat yang digunakan untuk mengukur kelapa,
bekas luka atau kudis yang terdapat pada kulit
soto : makanan seperti sup yang dicampur dengan
daging ayam(nasi himpit, tauge dan lain-lain)
tatasusila : adat sopan santun dan budi pekerti yang baik
tataadab : budi bahasa yang baik;peri sopan santun

Contoh latihan karangan soalan 1

Tun Abdul Razak bin Datuk Husain atau dikenali dengan gelaran “Bapa Pembangunan” adalah Perdana Menteri Malaysia kedua. Beliau banyak melibatkan diri dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun.

Beliau turut memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Pelajaran Tanah Melayu dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Pada tahun 1970, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tun Abdul Razak banyak menyumbang tenaga dalam membangunkan negara. Pelbagai rancangan dan projek kemajuan dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan iaitu FELDA. Beliau juga telah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

Bidang perindusterian juga tidak dilupakan. Seiring dengan kepesatan pembangunan dalam bidang pertanian, beliau telah menjadikan bidang perindusterian atau perusahaan sebagai asas untuk memajukan negara ini.

Pada tanggal 14 Januari 1976 beliau telah meninggal dunia. Kehilangannya benar-benar dirasai. Dengan sumbangan dan usaha beliau dalam membangunkan Malaysia yang begitu besar, tidak hairanlah jika namanya sentiasa diingati bak kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’

Isnin, 5 Oktober 2009

BAHASA MELAYU PENULISAN

KLINIK PENULISAN SYARAHAN


Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah:

• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.

• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’.

• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti mereka yang tinggi kedudukannya.

• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .

• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan dianggap penutup.


Soalan Perbincangan
Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan.Tajuk syarahan anda ialah ‘Pentingnya Televisyen Sebagai Saluran Maklumat’. Tuliskan teks syarahan anda itu selengkapnya.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan
dan tidak melebihi 120 patah perkataan .





Memahami Kehendak Soalan;
Soalan ini menghendaki anda mengupas tentang kepentingan television. Kita harus memahami bahawa television ialah salah satu alat yang menjadi sumber atau saluran maklumat. Oleh itu, isi-isi tajuk karangan ini banyak berkisar tentang hal ini.








Isi Penting dan Kerangka;
Anda hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas sahaja. Apa yang penting ialah anda dapat menyatakan isi-isi penting yang diperlukan untuk menulis syarahan tersebut.







Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini.

Pentingnya Television Sebagai Saluran Maklumat

Yang dihormati Tuan Pengarusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana dan para hadirin sekalian.Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Pentingnya Televisyen Sebagai Saluran Maklumat’.

Hadirin sekalian,
Television boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hidup kita. Hal ini demikian kerana televisyen merupakan salah satu alat yang boleh memberikan atau membekalkan pelbagai maklumat terkini.

Selain itu, televisyen juga menyediakan pelbagai rancangan untuk hiburan seperti drama, kartun, sukan, panduan memasak, kesihatan, dan sebagai. Daripada rancangan-rancangan yang disiarkan itu kita bukan sahaja dapat berhibur tetapi mendapat maklumat-maklumat yang sangat berharga.

Hadirin sekalian,
Setiap hari iklan di dalam television memperkenal barangan baru kepada penonton. Secara tidak langsung, penonton boleh mendapat banyak informasi terkini mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan..

Di samping itu, televisyen dapat membantu para penonton meningkatkan penguasaan bahasa mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan rancangan televisyen ada memaparkan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dengan itu dapat memudahkan para penonton memahami sesuatu rancangan yang ditayangkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum mengundur diri, saya ingin menegaskan bahawa daripada hujah-hujah di atas jalas membuktikan betapa pentingnya televisyen sebagai saluran maklumat. Tidak hairanlah kalau kita lihat, peti televisyen dipasang atau di sediakan di merata tempat seperti di pejabat-pejabat, hospital dan lain-lain.

Sekian, terima kasih.





Menyemak;

Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.


Latihan

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

1. Anda telah menyertai pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah anda. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ‘Berjimat Cermat Amalan Mulia’. Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.

2. Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah “Pentingnya Menjaga Kebersihan.” Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.

3 Anda telah mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah anda. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ‘Pentingnya Air’. Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.





siarkan Menghebahkan kepada orang ramai, mengumumkan melalui radio, televisyen, surat khabar dan lain-lain, memasukkan gambar ke dalam majalah, surat khabar dan menerbitkannya, memperkembangkan atau menyebarkan keserata tempat mengenai agama, pendapat dan lain-lain.
menawarkan Mengunjukkan atau mengemukakan sesuatu supaya dibeli atau dipakai, diterima dan lain-lain, menyatakan kesediaan memberikan sesuatu seperti pertolongan perkhidmatan dan lain-lain.
sarikata Kata terjemahan dialog dalam filem yang disiarkan serentak dengan tayangan filem berkenaan.
imej Gambaran, cerminan, bayangan, keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu sebagaimana yang terpapar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain.
agen Sesuatu yang menyebabkan tindak balas atau proses dan sebagainya

Contoh jawapan

Pentingnya Menjaga Kebersihan

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Pentingnya Menjaga Kebersihan.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kebersihan bermaksud keadaan yang bersih dari segi badan kerana badan yang sihat dapat menjamin kesihatan yang sempurna. Selain daripada kesihatan badan, tempat kediaman juga perlu kita bersihkan kerana ini dapat memberikan ketenangan kepada diri dan anggota keluarga kita.

Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kebersihan alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Kita tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat. Tabiat ini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekeliling tetapi juga menggalakkan pembiakan agen pembawa kuman yang menyebarkan pelbagai penyakit.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Alam sekitar yang bersih dan berkualiti bukan sahaja merujuk kepada kawasan sekeliling yang bebas daripada sampah sarap, tetapi juga udara dan air yang bebas daripada bahan pencemar. Justru, dalam merancang pembangunan, perkara-perkara yang boleh menjejaskan alam sekitar hendaklah difikirkan. Jika tidak nescaya keadaan alam sekitar yang akan tercemar.

Oleh itu, untuk memelihara dan menjamin sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia, kita perlu memastikan alam sekitar tidak dirosakkan akibat pencemaran. Alam sekitar yang bersih dan indah pastinya dapat menarik minat pelancong. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej negara di mata dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya akhiri syarahan saya ini dengan menekankan bahawa kebersihan perlu ada pada diri setiap individu. Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua. Bak kata pepatah , “Negara Bersih, Rakyat Sihat.”

Sekian, terima kasih.

Selasa, 1 September 2009

UJIAN SOALAN RAMALAN NUJUM PAK BELALANG

Ujian Ramalan Nujum Pak Belalang UPSR 2009
Sudah cuba baru Tahu...... OK

UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2009

BAHASA MELAYU
Ujian Penulisan




1 Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.


ATAU


2. Persatuan atau kelab yang kamu sertai bercadang untuk mengadakan satu ekspedisi. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis sepucuk surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk meminta kebenaran berhubung perkara tersebut.

Tuliskan surat itu selengkapnya.

ATAU


3 Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku….

Sambung cerita di atas selengkapnya.


BAHAGIAN C
(Masa yang dicadangkan : 20 minit)
( 20 markah)

Tulis beberapa nilai murni/pengajaran yang boleh kamu dapati daripada petikan di bawah. Panjang jawapan kamu 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.


Nawi dan rakan-rakan beratur dengan tertib semasa berjalan ke dataran perhimpunan. Mereka berdiri tegak sebagai tanda hormat ketika lagu Negaraku, lagu negeri dan lagu sekolah dinyanyikan. Semasa guru bertugas berucap, mereka mendengar dengan tekun nasihat-nasihat yang diberikannya. Mereka dinasihati supaya tidak mengotorkan bilik darjah, kantin, dan kawasan sekolah. Semua peraturan sekolah juga mesti dipatuhi. Setelah mendengar ucapan guru bertugas giliran Guru Besar mereka pula memberikan ucapan. Dalam ucapan tersebut Guru Besar menyatakan bahawa untuk mencapai sesuatu kejayaan bukannya mudah, tetapi banyak dugaannya. Oleh itu, kejayaan hanya akan dapat dicapai sekiranya kita sanggup berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa tekun dan berusaha dengan bersungguh-sunggh tanpa mengenal erti jemu. Selepas mendengar ucapan Guru Besar, kami beramai-ramai berikrar untuk belajar bersungguh-sungguh dan menjadi murid yang cemerlang. Kami berjalan masuk ke kelas dengan senyap dan teratur.




KERTAS SOALAN TAMAT


Contoh Jawapan Soalan 1

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar .’

Alam sekitar yang bersih dan indah perlu dipelihara untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan setiap insan menyayanginya?

Hadirin sekalian.

Aktiviti yang boleh menjejaskan flora dan fauna hendaklah dikawal. Hal ini demikian kerana jika tidak dikawal, akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, kita juga hendaklah memastikan kebersihan alam sekita tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh membawa kemusnahan seperti sisa-sisa toksik, sampah sarap, dan tumpahan minyak.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan lebih keras. Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan dan memusnahkan keindahan alam.

Hadirin sekalian,

Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menentukan dunia yang kita diami ini terus terpelihara, bersih, dan indah. Jika anda sayang diri anda, ‘sayangilah alam sekitar!’.





Contoh Jawapan soalan 2

Setiausaha Kelab Rekriasi,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan.



Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 05 MEI 2009



Tuan,

Kebenaran Mengadakan Ekspedisi Berbasikal ke Bagan Lalang

Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2 Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Rekriasi pada 01 April 2009, telah bersetuju untuk mengadakan ekspedisi ke pantai peranginan tersebut.

3 Tujuan ekspedisi ini adalah untuk membina ketahanan diri pelajar. Selain itu, ekspedisi ini juga diharapkan dapat mendedahkan pelajar mengenali satu-satunya pantai peranginan di daerah ini, di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan para peserta.

4 Jika tiada apa-apa halangan, ekspedisi ini akan disertai oleh 40 orang pelajar dan empat orang guru. Mengikut perancangan, ekspedisi ini akan diadakan pada 24 dan 25 Mei 2009.

5 Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat menimbangkan permohonan ini. Dengan kebenaran dan sokongan daripada pihak tuan diharap dapat menambah pengalaman dan pengetahuan para peserta yang tidak boleh didapati di sekolah.

6 Akhir kata, saya bagi pihak Kelab Rekriasi mengucapkan terima kasih atas segala pertimbangan dan perhatian yang tuan berikan.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Nordin Sulung
(NORDIN BIN SULUNG)
Setiausaha Kelab Rekriasi,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
43950 Sungai Pelek,
Sepang,
Selangor Darul Ehsan.


Contoh jawapan soalan 3

Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku menjerit, “Mastura pengsan!”….

Aku dan Jamiah tergamam seketika. Kami meghampiri Mastura. Muka Mastura kelihatan pucat dan tidak bermaya. Kami segera memapah Mastura dan membawanya ke bawah pokok. Aku menyuruh Jamiah mengambil kotak ubat yang kami bawa.

Aku pasti Mastura pengsan kerana keletihan. Aku membuka butang bajunya, sambil mengipas-ngipaskannya. Jamiah mengeluarkan minyak angin lalu menyapukannya di bahagian kepala dan lehernya. Lima minit berlalu, namun Mastura masih belum sedar.

Aku dan Jamiah segera melaporkan hal tersebut kepada Cikgu Zaki yang berada di khemah utama. Cikgu Zaki mengambil keputusan untuk membawa Mastura ke hospital.

Sampai di hospital , aku memberitahu doktor mengenai kejadian yang menimpa Mastura. Mastura telah dibawa ke unit rawatan rapi. Aku berdoa semoga Mastura akan selamat.

Sepuluh minit kemudian, doktor yang merawat Mastura menepuk-nepuk bahuku sambil menyatakan bahawa Mastura pengsan kerana masalah pernafasan. Mujurlah dia mendapat pertolongan segera. Aku bersyukur kerana Mastura selamat.


CONTOH JAWAPAN C


Antara pengajaran yang boleh diambil ialah kita mesti menghormati Lagu Negaraku yang menjadi lambang kedaulatan negara. Selain itu, menjaga kebersihan mewujudkan suasana ceria dan membolehkan kita belajar dengan selesa. Pelbagai peraturan di sekolah dibuat bertujuan untuk mendisiplinkan murid. Seterusnya untuk mencapai kejayaan kita mesti gigih, cekal tabah dan berusaha, tanpa mengenal erti jemu untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.



SOALAN RAMALAN NUJUM PAK BELALANG
UJIAN PEMAHAMAN UPSR 2009

Arahan Am: Tiap-tiap soalan diikuti oleh tiga atau empat pilihan jawapan iaitu A, B, C dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu.

Pilih jawapan yang paling sesuai untuk diisikan ke tempat kosong dalam ayat di bawah.

1 Ayah sentiasa ____________ kami agar menjaga nama baik keluarga.
A teringat C mengingatkan
B mengingat D beringat-ingat

2 Kita hendaklah menggunakan __________ yang betul apabila menulis surat kiriman.
A tatarakyat C tatabahasa
B tatasusila D tatacara

3 Kegiatan kokurikulum dapatlah dianggap sebagai langkah ___________ bagi para
pelajar menghadapi kehidupan bermasyarakat apabila tamat persekolahan.
A bersedia C persediaan
B menyediakan D penyediaan

4 Kami tidak mahu mengkhianati negara ini ___________ menyokong ____________
mempertahankan kedaulatannya.
A dan ….. serta C tetapi ….. untuk
B sambil ….. ataupun D dan ….. bagi
5 Ainum membalut luka pada jari kelengkengnya dengan ____________ kain.
A selembar C segulung
B secarik D sehelai

6 Petani itu mengambil ___________ padi.
A segemal C selembarsiapa
B sejambak D sekarangan

7 “Aku akan berjuang. ___________ daripada membiar tanah airku dijajah!” kata
perajurit itu.
A Biar putih tulang jangan putih mata
B Kalah jadi abu, menang jadi arang
C Berani kerana benar, takut kerana salah
D Rambut sama hitam, hati lain-lain

8 Datuk Osman ___________ apabila dituduh menggelapkan wang syarikat rakan
kongsinya tanpa usul periksa.
A pedih hati C naik minyakyang jernih
B kecil hati D naik angin

9 Pak Pandir itu harapkan badan sahaja yang besar tetapi dia ____________ . Apabila
disergah oleh gergasi itu tidak cukup tanah dia melarikan diri.
A laksana kunyit kena kapur C laksana wau melawan angin
B laksana garam dengan asam D laksana lembu kasi

10 Anjing itu sedang ____________ seketul tulang.
A menggonggong C memikul
B membawa D mengheret

11 Rantai emas yang ____________ oleh Selvam tempoh hari ialah rantai ibunya.
A digadaikan C menggadai
B menggadaikan D gadai

12 Penonton-penonton berasa ___________ dengan persembahan tersebut.
A tersuka C terhibur
B tertawa D terhiba

13 Kebersihan taman rekreasi itu tidak dijaga dengan sempurna. _______________
kemudahan untuk orang ramai juga banyak yang rosak.
A Sudahlah begitu C Meskipun demikian
B Malangnya D Justeru itu

14 Banyak kemalangan jalan raya berlaku sejak akhir-akhir ini, _______________
pengguna jalan raya perlulah sentiasa berhati-hati.
A semenjak itu C dalam pada itu
B lantaran itu D di samping itu


Soalan 15 hingga Soalan 16

Pilih perkataan yang sama erti dengan perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah.

15 Pujian tidak sepatutnya diberikan kepadanya kerana semua kerjanya itu merupakan
usaha orang lain.
A selayaknya C sebenarnya
B sesungguhnya D semestinya

16 Syarikat itu akan dikendalikan olehnya mulai bulan depan.
A dirancang C diurus
B dikawal D dijaga


Soalan 17

Pilih perkataan yang berlawan dengan perkataan yang bergaris dalam ayat-ayat di bawah.

17 Keinginan untuk menyertai program lawatan sambil belajar mendapat halangan
daripada keluarganya.
A suruhan C tawaran
B dorongan D bimbingan

Soalan 18

Pilih ayat yang paling sesuai sebagai jawapan kepada soalan yang bergaris.

18 Mengapakah dia menjual tanahnya?
A Dia selalu menjual tanah-tanah yang ada.
B Dia menjual tanah kepada Encik Zaki.
C Dia menjual tanah kerana hendak membayar hutang-piutangnya.
D Ya, dia hendak membayar hutang-piutangnya.

Soalan 19

Pilih ayat yang paling sesuai sebagai soalan kepada jawapan yang bergaris.

19 Dia membeli buku rujukan itu dengan meminjam wang daripada rakan karibnya.
A Bilakah dia meminjam wang daripada rakan karibnya?
B Siapakah yang memberi pinjaman wang kepadanya?
C Bagaimanakah dia dapat membeli buku rujukan itu?
D Adakah dia meminjam wang daripada rakan karibnya?


Soalan 20 hingga Soalan 21

Pilih ayat yang menggunakan tanda baca yang betul.

20 A “Jangan bergerak!” jerit anggota polis kepada penjahat itu.
B “Jangan bergerak,” jerit anggota polis kepada penjahat itu.
C “Jangan bergerak!” Jerit anggota polis kepada penjahat itu.
D “Jangan bergerak.” jerit anggota polis kepada penjahat itu.

21 A Pak Melan telah dianugerahi pingat kebesaran P.I.S pada hari keputeraan Sultan
Perak baru-baru ini.
B Pak Melan telah dianugerahi pingat kebesaran P.I.S pada Hari Keputeraan Sultan
Perak baru-baru ini.
C Pak Melan, telah dianugerahi pingat kebesaran P.I.S pada hari keputeraan Sultan
Perak baru-baru ini.
D Pak Melan telah dianugerahi pingat kebesaran P.I.S pada hari keputeraan Sultan
Perak, baru-baru ini.


Soalan 22 hingga Soalan 23

Pilih ayat yang sama maksud dengan ayat yang bergaris.

22 Pasukan bomba dan penyelamat telah selamat pulang ke tanah air setelah tiga
minggu berada di Kalimantan untuk memadamkan kebakaran hutan.
A Setelah tiga minggu berada di Kalimantan untuk memadamkan kebakaran hutan,
pasukan bomba dan penyelamat telah selamat pulang ke tanah air.
B Pasukan bomba dan penyelamat telah selamat pulang ke tanah air untuk
memadamkan kebakaran hutan, setelah tiga minggu berada di Kalimantan.
C Pasukan bomba dan penyelamat pulang untuk memadamkan kebakaran hutan di
tanah air , setelah tiga minggu berada di Kalimantan.
D Setelah tiga minggu pulang ke tanah air, pasukan bomba dan penyelamat telah
selamat berada di Kalimantan untuk memadamkan kebakaran hutan.


23 Aku dan Shafik bercadang untuk berkelah di Pantai Cahaya Bulan pada minggu
hadapan. Marilah ikut sama,” ajak Chandra kepada Wan Wah.
A Wan Wah dan Chandra mengajak Shafik ikut sama menyertai mereka yang
bercadang untuk berkelah di Pantai Cahaya Bulan pada minggu hadapan.
B Chandra memberitahu Wan Wah bahawa dia dan Shafik bercadang untuk
berkelah di Pantai Cahaya Bulan pada minggu hadapan, lalu mengajaknya
pergi bersama.
C Chandra dan Shafik yang bercadang untuk berkelah di Pantai Cahaya Bulan
pada minggu hadapan telah mengajak Wan Wah ikut sama.
D Wan Wah diberitahu oleh Chandra bahawa pada minggu hadapan dia dan Shafik
bercadang untuk mengajak Wan Wah berkelah di Pantai Cahaya Bulan.


Soalan 24 hingga Soalan 25

Pilih ayat-ayat yang menggunakan perkataan yang bergaris dengan betul.

24 I Diana membela sepuluh ekor arnab.
II Hamidah tidak membela nasibnya yang malang.
III Ardila membela kematian anaknya.
IV Peguam itu membela seorang lelaki yang dituduh membunuh.

A I, dan II sahaja C I, III dan IV sahaja
B I, II , III sahaja D II, III dan IV sahaja


25 I Benda itu berbentuk bulat.
II Kami bulat hati untuk mengembara.
III Cadangannya dipersetujui bulat suara.
IV Nombor bulat bukan nombor pecahan.

A I dan II sahaja C I, II dan IV sahaja
B III dan IV sahaja D I, II, III dan IV
Soalan 26 hingga Soalan 27

Pilih ayat-ayat yang betul.

26 I Syukor memesan secawan kopi lagi sementara menanti Zaleha tiba.
II Encik Heng sekeluarga berpindah ke Pulau Pinang kerana urusan kerja.
III Lokman dan kawan-kawannya menonton wayang kulit di padang awam. itu.
IV Kerja-kerja pedalaman sungai berjalan lancar.

A I, II dan III sahaja C II, III dan IV sahaja
B I, III dan IV sahaja D I, II, III dan IV


27 I Lauk-pauk masakan Mak Som sudah terkenal di serata Kampung Deli.
II Pemandu lori itu ditahan kerana membawa muatan melebihi had.
III Pendatang tanpa izin itu dihantar pulang dengan menaiki feri.
IV Ibu meniduri adik dalam buaian.

A I, II dan III sahaja C I, III dan IV sahaja
B I, II dan IV sahaja D I, II, III dan IV

28 I Di atas meja itu buku cerita kamu
II Perpustakaan itu dibuka pada tiap-tiap hari Ahad dan cuti umum.
III Intan Syafinas asyik mengekori ibunya yang baru pulang dari kedai.
IV Azhar Mansur menyatakan yang dia akan mengelilingi dunia dengan kapal layarnya.
A I dan III sahaja
B II ,dan IV sahaja
C 1 , II dan IV sahaja
D 1 , 11 , 111 , 1V

29 I “ Cuaca pada petang ini sungguh panas sekali ,” bisik hati Leeza
II “ Kita mesti memamah makanan kita sebelum menelannya,” kata Cikgu
Nurul
III “ Orang yang keras kepala tidak mempunyai ramai kawan ,” kata Pak
Yahya.
IV “ Pada setiap petang ,ibu menjual goreng sukun dan goreng keladi di
gerainya.” kata Ali memberitahu pakciknya.
A I dan II sahaja
B I , II ,dan III sahaja
C II dan III sahaja
D II , III , dan IV sahaja

30 I Adik Aida Nazzira maju beberapa langkah apabila nenek memanggil
namanya .
II Kamu mestilah bekerja kuat demi untuk mencapai kecemerlangan dalam
U..P.S.R
III Kelab Perahu Layar sekolah itu telah menjalankan berbagai-bagai aktiviti
sepanjang tahun ini.
IV Najah Farahin dan adiknya berasa sungguh gembira kerana ibu bapa mereka
mengizinkan merelka menyertai lawatan ke Kuala Lumpur.
A I dan II sahaja
B I dan III sahaja
C I dan IV sahaja
D II dan IV sahaja

Baca rencana di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Isu kemerosotan disiplin di kalangan pelajar pada hari ini hangat didiperkatakan. Hal ini membimbangkan pelbagai pihak kerana kemerosotan disiplinlah yang memungkinkan meningkatnya pelbagai masalah social. Sehubungan dengan itu, timbul persoalan tentang faktor-faktor berlakunya kemerosotan disiplin tersebut.
Terdapat beberapa faktor yang menjadi punca berlakunya masalah ini. Antaranya termasuklah sikap pelajar itu sendiri. Pelajar-pelajar yang sering mengalami kegagalan akan menghadapi tekanan perasaan. Hal ini menyebabkan mereka tidak berminat lagi untuk mengikut peraturan-peraturan sekolah. Yang lebih buruk lagi, mereka sanggup menjadi batu api untuk mempengaruhi kawan-kawan lain mengikut mereka.
Budaya kehidupan yang mementingkan kebendaan sering menyebabkan ibu bapa melupakan tanggungjawab mereka untuk membentuk disiplin anak-anak. Mereka langsung tidak mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak kerana sibuk mencari harta kekayaan. Sikap mereka yang bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing itu memungkinkan anak-anak terbiar lalu bertindak liar.
Media elektronik turut menjadi punca merosotnya disiplin pelajar. Hal ini berlaku kerana media elektronik lebih banyak menyiarkan rancangan yang berinsur hiburan dan ganas hingga menpengaruhi pemikiran pelajar.
Masalah kemerosotan disiplin pelajar perlu diatasi segera kerana jika sudah terantuk baru tengadah, maka tentulah tidak bererti lagi. Dalam hal ini, ibu bapa, guru-guru, dan pelbagai pihak harus bersikap bagai aur dengan tebing untuk mengetahui masalah pelajar. Hal ini penting kerana pelajar hari ini bakal pemimpin yang akan menerajui pemerintahan dan mencorakkan masa depan negara.

31 Apakah perkara utama yang diperkatakan dalam rencana ini?
A Kemerosotan disiplin di kalangan pelajar
B Media elektronik banyak menyiarkan rancangan yang berunsur hiburan dan ganas
C Ibu bapa bersikap seperti enau dalam belukar
D Jika sudah teratuk baru tengadah, maka tentulah tidak bererti lagi

32 Berdasarkan petikan, semua yang berikut merupakan punca merosotnya disiplin di
kalangan pelajar, kecuali
A kegagalan ibu bapa mendidik anak-anak
B kegagalan pelajar mengatasi masalah
C pengaruh media elektronik
D pengabaian tanggungjawab oleh guru

33 Kata menerajui sesuai digantikan dengan kata-kata yang berikut, kecuali
A memimpin
B menggerakkan
C mengepalai
D mengendalikan

34 Mengapakah semua pihak harus bertanggungjawab mengatasi masalah kemerosotan
disiplin pelajar?
A Kerana masalah yang dihadapi oleh pelajar terlalu rumit
B Kerana masalah yang dialami oleh pelajar berpunca daripada pelbagai pihak
C Kerana pelajar adalah asset negara yang bakal menjadi pemimpin pada masa depan
D Kerana masalah pelajar membabitkan semua pihak

35 Pada pendapat anda, rancangan yang bagaimana yang sesuai disiarkan oleh pihak
media elektronik untuk tontonan pelajar?
A Yang dapat memenuhi selera pelajar
B Yang berunsur pengetahuan dan pendidikan
C Yang sesuai dengan peredaran zaman
D Yang berkaitan dengan pelajaran


Soalan 36 hingga Soalan 40

Baca berita di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

KUALA LUMPUR, 25 April - Kursus Penataran Bahasa perlu diadakan dari semasa ke semasa kerana memberi banyak manfaat dalam meningkatkan penggunaan Bahasa Kebangsaan di sektor swasta mahupun kerajaan.
Kursus anjuran Institut Insurans Malaysia (MII) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu banyak membantu kakitangan kerajaan dan swasta dalam menyediakan laporan tahunan dan urusan rasmi lain.
Peserta kursus itu, Norida Ali, 25 berkata, dengan mengikuti kursus berkenaan kesalahan ejaan dan kelemahan ayat dapat diperbaiki. Ayat dalam penulisan laporan tahunan akan menjadi lebih mantap dan kesalahan penggunaan bahasa Melayu dapat dielakkan. Beliau adalah salah seorang peserta Kursus Penataran Bahasa Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Penulisan Laporan Tahunan selama dua hari di sini.
Kursus itu dilaksanakan berdasarkan arahan Bank Negara yang mewajibkan penggunaan dwibahasa dalam urusan perkhidmatan kewangan pada tahun 2002 nanti. Kursus itu penting memandangkan penggunaan model pembelajaran yang mudah dan senang difahami.
Adnan Sulaiman, 33 menyifatkan kursus itu menarik kerana dapat memperluas pengetahuan tatabahasa dan penulisan dalam Bahasa Kebangsaan. Sebelum ini, bahasa Inggeris digunakan dalam penulisan laporan tahunan dan agak sukar sedikit untuk menulisnya kembali dalam bahasa Melayu. Kursus itu juga dapat memperbetul kesalahan ejaan dan tatabahasa, di samping dalam pertuturan seharian.

36 Apakah tajuk yang sesuai bagi petikan ini?
A Kursus Dewan Bahasa dan Pustaka
B Kursus Laporan Tahunan
C Kursus Penataran Bahasa
D Kursus Penataran Bahasa 2002

37 Apakah penekanan yang diutamakan dalam kursus ini?
A Format menulis laporan tahunan dengan betul
B Memaklumkan arahan-arahan Bank Negara
C Meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu oleh kakitangan kerajaan dan swasta
D Menggunakan Bahasa Melayu yang betul dalam menyediakan laporan tahunan

38 Pada pendapat anda, siapakah yang sewajarnya menyertai kursus ini?
A Semua kakitangan kerajaan
B Semua guru Bahasa Melayu
C Setiausaha di sebuah syarikat swasta dan kerajaan
D Semua murid sekolah rendah dan menengah

39 Mengapakah kursus itu diadakan?
A Untuk memperluas penggunaan Bahasa Melayu
B Untuk membiasakan peserta menulis laporan tahunan
C Untuk memperkenalkan model pembelajaran yang mudah difahami
D Untuk membantu peserta menulis laporan tahunan dengan menggunakan Bahasa
Melayu

40 Berikut adalah langkah-langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan penguasaan
Bahasa Melayu kecuali
A banyak membeli buku latihan Bahasa Melayu
B mengikuti kursus-kursus Bahasa Melayu yang diadakan
C banyak membaca buku tentang Bahasa Melayu
D membuat kamus mini bagi tatabahasa Bahasa Melayu


KERTAS SOALAN TAMAT