Jumaat, 21 Mei 2010

KLINIK KARANGAN SYARAHAN

KARANGAN SYARAHAN

Pengenalan

Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah:

• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.

• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’.

• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti
mereka yang tinggi kedudukannya.

• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .

• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan dianggap penutup.

Soalan Perbincangan

Kamu telah menyertai pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan Pelajar’. Tuliskan syarahan kamu itu sengkapnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.


Langkah 1

Memahami Kehendak Soalan;
Karangan ini menghendaki kamu menulis sebuah syarahan dengan menyatakan sebab dan kepentingan disiplin dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan hidup seseorang terutamanya pelajar.


Langkah 2

Isi Penting dan Kerangka;
Kamu hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas sahaja. Apa yang penting ialah kamu dapat menyatakan isi-isi penting yang diperlukan untuk menulis ucapan tersebut.

Langkah 3

Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya kamu tidak kehilangan markah di bahagian ini.


Baca contoh karangan di bawah ini.

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Disiplin Penentu Kejayaan.’

Hadirin sekalian,

Tahap disiplin kebanyakan pelajar pada masa kini dikatakan berada pada tahap yang agak membimbingkan. Pelbagai pengaruh negatif telah menggugat disiplin dan ketahanan diri pelajar yang sepatutnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi untuk mencapai kejayaan.

Hadirin sekalian,

Untuk mencapai kejayaan, para pelajar mestilah memiliki disiplin yang tinggi. Hal ini, membolehkan para pelajar membina sahsiah yang baik dan sentiasa patuh peraturan-peraturan yang ditetapkan. Justeru itu, para pelajar mampu mengawal diri mereka daripada ancaman pengaruh negatif yang merosakkan.

Selain itu, para pelajar akan terdorong untuk mengamalkan gaya hidup sihat. Malahan, para pelajar juga tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat seperti pergaulan bebas, penyalahgunaan dadah, dan lepak. Dengan itu, para pelajar akan dapat membina tingkah laku yang lebih baik dan dihormati oleh masyarakat.

Hadirin sekalian,

Pemupukan aspek disiplin perlu disertai dengan keyakinan dan kekuatan diri pelajar. Oleh itu, para pelajar sepatutnya memperkasakan diri mereka dengan ajaran agama, dan menghindari sebarang bentuk aktiviti yang boleh mendorong mereka melakukan perlanggaran disiplin. Jika para pelajar bersedia dengan sepenuh hati, kejayaan pasti menanti mereka.

Hadirin sekalian,

Daripada hujah-hujah yang telah saya sampaikan, jelaslah bahawa para pelajar yang mempunyai tahap disiplin yang tinggi akan lebih mudah menjulang kejayaan dalam pelajaran dan kehidupan mereka kelak.

Sekian, terima kasih.


Langkah 4


Selepas mengarang, kamu hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Latihan Minggu Ini:

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan.

1. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan kamu ialah ‘ Rakyat Sihat Negara Makmur’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

2. Kamu telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘ Keluarga Cemerlang, masyarakat terbilang’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

3. Kamu telah mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah. Tajuk syarahan yang kamu pilih ialah ‘Pentingnya Perpustakaan’’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.


GLOSARI


bankrap menderita kerugian dan tidak mampu membayar segala hutangnya sehingga perniagaannya tidak dapat teruskan, jatuh miskin dan habis harta bendanya


bengkel tempat membaiki kenderaan yang rosak, kilang kecil tempat tukang-tukang bekerja,tempat pertemuan seniman, pelukis, penulis dan lain-lain, mesyuarat atau perbincangan untuk bertukar-tukar pendapat

aliran

gerakan sesuatu yang cair, gerakan mengalir, gerakan
tenaga elektrik melalui kawat, haluan.

pusing berputar, mengalihkan hala, memeningkan,
membingungkan tak ambil tahu,
singkat tidak lama tempohnya, sekejap, sebentarringkas, cetek akal

susul mengejar sesuatu yang terdahulu, mengikuti, menyelidiki,


cagar barang yang jadi taruhan apabila hutang,cengkeram, pendahuluan


Contoh jawapan

Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Rakyat Sihat Negara Makmur.’

Hadirin sekalian,

Biarlah saya huraikan apa yang dimaksudkan dengan rakyat yang sihat. Rakyat yang sihat ialah mereka yang sihat fizikal dan mental. Untuk melahirkan rakyat yang sihat, kita memerlukan makanan yang seimbang dan berzat. Selain itu, kita juga memerlukan persekitaran yang tenteram.

Kerajaan kita telah menyediakan pelbagai kemudahan perubatan untuk memastikan rakyat negara ini mendapat rawatan yang terbaik. Dengan hal yang demikian, rakyat akan sentiasa berada dalam keadaan sihat. Rakyat yang sihat akan dapat meningkatkan produktiviti dalam apa juga bidang yang diceburi. Bukankah ini akan memberi pulangan yang besar kepada negara?

Hadirin sekalian,

Rakyat yang mempunyai mental atau emosi yang sihat pula akan berfikiran lebih rasional. Kita tidak mungkin melibatkan diri dalam kegiatan yang boleh merosakkan diri sendiri, masyarakat, dan negara. Di dalam sebuah negara yang berbilang kaum. Kita tentunya akan berusaha untuk mewujudkan perpaduan antara kaum.

Selain itu, jika sesebuah negara memiliki rakyat yang berkualiti, negara tersebut akan disegani oleh negara-negara lain. Inilah sebenarnya yang sedang berlaku sekarang. Negara kita yang berupaya mengekalkan kemakmuran dan keharmonian, telah menjadi contoh kepada negara-negara lain.

Hadirin sekalian,

Bagi mengakhiri syarahan ini, saya menyeru kepada para hadirin, marilah kita bersama-sama berusaha untuk memastikan negara kita ini akan terus menikmati kemakmuran kerana rakyatnya sentiasa sihat.

Sekian, terima kasih.

8 ulasan:

  1. blog yang menarik dan bagus untuk pelajar...teruskan usaha anda...

    BalasPadam
  2. betul tu..ini boleh mebuat pelajar lebih pandai membuat ucapan nanti./.

    BalasPadam
  3. syarahan ini bagus untuk semua peringkat umur...

    BalasPadam
  4. memang bagus..sesuai untuk pelajar

    BalasPadam
  5. terima kasih kepada blogger..............saya dapat idea nak tulis karangan

    BalasPadam
  6. terima kasih....lepas ni senang larrr nak buat karangan bm2

    BalasPadam