Isnin, 25 April 2011

KEPERIHALAN




TIP PENULISAN YANG BERKESAN
· Karangan jenis ini menceritakan sesuatu pengalaman , suasana , peristiwa , pemandangan , keadaan , perwatakan , temasya dan sebagainya.
· Ketepatan fakta boleh direka, tetapi mestilah boleh diterima akal.
· Anda boleh memasukkan unsur-unsur supen untuk menghidangkan sebuah cerita yang lebih menarik pembaca dan seterusnya mengajak pembaca seolah-olah berada dalam cerita tersebut.
· Anda tidak semestinya terlibat atau mengalami peristiwa tersebut , tetapai anda boleh mengolah cerita tersebut berdasarkan daya imaginasi anda.
· Bahasa yang puitis dan dialog boleh digunakan di tempat-tempat yang sesuai supaya karangan anda lebih menarik.
· Di bahagian pengenalan , anda boleh menceritakan peristiwa awal sebelum peristiwa yang sebenarnya berlaku.
· Dalam perenggan penutup , anda boleh menceritakan bagaimana peristiwa itu berakhir. Anda juga boleh menyatakan pendapat atau perasaan anda tentang peristiwa tersebut.
· Cerita atau peristiwa yang dijadikan bahan karangan tersebut biarlah mempunyai nilai-nilai murni.
Contoh soalan UPSR
Ø Anda dan beberapa orang rakan sedang berbasikal ke sekolah . Anda ternampak akan seorang tua terjatuh ketika melintas jalan. .
Apakah tindakan atau usaha-usaha yang akan anda dan rakan-rakan
anda lakukan untuk membantu orang tuya yang malang itu.

Soalan Perbincangan

Cuti persekolahan , adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan murid-murid. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diatur oleh ibu bapa untuk memenuhi waktu percutian tersebut. Tuliskan pengalaman kamu dan keluarga mengisi percutian tersebut.
Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.
Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.
Langkah 1
Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis . Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.
Langkah 2
Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas . Apa yang penting kamu dapat memahaminya kerana masa untuk mencari isi penting dan membina peta minda tidak lebih 5 minit.
Lihat contoh peta minda .



Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas , anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang , binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini. Baca contoh karangann di bawah ini.

PERCUTIAN YANG MENYERONOKKAN

Musim cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan ibu bapa . Aku dan keluargaku telah merancang satu percutian yang menyebabkan aku tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu harinya.
Sebagaimana yang dirancang, minggu pertama aku dan keluargaku menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian yang utama. Kami sekeluarga menginap di Rumah Rehat Persekutuan. Setiap hari ada sahaja aktiviti yang kami lakukan seperti memancing, berkayak dan tidak ketinggalan menikmati keindahan air terjun Lasir,Saok, serta menjelajah beberapa buah pulau yang terdapat di tasik tersebut.
Dari Tasik Kenyir kami tidak pulang ke rumah, sebaliknya kami terus balik ke kampung. Aku dan adik tinggal di kampung , ayah dan ibu pula terpaksa pulang ke ibu kota untuk bekerja . Inilah peluang aku dan adik mandi di sungai dan tidur di dusun . Seminggu kemudian ayah dan ibu datang menjemput kami, walaupun belum puas kami bersama datok dan nenek di kampung.
Ayah telah menyusun beberapa aktiviti untuk kami seperti membersih serta mengindahkan persekitaran rumah kami , membersihkan kolam ikan di samping mengecat pasu bunga. Selain itu kami juga mengecat bilik tidur kami dengan bantuan ibu dan ayah.
Walaupun sekolah akan dibuka tiga minggu lagi tetapi ayah telah membawa kami ke pasar raya untuk membeli pakaian serta peralatan sekolah. Selain itu, ayah juga membelikan buku-buku kerja dan pelbagai buku rujukan untuk persediaanku menghadapi UPSR .
Aku berasa sungguh puas kerana sepanjang cuti persekolahan ini aku dapat memenuhi masa tersebut dengan aktiviti yang sangat menyeronokkan, selain itu aku juga dapat menimba pelbagai pengalaman yang sukar untuk aku lupakan.
Langkah 4
Ø Selepas mengarang , anda hendaklah membaca semula karangan . Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan ,struktur ayat, penggunaan imbuhan , tanda baca dan ejaan.
Ø Anda juga boleh menyuruh rakan-rakan untuk menyemak karangan anda , terutamanya aspek-aspek seperti di atas . Sebarang kesalahan yang dilakukan, hendakalah dibuat pembetulan dengan segera dan memastikan tidak akan berlaku kesalahan yang berulang .
Latihan minggu ini.
1. Aktiviti perkhemahan adalah merupakan aktiviti yang sangat ditunggu-tunggu oleh murid-murid . Murid-murid tidak akan melepaskan peluang ini jika terpilih menyertainya.
Tuliskan satu karangan yang menceritaka bagaimana perasaan anda apabila
dipilih untuk menyertai perkhemahan tersebut.
2. Pada suatu hari kampung kamu dilanda ribut . Banyak harta benda penduduk kampung musnah dalam kejadian tersebut.
Perihalkan atau gambarkan suasana dan tindakan yang diambil selepas kejadian
ribut tersebut.
3. Sambutan Hari Kanak-kanak diadakan setiap tahun di sekolah anda. Gambarkan suasana sambutan Hari Kanak-kanak tersebut.
Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.
GLOSARI:
· Perkataan-perkataan yang terdapat dalam ruangan ini dipilih daripada
Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 5 dan 6.
abah : arah, ayah, bapa
berpinar-pinar : kabur , pandangan tidak jelas
bersurai : berpisah, bubar
berdekik-dekik : berdekah-dekah,ketawa dengan kuat, terlalu geli hati
bergegas : bergerak dengan cepat
berbaur : bercampur
bingkas : bangun dengan pantas atau cepat
deruan : tiupan angin yang kuat, bunyi kenderaan .
disusuli : diikuti, dituruti,
dikerumuni : dihurungi, dikelilingi
lazim : biasa,
girang : suka hati, riang hati, sangat gembira.
keheningan : ketenangan ,kesejukan , kedamaian
kerenah : tingkah laku, kelakuan, ragam.
mengendahkan : mempedulikan.
menerjah : masuk dengan pantas dan kuat
memecut : melajukan , mepercepatkan pergerakan.
mendorong : memberangsangkan, berkeinginan.
Contoh latihan karangan soalan 1

Pengalamanku Yang Pertama

Sukar sekali untuk melelapkan mataku malam itu . Sudah beberapa kali ibu mengingatkan aku supaya cepat tidur , entah mengapa akau sukar untuk melelapkan mata. Fikiranku menerawang jauh ke destinasi yang bakal aku lalui esok.
Sebelum azan subuh berkumandang dari surau berhampiran rumahku, aku telah bangun dan terus menyiapkan diri . Hatiku melonjak-lonjak untuk segera ke sekolah.
Ibu menegurku kerana ayam belum keluar reban lagi aku sudah bersiap .
Aku tidak menjawab sebaliknya aku terus mencapai barang-barang yang perlu dibawa dan memasukkannya ke dalam bakul basikalku. Setelah memberi salam kepada ibu aku terus memecutkan basikalku ke sekolah dalam keadaan terang-terang tanah.
Gelap lagi ,belum ada kawanku yang sampai, mereka ni lambat sangatlah, bisik hati kecilku. Setengah jam kemudian semuanya rakan-rakanku telah bersedia mendengar taklimat terakhir daripada Cikgu Amin. Aku mencatat dengan teliti apa yang telah disampaikan oleh cikgu, maklumlah inilah kali pertama aku turut serta dalam aktiviti perkhemahan.
Hatiku mulai gelisah, aku takut apabila cikgu Amin memberitahu bahawa tapak perkhemahan itu mungkin akan didatangi binatang buas , walaupun kawasan tersebut sentiasa terkawal atau diawasi, lebih-lebih lagi jika ada murid-murid menjalankan aktiviti perkhemahan.
Aku bertanya kepada cikgu Amin tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil jika berhadapan dengan situasi yang digambarkan olehnya. Cikgu Amin dengan nada yang tegas terus mengigatkan kami supaya sentiasa mematuhi arahan-arahannya setiap masa. Begitulah perasaan yang aku alami ketika aku mula-mula berpeluang menyertai perkhemahan. Aku akan tersenyum sendirian apabila terkenangkannya.

Khamis, 21 April 2011

DIALOG


PENGENALAN

· Karangan jenis dialog, biasanya melibatkan dua orang atau lebih yang berbual atau berbincang tentang sesuatu perkara.

· Karangan jenis ini boleh dibahagikan kepada dua bentuk, dialog atau perbualan, dan wawancara atau temuramah.

· Sebelum menulis karangan ini anda harus memahami kehendak soalan mencari isi penting dan menentukan jalan ceritanya terlebih dahulu.

· Dalam karangan dialog, kedua-dua pihak harus saling bertanya atau memberikan jawapan, dan memberikan pendapat. Untuk menulis temuramah pula pihak yang menemuramah akan mengemukakan soalan dan yang ditemuramah akan menjawab soalan yang diajukan.

· Pastikan anda menggunakan kata ganti diri yang sesuai yang sesuai dengan watak dan situasi dialog tersebut. Contohnya jika orang yang diajak berbual lebih berumur, gunakan panggilan “Encik”, “Tuan” ,atau “Pak cik”.

· Tidak digalakkan menggunakan kependekan seperti “kan”, “tak”, dan “tidak”.

· Penggunaan bahasa kiasan dan peribahasa adalah digalakkan supaya dialog lebih menarik.

· Jangan salah format, markah anda akan dipotong.

Soalan Perbincangan

Sebagai penulis majalah sekolah, kamu diminta untuk menemuramah seorang murid yang telah dianugerahkan sebagai murid cemerlang di sekolah kamu.

Tulis temuramah itu selengkapnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti. Fahamkan tema atau kehendak dialog yang hendak ditulis. Garisi maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan. Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda.

Peta minda hendaklah seberapa ringkas.

Contoh Peta Minda:


.

Langkah 3

Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangann di bawah ini.

Mardiah : Selamat pagi saudari Ainatul. Saya, Mardiah, penolong pengarang majalah sekolah kita. Saya telah ditugaskan untuk menemuramah saudari. Saya berharap saudari tidak keberatan.

Ainatul : Selamat pagi. Saya bersedia memberikan kerjasama.

Mardiah : Terima kasih kerana saudara bersetuju ditemuramah. Saya ucapkan tahniah atas kejayaan saudari. Bagaimanakah perasaan saudara apabila terpilih menjadi murid cemerlang tahun ini?

Ainatul : Saya bersyukur dan berasa gembira atas kejayaan yang saya anggap satu detik sejarah dalam hidup saya.

Mardiah : Saya saudari sentiasa cemerlang dalam pelajaran. Apakah rahsia

yang membuat saudari sentiasa cemerlang?

Ainatul : Tiada rahsia, sebenarnya kejayaan saya dalam pelajaran banyak bergantung kepada beberapa perkara seperti cara saya belajar, dorongan ibu bapa tetapi yang lebih penting ialah bimbingan yang tidak pernah daripada guru-guru.

Mardiah : Saudara sangat aktif dalam kegiatan kokurikulum. Bagaimanakah saudara dapat membahagi-bahagikan masa?

Ainatul : Saya ada jadul dan saya akan sentiasa mematuhi jadul tersebut. Justru itu, walaupun saya aktif dalam pelbagai kegiatan kelab dan permaianan tetapi saya masih cemerlang dalam pelajaran.

Mardiah : Apakah cita-cita saudari?

Ainatul : Saya bercita-cita menjadi seorang doktor dan berhasrat untuk berkhidmat di luar bandar.

Mardiah : Syabas saudari! Saya cukup berbangga dengan pemilihan saudari sebagai murid cemerlang pada tahun ini. Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih dan selamat berjaya.

Ainatul : Sama-sama.

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda.

Peta minda hendaklah seberapa ringkas .

Langkah 4

Selepas mengarang , anda hendaklah membaca semula karangan . Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan ,struktur ayat, penggunaan imbuhan , tanda baca dan ejaan.

Latihan minggu ini.

Tulis karangan di bawah ini. Bagi tiap-tiap soalan panjangnya mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

1 Kamu berbual-bual dengan rakan kamu tentang aktiviti sambutan hari kebangsaan yang akan diadakan di sekolah kamu.

Tuliskan perbualan kamu dan rakan kamu selengkapnya.

2 Kamu berbual-bual dengan rakan kamu yang baru menyertai satu perkhemahan, untuk mendapatkan maklumat mengenai aktiviti tersebut kerana kamu juga akan menyertai satu perkhemahan

Tuliskan perbualan antara kamu dan rakan kamu itu.

3 Kamu dan kawan kamu berbual-bual mengenai lawatan sambil belajar yang baru kamu sertai.

Tuliskan perbualan kamu dan rakan kamu selengkapnya.

GLOSARI:

Perarakan :

iring-iringan yang mengarak sesuatu, usungan atau kereta dan lain-lain untuk mengarak, kumpulan yang berarak

mengasaskan:

menyandarkan atau meletakan pada sesuatu sebagai asas, mendasarkan, membangunkan pada peringkat permulaannya, mendirikan, memulakan penubuhan sesuatu

mengawit :

membuat supaya tahan lama atau tidak busuk, rosak dan sebagainya, memelihara atau mengekalkan kesegaran sesuatu seperti makanan

membantutkan :

menyebabkan bantut atau terbantut, menyebabkan tidak dapat mencapai kejayaan atau kemajuan dengan menimbulkan halangan atau rintangan

perbatasan :

sempadan atau sesuatu kawasan, daerah, sempadan, keadaan yang menyakat atau membatasi

baucer :

dokumen yang menunjukkan bahawa wang telah dibayar bagi barang-barang dan lain-lain yang telah diterima atau dokumen yang boleh ditukarkan dengan barang-barang atau perkhidmatan tertentu

bengkel :

tempat membaiki kereta dan lain-lain, kilang kecil tempat tukang-tukang bekerja, mesyuarat atau perbincangan secara kelompok untuk mengkaji sesuatu atau bertukar-tukar pendapat tentang sesuatu

pemborong :

orang yang membeli secara keseluruhannya atau secara besar-besaran atau orang yang melakukan pekerjaan secara keseluruhannya seperti mendirikan bangunan

Contoh latihan karangan soalan 3

Anuar

:

Apa khabar, Ikram.

Ikram

:

Khabar baik, Anuar.

Anuar

:

Bagaimana dengan perkhemahan pengakap pada minggu lepas, seronok?

Ikram

:

Oh, memang menyeronokkan. Banyak pengalaman yang telah saya perolehi ketika menyertai perkhemahan tersebut.

Anuar

:

Bulan hadapan, saya akan menyertai kelab kembara yang akan mengadakan perkhemahan di Tasik Kenyir, apakah persiapan yang mesti saya lakukan?

Ikram

:

Sebelum pergi berkhemah, kita perlu memastikan segala kelengkapan perkhemahan seperti khemah dan tali adalah mencukupi.

Anuar

:

Selain khemah, apakah lagi kelengkapan yang perlu kita sediakan?

Ikram

:

Kita perlu juga menyediakan pelbagai keperluan diri seperti tuala, ubat gigi, lampu suluh dan makanan. Selain itu, bagi setiap kumpulan, barang-barang seperti parang, periuk, mancis api serta bekalan makanan untuk kumpulan perlu disediakan.

Anuar

:

Apakah perkara-perkara lain yang perlu saya ketahui untuk pergi berkhemah?

Ikram

:

Keselamatan adalah perkara yang sangat penting. Ketika kita mengikuti perkhemahan, kita perlulah sentiasa mengikut arahan yang diberikan oleh guru.

Anuar

:

Terima kasih, Kamal. Semoga maklumat yang telah kamu berikan dapat dijadikan panduan kepada saya dan rakan-rakan kita yang akan menyertai aktiviti perkhemahan bulan hadapan .

Ikram

:

Sama-sama. Saya ucapkan, selamat berkhemah