Isnin, 5 Oktober 2009

BAHASA MELAYU PENULISAN

KLINIK PENULISAN SYARAHAN


Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan syarahan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat. Untuk menulis karangan jenis ini, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian. Antaranya ialah:

• kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.

• untuk pertandingan menyebut ‘para hakim’.

• Kata-kata aluan dimulakan dengan pengurusi majlis, kemudian diikuti mereka yang tinggi kedudukannya.

• menyebut ‘para hadirin’ untuk menimbulkan suasana bersyarah .

• kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir syarahan dianggap penutup.


Soalan Perbincangan
Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan.Tajuk syarahan anda ialah ‘Pentingnya Televisyen Sebagai Saluran Maklumat’. Tuliskan teks syarahan anda itu selengkapnya.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan
dan tidak melebihi 120 patah perkataan .





Memahami Kehendak Soalan;
Soalan ini menghendaki anda mengupas tentang kepentingan television. Kita harus memahami bahawa television ialah salah satu alat yang menjadi sumber atau saluran maklumat. Oleh itu, isi-isi tajuk karangan ini banyak berkisar tentang hal ini.








Isi Penting dan Kerangka;
Anda hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas sahaja. Apa yang penting ialah anda dapat menyatakan isi-isi penting yang diperlukan untuk menulis syarahan tersebut.







Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini.

Pentingnya Television Sebagai Saluran Maklumat

Yang dihormati Tuan Pengarusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana dan para hadirin sekalian.Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Pentingnya Televisyen Sebagai Saluran Maklumat’.

Hadirin sekalian,
Television boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hidup kita. Hal ini demikian kerana televisyen merupakan salah satu alat yang boleh memberikan atau membekalkan pelbagai maklumat terkini.

Selain itu, televisyen juga menyediakan pelbagai rancangan untuk hiburan seperti drama, kartun, sukan, panduan memasak, kesihatan, dan sebagai. Daripada rancangan-rancangan yang disiarkan itu kita bukan sahaja dapat berhibur tetapi mendapat maklumat-maklumat yang sangat berharga.

Hadirin sekalian,
Setiap hari iklan di dalam television memperkenal barangan baru kepada penonton. Secara tidak langsung, penonton boleh mendapat banyak informasi terkini mengenai sesuatu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan..

Di samping itu, televisyen dapat membantu para penonton meningkatkan penguasaan bahasa mereka. Hal ini demikian kerana kebanyakan rancangan televisyen ada memaparkan sarikata dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dengan itu dapat memudahkan para penonton memahami sesuatu rancangan yang ditayangkan.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Sebelum mengundur diri, saya ingin menegaskan bahawa daripada hujah-hujah di atas jalas membuktikan betapa pentingnya televisyen sebagai saluran maklumat. Tidak hairanlah kalau kita lihat, peti televisyen dipasang atau di sediakan di merata tempat seperti di pejabat-pejabat, hospital dan lain-lain.

Sekian, terima kasih.





Menyemak;

Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.


Latihan

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

1. Anda telah menyertai pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah anda. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ‘Berjimat Cermat Amalan Mulia’. Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.

2. Anda telah mewakili sekolah dalam pertandingan syarahan di peringkat daerah. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah “Pentingnya Menjaga Kebersihan.” Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.

3 Anda telah mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan yang diadakan di sekolah anda. Tajuk syarahan yang anda pilih ialah ‘Pentingnya Air’. Tuliskan syarahan anda itu selengkapnya.





siarkan Menghebahkan kepada orang ramai, mengumumkan melalui radio, televisyen, surat khabar dan lain-lain, memasukkan gambar ke dalam majalah, surat khabar dan menerbitkannya, memperkembangkan atau menyebarkan keserata tempat mengenai agama, pendapat dan lain-lain.
menawarkan Mengunjukkan atau mengemukakan sesuatu supaya dibeli atau dipakai, diterima dan lain-lain, menyatakan kesediaan memberikan sesuatu seperti pertolongan perkhidmatan dan lain-lain.
sarikata Kata terjemahan dialog dalam filem yang disiarkan serentak dengan tayangan filem berkenaan.
imej Gambaran, cerminan, bayangan, keperibadian atau watak seseorang atau sesuatu sebagaimana yang terpapar pada pandangan atau tanggapan orang atau pihak lain.
agen Sesuatu yang menyebabkan tindak balas atau proses dan sebagainya

Contoh jawapan

Pentingnya Menjaga Kebersihan

Yang berusaha Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dihormati. Selamat sejahtera saya ucapkan. Berdirinya saya di sini adalah untuk menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Pentingnya Menjaga Kebersihan.”

Hadirin yang dihormati sekalian,
Kebersihan bermaksud keadaan yang bersih dari segi badan kerana badan yang sihat dapat menjamin kesihatan yang sempurna. Selain daripada kesihatan badan, tempat kediaman juga perlu kita bersihkan kerana ini dapat memberikan ketenangan kepada diri dan anggota keluarga kita.

Sebagai masyarakat yang cintakan negara, kebersihan alam sekitar juga perlu dititikberatkan. Kita tidak sepatutnya membuang sampah di merata-rata tempat. Tabiat ini bukan sahaja mengotorkan kawasan sekeliling tetapi juga menggalakkan pembiakan agen pembawa kuman yang menyebarkan pelbagai penyakit.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Alam sekitar yang bersih dan berkualiti bukan sahaja merujuk kepada kawasan sekeliling yang bebas daripada sampah sarap, tetapi juga udara dan air yang bebas daripada bahan pencemar. Justru, dalam merancang pembangunan, perkara-perkara yang boleh menjejaskan alam sekitar hendaklah difikirkan. Jika tidak nescaya keadaan alam sekitar yang akan tercemar.

Oleh itu, untuk memelihara dan menjamin sebuah masyarakat yang harmoni dan bahagia, kita perlu memastikan alam sekitar tidak dirosakkan akibat pencemaran. Alam sekitar yang bersih dan indah pastinya dapat menarik minat pelancong. Ini secara tidak langsung dapat menaikkan imej negara di mata dunia.

Hadirin yang dihormati sekalian,
Saya akhiri syarahan saya ini dengan menekankan bahawa kebersihan perlu ada pada diri setiap individu. Menjaga kebersihan adalah tanggungjawab semua. Bak kata pepatah , “Negara Bersih, Rakyat Sihat.”

Sekian, terima kasih.

3 ulasan: