Rabu, 28 Oktober 2009

KLINIK PENULISAN PERIBAHASA

TAJUK : Peribahasa cerita



Pengenalan

• Karangan peribahasa merangkumi simpulan bahasa, perumpamaan, pepatah, dan bidalan.

• Perlu memahami maksud yang tersurat dan tersirat. Jika tidak memahami atau tidak mengetahui maksudnya , anda jangan membuat karangan jenis ini.

• Cerita yang disampaikan perlulah menjelaskan makna peribahasa itu dengan dengan menceritakan tentang sesuatu peristiwa atau kejadian.

• Sebaik-baiknya cerita mestilah mengandungi pengajaran atau nilai-nilai murni.

• Anda hendaklah mempelbagaikan jenis ayat dan menggunakan peribahasa, kiasan, bidalan, simpulan bahasa yang sesuai dengan maksud peribahasa yang diceritakan supaya cerita anda lebih menarik.

• Cerita yang ditulis boleh merupakan cerita-cerita rekaan atau berdasarkan pengalaman anda.


Soalan Perbincangan

1 Karangkan sebuah cerita berdasarkan peribahasa “Buang Yang Keruh, Ambil Yang Jernih’.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis. Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa rengkas


Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini;


Pagi itu kelas Tahun 6 Bestari menjadi kecoh. Amin telah kehilangan dompetnya. Sudah puas, sudah jemu Amin dan rakan-rakan sekelasnya mencari dan mengeledah perut beg rakan-rakan sekelasnya. Namun, dompetnya yang mengandungi wang RM.50 untuk membeli kasut sukannya masih belum dijumpai. Amin menuduh Zohdilah yang mengambil dompetnya itu.

“ Memang awaklah yang mengambil dompet saya Zohdi!” kata Amin kepada Zohdi.

Kata-kata Amin itu telah mengejutkan rakan-rakan sekelasnya. Mereka tidak menyangka Amin sanggup menuduh rakan karibnya itu. Perasaan marah, sedih, dan geram bermain di hati mereka kepada Amin “Amin, cuba bawa bertenang, pereksa dahulu kecek dan beg sekolah saya,” kata Zohdi dengan nada yang kecewa. Air mata mengalir dari kelopak matanya. Zohdi tidak menyangka rakan karibnya sanggup menuduh dia mencuri.

“Ah, bukti apa lagi! Saya menyimpan dompet itu di dalam beg. Sebelum masuk ke kelas tadi, saya menyuruh awak bawakan beg ke kelas kerana saya hendak berjumpa cikgu Saiful. Sudah tentulah awak yang mengambilnya!” bentak Amin lagi. Amin cuba menghayun buku limanya, tetapi belum sempat hinggap ke pipi Zohdi dapat di tahan rakan-rakan sekelasnya.

Seminggu berlalu. Hubungan Amin dengan Zohdi yang sebelumnya seperti belangkas, kini seolah-olah sudah berpatah arang. Walaupun rakan-rakan sekelas cuba mendamaikan tetapi nampaknya masih tidak berhasil. Cikgu Saiful, juga telah membuat siasatan sependapat dengan rakan-rakan Amin sekelas yang Zohdi tidak mencuri dompet itu. Tetapi Amin tidak percaya.

Pagi itu, Amin mahu segera sampai ke sekolah. Dalam fikirannya terbayang wajah Zohdi. Amin mahu meminta maaf daripada Zohdi.” Tetapi mahukah Zohdi Memaafkanku?” bisik hati Amin. Dompet yang disangkanya hilang rupa-rupanya terjatuh di bawah kati.

“Maafkan aku Zohdi, kerana menuduh awak,” tiba-tiba terpacul kata-kata itu dari mulut Amin. “Sudahlah Amin, Zohdi, buang yang keruh ambil yang jernih,” kata cikgu Saiful yang baru melangkah masuk ke kelas. Murid-murid Tahun 6 Bestari bertepuk tangan apabila Amin dan Saiful berpelukan.


Langkah 4
Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.


Latihan minggu ini.

1 ‘Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama’ Tulis sebuah karangan tentang peribahasa ini.

2 Tulis suatu cerita berdasarkan peribahasa ‘Bagai menatang minyak yang penuh’.

3 ‘Genggam bara api biar sampai jadi arang’. Tulis sebuah karangan tentang peribahasa ini.


GLOSARI:


serondeng : sejenis makanan yang dibuat daripada kelapa
parut yang digoreng, makanan yang dibuat
daripada daging ikan, udang yang disiat-siat
halus yang dimasak dengan santan dan
rempah hingga kering.
sembang : bercakap atau berbual-bual
rengus : bermasam muka kerana tidak senang hati
atau marah, berbuat sesuatu dengan
kasar kerana marah
kempunan : berasa kecewa kerana tidak mendapat
sesuatu yang diingini
dana : kumpulan wang untuk sesuatu tujuan
bubar : bercerai-cerai ke berbagai-bagai arah , berselerak ke mana-mana, tamat, habis; (perjalanan sesebuah syarikat atau pertubuhan) dimansuhkan atau dihentikan, selesai ;(tentang mesyuarat, waktu sekolah, dan sebagainya)
parut : alat yang digunakan untuk mengukur kelapa,
bekas luka atau kudis yang terdapat pada kulit
soto : makanan seperti sup yang dicampur dengan
daging ayam(nasi himpit, tauge dan lain-lain)
tatasusila : adat sopan santun dan budi pekerti yang baik
tataadab : budi bahasa yang baik;peri sopan santun

Contoh latihan karangan soalan 1

Tun Abdul Razak bin Datuk Husain atau dikenali dengan gelaran “Bapa Pembangunan” adalah Perdana Menteri Malaysia kedua. Beliau banyak melibatkan diri dalam menjadikan Malaysia sebuah negara yang membangun.

Beliau turut memegang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negara. Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Pelajaran Tanah Melayu dan membentuk Dasar Pelajaran Kebangsaan.

Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan. Pada tahun 1970, beliau telah dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tun Abdul Razak banyak menyumbang tenaga dalam membangunkan negara. Pelbagai rancangan dan projek kemajuan dilaksanakan seperti Rancangan Pembangunan Tanah Persekutuan iaitu FELDA. Beliau juga telah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama minyak sawit dunia.

Bidang perindusterian juga tidak dilupakan. Seiring dengan kepesatan pembangunan dalam bidang pertanian, beliau telah menjadikan bidang perindusterian atau perusahaan sebagai asas untuk memajukan negara ini.

Pada tanggal 14 Januari 1976 beliau telah meninggal dunia. Kehilangannya benar-benar dirasai. Dengan sumbangan dan usaha beliau dalam membangunkan Malaysia yang begitu besar, tidak hairanlah jika namanya sentiasa diingati bak kata pepatah, “Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama.’

5 ulasan:

  1. Blog ini membantu saya mencari bnyk maklumat .. terima kasih :D

    BalasPadam
  2. blog ini adalah penipu

    BalasPadam
  3. korang dah kenapa ckp blog ni menipu!

    BalasPadam
  4. i don't like this blog. .
    really2x don't like

    BalasPadam