CERITA
Pengenalan
• Karangan cerita merupakan karangan yang paling popular dalam UPSR. Karangan yang hendak ditulis mestilah berdasarkan tema atau situasi yang diberi. Untuk menghasilkan sebuah cerita yang baik, kesinambungan jalan cerita mestilah berurutan dari satu perenggan ke perenggan yang lain.
• Karangan jenis cerita ialah karangan yang berbentuk cerita rekaan, cerita imaginasi.
• Ketepatan fakta tidak diperlukan, tetapi cerita yang dipaparkan mestilah logik, menggunakan bahasa yang indah serta pengolahan yang mempunyai unsur-unsur kreatif.
• Karangan ditulis berdasarkan pengalaman, pemerhatian , perbualan, dan pembacaan.
• Sebuah cerita yang baik mempunyai ciri-ciri seperti berikut, iaitu peristiwa, watak, tempat ( latar cerita) sebab dan akibat kejadian serta plot (jalan cerita).
• Karangan di bahagikan kepada beberapa peringkat, iaitu perkembangan isi, ketegangan, kemuncak, dan penyelesaian.
• Perbualan atau dialog boleh digunakan untuk menghidupkan sesebuah cerita.
• Setiap cerita mempunyai nilai murni seperti tolong-menolong, kasih sayang dan sebagainya.
• Kemahiran berfikir secara keritis dan kreatif sangat-sangat diperlukan untuk mencorakkan jalan cerita yang lebih menarik dan berkesan.
Tajuk Perbincangan
Perlawanan akhir, satu permainan yang kamu sertai sedang berlangsung. Pasukan kamu berhempas-pulas untuk mendahului pasukan lawan. Namun, pasukan kamu masih gagal mendahului pasukan lawan. Gambarkan suasana perlawanan tersebut.
Lengkapkan cerita di atas. Panjang cerita kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.
Langkah 1
Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti. Fahamkan tema atau cerita yang hendak ditulis. Garisi maklumat-maklumat yang penting supaya kamu tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan. Soalan ini, memerlukan kamu memberikan gambaran mengenai satu perlawanan yang kamu sertai.Kamu boleh memilih permainan seperti bola sepak, bola jaring, hoki, bola keranjang, bola baling, dan ragbi.
Langkah 2
Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan. Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda.
Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.
Baca contoh karangan di bawah ini.
Contoh Karangan
Dalam situasi seperti ini, kedua-dua pasukan perlu menggandakan serangan untuk mengatasi pasukan lawan. Aku dapat melihat Cikgu Jamil memberikan arahan di luar padang agar kami terus menyerang. Selaku ketua pasukan, aku tidak cepat berputus asa. Aku mengarahkan rakan-rakan sepasukan supaya meneruskan usaha untuk menjaringkan gol.
Pertahanan pasukan lawan ternyata kebal. Terlalu sukar untuk aku melepasi kawalan mereka. Masa perlawanan semakin singkat. Tiba-tiba, ayam tambatan pasukan kami, Zakuan telah mengalami kekejangan otot. Dia terpaksa dikeluarkan. Cikgu Jamil terpaksa menggantikan Zakuan dengan Rizal. Kamasukan Rizal jelas menyuntik satu semangat baru kepada pasukan kami.
Aku mengarahkan Rizal agar membantu bahagian serangan. Pengadil perlawanan telah melanjutkan perlawanan ke masa tambahan. Aku telah beberapa kali membuat percubaan dari jarak jauh untuk memperdayakan penjaga gol pasukan lawan. Namun, penjaga gol pasukan itu sungguh tangkas menyelamatkan setiap percubaanku.
Masa hanya tinggal 1 minit. Aku semakin cemas. Pada minit-minit terakhir itu, pasukan kami terus mengasak dan kami telah memperoleh tendangan sudut. Rizal diberi tanggungjawab untuk menyempurnakan tendangan itu.
Rizal membuat satu tendangan yang kemas. Bola menuju tepat ke arahku. Aku yang yang tidak dikawal tidak melepaskan peluang keemasan itu untuk melakukan satu tandukan yang kencang dan bola menerjah ke dalam gol pasukan lawan.
Aku melompak kegembiraan. Rakan-rakan sepasukanku menyerbu ke arakku. Para penyokong pasukan kami bersorak kegembiraan merayakan jaringan emas itu. Cikgu Jamil menerpa aku lalu memeluk aku dengan erat sambil berkata, “Kamu adalah wira”. Aku sungguh bersyukur kerana pasukan kami telah menjadi juara..
Langkah 4
Kamu hendaklah membaca dan menyemak semula karangan itu. Dalam proses penyemakan perkara-perkara berikut perlu diperhatikan ialah kesalahan penggunaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.
Latihan Minggu Ini
1. Waktu itu aku sedang membaca buku di perpustakaan sekolah. Tiba-tiba aku dikejutkan oleh bunyi loceng kecemasan. Aku pun…
2. Aku dan beberapa orang kawanku sedang asyik bermain taman permainan.
Tiba-tiba adik bongsuku memanggilku. Adikku memberitahu bahawa
ibu menyuruh aku pulang ke rumah dengan segera ….
3. Kamu dan beberapa orang rakan sedang mencari kayu api tidak jauh dari
tapak perkhemahan. Tiba-tiba kamu terlihat beberapa tompok darah. dan kesan tapak kaki yang mencurigakan. Ceritakan tindakan kamu seterusnya.
GLOSORI
elit : golongan yang dianggap berpengaruh,intelek
fanatik : orang yang keterlaluan dalam sesuatu pegangan atau pendirian
gagau : meraba-raba dalam gelap, mencari sesuatu dengan meraba-raba
(orang buta)
hambat : memburu, mengejar( kerana hendak menangkap atau menyerang)
menghamburkan : melompatkan, menerjunkan,
jangkit : berpindah daripada seorang kepada seorang,menular,
merebak penyakit
jip : kenderaan kecil yang kuat serta tahan lasak banyak digunakan
oleh anggota tentera
kontena : bekas besar untuk mengangkut barang melalui jalan darat, laut,
dan udara
keranjang : bakul besar yang dianyam kasar-kasar,
mami : ibu, emak , emak saudara
natijah keputusan daripada sesuatu,kesudahan,kesimpulan,akibat
Contoh jawapan 2
Aku dan beberapa orang kawanku sedang asyik bermain taman permainan. Tiba-tiba adik bongsuku memanggilku. Adikku memberitahu bahawa ibu menyuruh aku pulang ke rumah dengan segera. Aku terasa sungguh terkilan kerana terpaksa berhenti bermain.
Aku menjerit ke arah Kimi dan Fizar untuk memaklumkan kepada mereka bahawa aku terpaksa pulang dahulu ke rumah. Aku segera mencapai basikalku yang aku sandarkan di bawah sebatang pohon beringin. Aku mengekori adikku dari belakang. Kayuhanku semakin pantas kerana aku tidak mahu rakan-rakanku menunggu aku terlalu lama di padang.
Setibanya aku di halaman rumah, ibuku kelihatan gelisah menanti kepulanganku. Ibuku meluru ke arahku lantas memelukku dengan erat. Aku terasa beberapa titik air mata ibu jatuh membasahi tanganku. Aku semakin bingung. Mengapa ibuku menangis? Aku cuba mententeramkan ibu dan bertanya apa sebenarnya yang telah terjadi.
Dengan sebak dan suara terketar-ketar ibuku memberitahu bahawa datukku di kampung baru sahaja meninggal dunia. Perasaan sedih menyelinap ke seluruh jiwaku. Pilu rasanya aku mendengar perkhabaran itu. Tanpaku sedari, manik-manik jernih bergenang di kelopak mataku.
Ayahku muncul di gawang pintu dengan membimbit sebuah beg besar. Ayah memberi isyarat seolah-olah difahami oleh ibu. Aku tahu, ayah telah bersedia untuk pulang ke kampung. Tanpa berlengah lagi, aku membantu ayah dan ibu untuk memasukkan beg dan beberapa barang keperluan ke dalam kereta.
Sepanjang perjalanan, ayah dan ibu kelihatan sugul. Tiada terhambur gelak tawa serta gurau senda mereka seperti yang selalu aku alami ketika pulang ke kampung. Apabila sampai di kampung, kami telah disambut oleh Pak Long dan Mak Usu. Suasana syahdu dan hiba mengiringi pemergian datuk yang amat aku sayangi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan