Selasa, 10 Mei 2011

Latihan Kefahaman 3

Arahan Am: Tiap-tiap soalan diikuti oleh empat pilihan jawapan iaitu A, B, C dan D. Antaranya, ada satu sahaja jawapan yang betul. Pilih jawapan yang betul itu.

Soalan 1 hingga Soalan 5

Baca petikan di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Aku dilahirkan di sebuah kedai membuat pakaian di bandar Kuantan. Aku diperbuat daripada benang sutera yang dimport daripada negara Jepun. Badan aku berwarna biru dan dihiasi dengan corak bunga teratai yang berwarna kuning. Kawan-kawanku memuji kecantikanku. Sesungguhnya aku sungguh bersyukur dan bangga dilahirkan cantik sebegini.

Setelah aku siap dipotong, aku telah dibungkus dengan kemas di dalam sebuah kotak bersama dengan kawan-kawanku yang lain. Aku dan kawan-kawanku telah dihantar dengan menggunakan sebuah lori ke sebuah pasar raya yang besar di Petaling Jaya. Aku dan kawan-kawanku akan dijual di situ.

Aku dan kawan-kawanku telah dipamerkan di sudut menjual pakaian di pasar raya itu. Aku berasa bangga berada di situ. Orang ramai yang datang sering memuji-mujiku. Kata mereka, warna aku menarik dan potongan badanku cantik. Kata-kata mereka ini tambah membanggakan aku lagi.

Pada suatu hari, datang seorang perempuan muda yang bergaya ke tempat aku dan kawan-kawanku dipamerkan. Aku ternampak dia membelek-belek kawan-kawanku, kemudian dia menggelengkan kepalanya. Perempuan muda itu ternampak aku. Akhirnya dia membelek-belekku sambil tersenyum. Dia mengacukan aku ke badannya. Kemudian, dia terus ke kaunter pembayaran untuk membayar hargaku.

Kini, bermulalah kehidupan baru dalam hidupku. Aku telah mendapat tuan yang baru. Aku berasa gembira dan bangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan kepada tuanku. Aku berjanji akan memberi perkhidmatan yang terbaik kepada tuanku. Tuan aku selalu mamakai aku ketika pergi ke pejabat dan ke masjlis-majlis rasmi. Kawan-kawan tuan aku sering memujinya apabila memakaiku.Aku berasa sangat bangga dengan pujian tersebut. Apabila aku digunakan, aku dibasuh dan dijaga. Kemudian, tuan aku menggosokkan aku supaya aku kelihatan kemas dan rapi.

Namun, semakin lama warnaku semakin pudar kerana selalu digunakan oleh tuanku. Pada suatu hari, tuanku telah memasukkan aku ke dalam sebuah plastik yang besar. Aku berasa amat sedih dan kecewa dengan sikap tuanku. Di dalam plastik itu, terdapat lagi kawan-kawanku yang senasib denganku. Mereka semua kelihatan sedih. Kata mereka, kami akan didermakan kepada sebuah badan kebajikan. Walaupun berasa sedih, namun aku tetap berbangga kerana akan dapat memberi perkhidmatan lagi kepada mereka yang memerlukannya.

1 Siapakah ‘aku’ dalam petikan di atas?

A Sepasang baju Melayu C Sepasang anting-anting

B Sepasang baju kurung D Sepasang kasut

2 Di manakah ‘aku’ dilahirkan?

A Di negeri Pahang C Di negara Jepun

B Di Petaling Jaya D Di Kuala Lumpur

3 Semua pernyataan berikut menyebabkan ‘aku’ berasa bangga kecuali

A dapat memberi perkhidmatan kepada tuannya

B mempunyai warna yang menarik dan potongan badan yang cantik

C sering menerima pujian daripada kawan-kawan tuannya

D dibawa dengan lori ke pasar raya yang besar

4 Mengapakah perempuan muda itu tersenyum apabila membelek-belek ‘aku’?

A kerana kecantikan ‘aku’ dan sesuai dengan saiz badannya

B kerana ‘aku’ dijual di pasar araya yang besar

C kerana harga ‘aku’ lebih mahal berbanding dengan kawan-kawan ‘aku’

D kerana dia berminat untuk membeli kawan-kawan ‘aku’

5 Apakah nasib yang menimpa ‘aku’ selepas dimasukkan ke dalam sebuah plastik?

A ‘Aku’ akan diberikan kepada orang lain

B ‘Aku’ telah digunakan sebagai pengelap lantai

C ‘Aku’ akan disumbangkan kepada sebuah badan kebajikan

D ‘Aku’ akan dibuang ke dalam tong sampah

Soalan 6 hingga Soalan 10

Baca berita di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

PUTRAJAYA, Rabu – Kerajaan hari telah menubuhkan Kumpulan Kerja Pengurusan Risiko Bencana untuk menangani sebarang kemungkinan bencana, kecemasan dan darurat di negara ini dengan lebih cepat dan terurus. Ia terdiri daripada kumpulan kerja banjir, tanah runtuh, petroleum dan gas, kebakaran hutan dan radiologi.

Timbalan Perdana Menteri, berkata, kumpulan-kumpulan kerja yang diwujudkan itu boleh bertindak dan melaksanakan segala prosedur kerja dengan serta-merta apabila berlaku kejadian yang tidak diingini. Tambah beliau lagi, penubuhan kumpulan-kumpulan kerja ini sebagai persiapan awal apabila bencana berlaku dan dapat menanganinya dengan lebih cepat dan tersusun. Bukan membiarkan bencana melanda dahulu sebelum mencari jalan penyelesaiannya.

Di samping itu, kerajaan juga mewujudkan Kumpulan Kerja Pengurusan Bantuan Bencana yang diuruskan oleh Jabatan Pertanian. Ini bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada mangsa-mangsa yang hilang punca pencarian akibat bencana yang berlaku.

Datuk Seri Abdullah juga berharap agar setiap kumpulan kerja yang ditubuhkan ini dapat menjalankan tugas dan tindakan mereka dengan lebih cepat dan berkesan apabila menghadapi sebarang bencana. Mengenai banjir, beliau berkata, kerajaan telah membuat persediaan awal dari segi logistik, peralatan serta peruntukan kewangan. Kerajaan juga telah menyediakan pusat pemindahan banjir, makanan dan ubat-ubatan kepada mangsa-mangsa nanti yang dikenal pasti di seluruh negara.

6 Mengapakah Kumpulan Kerja Pengurusan Risiko Bencana ditubuhkan oleh

kerajaan?

A Sebagai persiapan awal untuk menghadapi banjir

B Untuk mengatasi sebarang bencana dengan lebih cekap dan tersusun

C Untuk memberi bantuan kepada mangsa-mangsa yang dilanda bencana

D Mencari jalan penyelesaian selepas sesuatu bencana itu berlaku

7 Berikut adalah kumpulan-kumpulan yang ditubuhkan dalam Kumpulan Kerja

Pengurusan Risiko Bencana kecuali

A Kumpulan kerja petroleum dan gas

B Kumpulan kerja tanah runtuh

C Kumpulan kerja Jabatan Pertanian

D Kumpulan kerja radiologi


8 Jika berlaku bencana kejadian kebakaran hutan di negara kita, jabatan manakah yang

bertanggungjawab untuk menanganinya?

A Jabatan Alam Sekitar C Jabatan Pengairan dan Saliran

B Jabatan Kerja Raya D Jabatan Pertanian

9 Perkataan ‘penyaluran’ dalam petikan di atas bermaksud

A penggunaan C pembawaan

B penerimaan D penyampaian

10 Pada pendapat anda, mengapakah kerajaan membuat persiapan awal untuk

menghadapi kejadian banjir?

A kerana kejadian banjir merupakan masalah serius yang perlu diatasi dengan

segera

B kerana kejadian banjir yang sering berlaku memusnahkan banyak harta benda dan

nyawa

C kerana banyak pusat pemindahan banjir telah di kenal pasti untuk

menempatkan mangsa-mangsa banjir

D kerana pelbagai keperluan sudah disediakan untuk keperluan mangsa-mangsa

banjir


Soalan 11 hingga 15

Baca dialog di bawah, kemudian jawab soalan-soalan berikutnya.

Wartawan : Selamat pagi. Saya wartawan dari akhbar Buletin Perdana.

Encik Salleh : Selamat pagi. Sila duduk. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?

Wartawan : Saya ingin menemu ramah encik berkaitan dengan Pertandingan

Menulis Esei sempena Hari Kemerdekaan yang ke-44.

Encik Salleh : Boleh, apa salahnya. Silakan.

Wartawan : Apakah tema Pertandingan Menulis Esei pada tahun ini?

Encik Salleh : Tema Pertandingan Menulis Esei pada tahun ialah ‘Keranamu

Malaysia’.

Wartawan : Jadi, temanya sama juga dengan dengan Hari Kemerdekaan tahun ini.

Mengapakah tema itu dipilih?

Encik Salleh : Ya, temanya sama dengan tema Hari Kemerdekaan. Tema ini dipilih

kerana untuk membangkitkan semangat rakyat negara kita, tidak

mengira kaum atau agama supaya sanggup berkorban masa, tenaga,

wang ringgit, harta benda malah nyawa sekalipun demi negara

Malaysia tercinta. Jadi, kerana Malaysia, rakyat diseru supaya

berkorban apa sahaja untuk mempertahan dan mengharumkan nama

Malaysia di peringkat antarabangsa.

Wartawan : Apakah syarat-syarat untuk menyertai pertandingan ini?

Encik Salleh : Syarat-syarat untuk menyertai pertandingan ialah ia terbuka kepada

pelajar-pelajar sekolah di Malaysia. Terbahagi kepada tiga kategori,

iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi.

Bagi sekolah rendah, panjang esei ialah 150 patah perkataan, sekolah

menengah 450 patah perkataan dan institut pengajian tinggi pula 1000

patah perkataan. Pemenang dinilai berdasarkan mutu persembahan isi

yang baik dan tulisan tangan yang kemas atau bertaip. Peserta boleh

menghantar seberapa banyak penyertaan, tetapi hanya layak menerima

satu hadiah sahaja. Esei hendaklah dihantar dan sampai kepada pihak

kami sebelum atau pada 15 September. Pihak kami tidak akan melayan

esei yang sampai selepas tarikh itu. Keputusan hakim adalah

muktamad.

Wartawan : Bagaimana pula dengan hadiah yang ditawarkan kepada para

pemenang?

Encik Salleh : Pihak kami menyediakan tiga hadiah bagi setiap kategori. Tempat

pertama akan menerima wang tunai sebanyak RM1 000.00, trofi dan

sijil penyertaan, kedua akan menerima wang tunai sebanyak

RM500.00, trofi dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga pula

akan menerima wang tunai sebanyak RM300.00, trofi dan sijil

penyertaan.

Wartawan : Setakat ini sahaja temu ramah saya. Terima kasih kerana encik

memberi kerjasama kepada saya.

Encik Salleh : Sama-sama.

11 Siapakah Encik Salleh?

A Pihak penganjur pertandingan C Seorang wartawan akhbar

B Pemenang hadiah pertandingan D Seorang pelajar sekolah

12 Apakah tujuan diadakan Pertandingan Menulis Esei tersebut?

A Supaya pelajar sekolah tidak membuang masa begitu sahaja

B Supaya para pelajar memenangi sebeberapa hadiah yang ditawarkan

C Sempena sambutan Hari Kebangsaan yang ke-44

D Memberi peluang kepada pelajar-pelajar untuk menulis

13 Mengapakah tema Pertandingan Menulis Esei sama dengan tema Hari

Kemerdekaan?

A Kerana Pertandingan Menulis Esei sama dengan tarikh Hari Kemerdekaan

B Kerana sering diadakan serentak pada setiap tahun

C Kerana untuk memperkenalkan Malaysia di peringkat antarabangsa

D Kerana untuk membangkitkan semangat cintakan negara

14 Berapakah hadiah wang tunai yang ditawarkan bagi setiap kategori?

A RM300.00 C RM1 000.00

B RM500.00 D RM1 800.00

15 Semua pernyataan berikut adalah benar berdasarkan petikan kecuali

A Pertandingan Menulis Esei diadakan pada setiap tahun

B Panjang esei bagi pelajar sekolah menengah ialah 450 patah perkataan

C Penyertaan hendaklah sampai pada atau selepas 15 September

D Setiap pemenang akan menerima wang tunai, sijil penyertaan dan trofi


Tiada ulasan:

Catat Ulasan