KEPERIHALAN 1
TIP PENULISAN YANG BERKESAN
• Karangan jenis ini menceritakan sesuatu pengalaman , suasana , peristiwa , pemandangan , keadaan , perwatakan , temasya dan sebagainya.
• Ketepatan fakta boleh direka, tetapi mestilah boleh diterima akal.
• Anda boleh memasukkan unsur-unsur supen untuk menghidangkan sebuah cerita yang lebih menarik pembaca dan seterusnya mengajak pembaca seolah-olah berada dalam cerita tersebut.
• Anda tidak semestinya terlibat atau mengalami peristiwa tersebut , tetapai anda boleh mengolah cerita tersebut berdasarkan daya imaginasi anda.
• Bahasa yang puitis dan dialog boleh digunakan di tempat-tempat yang sesuai supaya karangan anda lebih menarik.
• Di bahagian pengenalan , anda boleh menceritakan peristiwa awal sebelum peristiwa yang sebenarnya berlaku.
• Dalam perenggan penutup , anda boleh menceritakan bagaimana peristiwa itu berakhir. Anda juga boleh menyatakan pendapat atau perasaan anda tentang peristiwa tersebut.
• Cerita atau peristiwa yang dijadikan bahan karangan tersebut biarlah mempunyai nilai-nilai murni.
Contoh soalan UPSR
Anda dan beberapa orang rakan sedang berbasikal ke sekolah . Anda ternampak akan seorang tua terjatuh ketika melintas jalan. .
Apakah tindakan atau usaha-usaha yang akan anda dan rakan-rakan
anda lakukan untuk membantu orang tuya yang malang itu.
Soalan Perbincangan
Cuti persekolahan , adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh ibu bapa dan murid-murid. Pelbagai aktiviti yang menyeronokkan diatur oleh ibu bapa untuk memenuhi waktu percutian tersebut. Tuliskan pengalaman kamu dan keluarga mengisi percutian tersebut.
Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.
Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.
Langkah 1
Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti . Fahamkan tema atau kehendak cerita yang hendak ditulis . Garis maklumat-maklumat yang penting supaya anda tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan.
Langkah 2
Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan . Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas . Apa yang penting kamu dapat memahaminya kerana masa untuk mencari isi penting dan membina peta minda tidak lebih 5 minit.
Langkah 3
Berdasarkan peta minda di atas , anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang , binalah ayat-ayat yang betul mengikut tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini. Baca contoh karangann di bawah ini.
PERCUTIAN YANG MENYERONOKKAN
Musim cuti sekolah merupakan saat yang ditunggu-tunggu oleh para pelajar dan ibu bapa . Aku dan keluargaku telah merancang satu percutian yang menyebabkan aku tidak sabar-sabar lagi untuk menunggu harinya.
Sebagaimana yang dirancang, minggu pertama aku dan keluargaku menjadikan Tasik Kenyir sebagai destinasi percutian yang utama. Kami sekeluarga menginap di Rumah Rehat Persekutuan. Setiap hari ada sahaja aktiviti yang kami lakukan seperti memancing, berkayak dan tidak ketinggalan menikmati keindahan air terjun Lasir,Saok, serta menjelajah beberapa buah pulau yang terdapat di tasik tersebut.
Dari Tasik Kenyir kami tidak pulang ke rumah, sebaliknya kami terus balik ke kampung. Aku dan adik tinggal di kampung , ayah dan ibu pula terpaksa pulang ke ibu kota untuk bekerja . Inilah peluang aku dan adik mandi di sungai dan tidur di dusun . Seminggu kemudian ayah dan ibu datang menjemput kami, walaupun belum puas kami bersama datok dan nenek di kampung.
Ayah telah menyusun beberapa aktiviti untuk kami seperti membersih serta mengindahkan persekitaran rumah kami , membersihkan kolam ikan di samping mengecat pasu bunga. Selain itu kami juga mengecat bilik tidur kami dengan bantuan ibu dan ayah.
Walaupun sekolah akan dibuka tiga minggu lagi tetapi ayah telah membawa kami ke pasar raya untuk membeli pakaian serta peralatan sekolah. Selain itu, ayah juga membelikan buku-buku kerja dan pelbagai buku rujukan untuk persediaanku menghadapi UPSR .
Aku berasa sungguh puas kerana sepanjang cuti persekolahan ini aku dapat memenuhi masa tersebut dengan aktiviti yang sangat menyeronokkan, selain itu aku juga dapat menimba pelbagai pengalaman yang sukar untuk aku lupakan.
Langkah 4
Selepas mengarang , anda hendaklah membaca semula karangan . Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan ,struktur ayat, penggunaan imbuhan , tanda baca dan ejaan.
Anda juga boleh menyuruh rakan-rakan untuk menyemak karangan anda , terutamanya aspek-aspek seperti di atas . Sebarang kesalahan yang dilakukan, hendakalah dibuat pembetulan dengan segera dan memastikan tidak akan berlaku kesalahan yang berulang .
Latihan minggu ini.
1. Aktiviti perkhemahan adalah merupakan aktiviti yang sangat ditunggu-tunggu oleh murid-murid . Murid-murid tidak akan melepaskan peluang ini jika terpilih menyertainya.
Tuliskan satu karangan yang menceritaka bagaimana perasaan anda apabila
dipilih untuk menyertai perkhemahan tersebut.
2. Pada suatu hari kampung kamu dilanda ribut . Banyak harta benda penduduk kampung musnah dalam kejadian tersebut.
Perihalkan atau gambarkan suasana dan tindakan yang diambil selepas kejadian
ribut tersebut.
3. Sambutan Hari Kanak-kanak diadakan setiap tahun di sekolah anda. Gambarkan suasana sambutan Hari Kanak-kanak tersebut.
Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.
GLOSARI:
• Perkataan-perkataan yang terdapat dalam ruangan ini dipilih daripada
Huraian Sukatan Pelajaran Tahun 5 dan 6.
abah : arah, ayah, bapa
berpinar-pinar : kabur , pandangan tidak jelas
bersurai : berpisah, bubar
berdekik-dekik : berdekah-dekah,ketawa dengan kuat, terlalu geli hati
bergegas : bergerak dengan cepat
berbaur : bercampur
bingkas : bangun dengan pantas atau cepat
deruan : tiupan angin yang kuat, bunyi kenderaan .
disusuli : diikuti, dituruti,
dikerumuni : dihurungi, dikelilingi
lazim : biasa,
girang : suka hati, riang hati, sangat gembira.
keheningan : ketenangan ,kesejukan , kedamaian
kerenah : tingkah laku, kelakuan, ragam.
mengendahkan : mempedulikan.
menerjah : masuk dengan pantas dan kuat
memecut : melajukan , mepercepatkan pergerakan.
mendorong : memberangsangkan, berkeinginan.
Contoh latihan karangan soalan 1
Pengalamanku Yang Pertama
Sukar sekali untuk melelapkan mataku malam itu . Sudah beberapa kali ibu mengingatkan aku supaya cepat tidur , entah mengapa akau sukar untuk melelapkan mata. Fikiranku menerawang jauh ke destinasi yang bakal aku lalui esok.
Sebelum azan subuh berkumandang dari surau berhampiran rumahku, aku telah bangun dan terus menyiapkan diri . Hatiku melonjak-lonjak untuk segera ke sekolah.
Ibu menegurku kerana ayam belum keluar reban lagi aku sudah bersiap .
Aku tidak menjawab sebaliknya aku terus mencapai barang-barang yang perlu dibawa dan memasukkannya ke dalam bakul basikalku. Setelah memberi salam kepada ibu aku terus memecutkan basikalku ke sekolah dalam keadaan terang-terang tanah.
Gelap lagi ,belum ada kawanku yang sampai, mereka ni lambat sangatlah, bisik hati kecilku. Setengah jam kemudian semuanya rakan-rakanku telah bersedia mendengar taklimat terakhir daripada Cikgu Amin. Aku mencatat dengan teliti apa yang telah disampaikan oleh cikgu, maklumlah inilah kali pertama aku turut serta dalam aktiviti perkhemahan.
Hatiku mulai gelisah, aku takut apabila cikgu Amin memberitahu bahawa tapak perkhemahan itu mungkin akan didatangi binatang buas , walaupun kawasan tersebut sentiasa terkawal atau diawasi, lebih-lebih lagi jika ada murid-murid menjalankan aktiviti perkhemahan.
Aku bertanya kepada cikgu Amin tentang langkah-langkah keselamatan yang diambil jika berhadapan dengan situasi yang digambarkan olehnya. Cikgu Amin dengan nada yang tegas terus mengigatkan kami supaya sentiasa mematuhi arahan-arahannya setiap masa. Begitulah perasaan yang aku alami ketika aku mula-mula berpeluang menyertai perkhemahan. Aku akan tersenyum sendirian apabila terkenangkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan