Ahad, 21 Jun 2009

PENULISAN - UCAPAN

UCAPAN

PENDAHULUAN

Satu daripada jenis karangan yang kerap diuji dalam UPSR ialah karangan ucapan. Karangan jenis ini adalah karangan berformat.

Karangan ucapan ada beberapa jenis seperti;
• ucapan perpisahan
• ucapan takziah
• ucapan tahniah
• ucapan penerangan
• terima kasih

Untuk penulisan ucapan, biasanya suatu situasi diberi. Kamu dikehendaki menulis ucapan berdasarkan situasi seperti majlis keraian, perhimpunan, perpisahan, dan sebagainya.

Sebuah ucapan hendaklah mempunyai ciri-ciri seperti berikut;

 Kata-kata aluan sebagai hormat kepada hadirin.

 Kata-kata alu-aluan dimulakan dengan pengerusi majlis, kemudian diikuti mereka yang tinggi kedudukannya.

 Ucapan atau panggilan kepada hadirin di tengah-tengah ucapan. Ucapan atau panggilan ini perlu ditulis sekurang-kurangnya dua kali .Contohnya
- Saudara dan saudari sekalian
- Tuan-tuan dan puan-puan hadirin
- Pelajar-pelajar sekalian
- Rakan-rakan sekalian
- Hadirin sekalian

 Kata alu-aluan dianggap pendahuluan, ‘terima kasih’ di akhir ucapan dianggap penutup. Walau bagaimanapun pelbagai teknik boleh digunakan. Umpamanya dalam bentuk pantun yang sesuai dengan tema ucapan.

Soalan Perbincangan
Kelab Bahasa Melayu akan mengadakan majlis pelancaran sempena program Minggu Bahasa Melayu. Sebagai Pengerusi Kelab Bahasa Melayu kamu dikehendaki menyampaikan ucapan alu-aluan sempena pelancaran program tersebut

Tuliskan teks ucapan kamu itu selengkapnya.

Panjang karangan kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan .


LANGKAH 1
Memahami Kehendak Soalan;
Karangan ini menghendaki kamu sebagai Pegerusi Program Minggu Bahasa Melayu menyampaikan ucapan alu-aluan sempena pelancaran program tersebut. Ucapan kamu hendaklah mewakili ahli jawatankuasa program tersebut.


LANGKAH 2
Isi Penting dan Kerangka;
Kamu hendaklah menyediakan isi-isi dan kerangka karangan berdasarkan konsep peta minda. Peta minda atau kerangka karangan hendaklah dibuat secara ringkas sahaja. Apa yang penting ialah anda dapat menyatakan isi-isi penting yang diperlukan untuk menulis ucapan tersebut.

LANGKAH 3
Menulis Karangan;
Berdasarkan peta minda di atas, kamu bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya kamu tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini.

Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang berusaha Tuan Guru Besar Puan Sri Herliana binti Hamerdin, guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan alu-aluan sempena Minggu Bahasa Melayu tahun ini.

Hadirin sekalian,
Tujuan program ini diadakan adalah untuk meningkatkan penguasaan berkomunikasi bahasa Melayu yang berkesan di kalangan murid-murid. Justru itu, aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan lebih mendorong kepada murid bijak berkomunikasi.

Antara aktiviti yang dirancangkan ialah aktiviti pertandingan berpidato, bercerita, mendeklamasikan sajak, bersyair. Acara-acara ini merupakan acara individu. Bagi acara berkumpulan pula ialah pertandingan berbalas pantun, perbahasan, dan drama sebabak.

Untuk makluman semua, sambutan murid-murid berhubung aktiviti-aktiviti tersebut sangat memberangsangkan. Pihak kelab terpaksa mengadakan saringan khususnya dalam aktiviti pertandingan seperti bercerita, mendeklamasi sajak, dan bersyair.

Hadirin yang dikasihi,
Saya dan rakan-rakan ahli jawatankuasa program ini sangat bertuah mempunyai barisan guru-guru penasihat yang tidak jemu-jemu membantu kami dalam merancang program ini. Mereka telah mencurahkan kepakaran mereka bagi memastikan program ini mencapai matlamatnya.

Sebelum mengundur diri, saya bagi pehak ahli jawatankuasa Minggu Bahasa Melayu mengucapkan jutaan terima kasih kepada Tuan Guru Besar, guru-guru penolong kanan, dan guru-guru penasihat kerana telah memberikan kerjasama dan sokongan yang jitu kepada kami. Sekian, terima kasih.


LANGKAH 4
Menyemak;

Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa dari segi penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.


Andaikan guru anda akan bertukar ke sekolah menengah kerana telah menamatkan pengajian di peringkat ijazah.Anda sebagai ketua kelas diminta menyampaikan ucapan dalam satu majlis perpisahan untuknya.
Tuliskan ucapan anda itu selengkapnya.


Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, yang diraikan Cikgu Nor Ekhsan, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi Cikgu Nor Ekhsan di sekolah ini. Cikgu Nor Ekhsan telah menerima segulung ijazah setelah menamatkan Pengajian Jarak Jauh di Universiti Putra Malaysia dan akan bertukar ke sekolah menengah. Saya mewakili rakan-rakan mengucapkan tahniah dan selamat berpisah kepada cikgu.

Hadirin sekalian,

Sepanjang tempoh tujuh tahun cikgu di sekolah ini, banyak ilmu dan pengalaman dicurahkan kepada kami, lebih-lebih lagi cikgu merupakan seorang guru yang serba boleh. Dengan usaha cikgu yang tidak mengenal jemu telah membuahkan kecemerlangan dalam UPSR pada setiap tahun.

Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas pengorbanan cikgu membantu kami meningkatakan kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikum. Sesungguhnya segala nasihat dan tunjuk ajar cikgu akan sentiasa tersemat di hati kami.

Hadirin sekalian,

Pada kesempatan ini juga, kami melahirkan rasa bangga atas kejayaan cikgu. Semoga kejayaan tersebut akan mendorong kami berusaha dengan lebih gigih lagi untuk mencapai kecemerlangan bagi diri kami.

Akhir sekali, saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah dan selamat berjaya kepada Cikgu Nor Ekhsan dan doa kami semoga cikgu akan terus berjaya dan bahagia selalau di samping keluarga tersayang.

Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita berjumpa lagi.

Sekian, terima kasih.
Satu majlis jamuan telah diadakan kerana meraikan kejayaan pasukan bola baling sekolah anda. Selaku ketua pasukan, anda diminta menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.
Tuliskan ucapan anda itu selengkapnya.


Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis, guru-guru dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Saya selaku ketua pasukan bola baling sekolah, ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan yang telah mengadakan majlis untuk meraikan kejayaan pasukan bola baling yang telah menjadi johan peringkat daerah.

Sebenarnya, kejayaan yang dinikmati pasukan bola baling sekolah kita adalah hasil usaha gigih jurulatih yang tidak asing lagi iaitu Cikgu Soleh. Marilah kita memberikan satu tepukan yang gemuruh kepada beliau…

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Saya mewakili rakan-rakan sangat berbangga atas sokongan dan dorongan daripada semua pihak di sekolah ini. Semoga kejayaan yang telah dicapai ini akan menguatkan azam kami untuk mencapai kejayaan yang lebih gemilang di peringkat negeri nanti.

Kepada rakan-rakan, saya selaku ketua pasukan mengambil kesempatan ini mengucapkan syabas dan tahniah. Tanpa kerjasama dan semangat juang yang kental, pastinya kejayaan sukar untuk dimiliki.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak rakan-rakan ingin merakamkan jutaan terima kasih. Terimalah serangkap pantun daripada saya;

Pergi ke hutan mencari berangan,
Berangan ditanam di dalam taman,
Yakin boleh dijadikan pegangan;
Kejayaan pasti dalam genggaman,

Sekian, terima kasih.


Sempena kedatangan guru kelas kamu yang baru. Kelas kamu telah mengadakan satu majlis menyambut kedatangannya. Sebagai ketua kelas kamu dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Tuliskan teks ucapan kamu itu selengkapnya


Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, yang diraikan Cikgu Ridzuan Hamzah, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.
Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari yang bertuah bagi kelas Enam Setia, kerana telah mendapat seorang guru kelas yang baru iaitu Cikgu Ridzuan Hamzah. Saya selaku ketua darjah Enam Setia, mewakili rakan-rakan mengucapkan selamat datang dan selamat bertugas di kampung halaman tercinta.

Hadirin sekalian,
Kita sedia maklum, Cikgu Ridzuan Hamzah merupakan anak watan kampung kita. Setelah menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Raja Melewar, beliau telah di hantar bertugas ke Sabah. Setelah lima tahun menabur bakti di perantauan kini beliau bersama-sama kita.
Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini untuk merakamkan jutaan terima kasih atas kesudian cikgu balik kampung untuk membantu anak buah meningkatakan kecemerlangan dalam bidang kurikulum dan kokurikum. Kami berasa bangga atas kesediaan cikgu.

Cikgu,
Kami semua berjanji akan mematuhi dan mentaati segala nasihat dan tunjuk ajar yang cikgu berikan nanti. Sekiranya ada antara kami yang melakukan kesalahan, kami sedia menerima teguran. Apa yang kami harapkan ialah bimbingan daripada cikgu untuk kami menghadapi UPSR, September nanti.

Sebelum mengundur diri, saya memohon kemaafan jika tersilap kata sepanjang ucapan saya tadi. Akhir kata sekali lagi, saya mengucapkan selamat datang, selamat balik kampung, dan selamat bertugas kepada cikgu. Sekian, terima kasih.



Satu program Seminar Pra-UPSR telah diadakan di sekolah kamu. Selaku ketua murid, kamu diminta menyampaikan ucapan dalam majlis penutup seminar tersebut. Tuliskan ucapan anda itu selengkapnya.


Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis, guru-guru, para pembimbing, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Saya selaku ketua murid, ingin merakamkan ribuan terima kasih kepada guru-guru dan para pembimbing yang telah mengadakan program Seminar Pra-UPSR untuk persiapan awal kami menduduki peperisaan UPSR 2003.

Sepanjang dua hari kami mengikuti seminar ini, banyak pengetahuan yang kami peroleh. Di samping itu, dengan kehebatan para penceramah dan pembimbing, semangat dan keyakinan kami untuk meraih 5A dalam UPSR kian membara.

Guru-guru dan rakan-rakan sekalian,

Namun begitu, walaupun semangat kami sekarang begitu memuncak, tetapi tanpa usaha berterusan sehingga menjelangnya peperiksaan, kejayaan yang diharapakan tidak mungkin akan tercapai. Oleh hal yang demikian, saya menyeru kepada rakan-rakan, supaya berusaha bersungguh-sungguh demi kecemerlangan yang kita impikan.

Rakan-rakan sekalian, marilah kita jadikan ungkapan ‘genggam bara api biar sampai jadi arang’, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya,’ ‘berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ketepian, berasakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian,’ sebagai azimat kepada kita dalam usaha memburu kecemerlangan.

Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, sekali lagi saya bagi pihak rakan-rakan ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung, para dermawan yang telah menjayakan program seminar ini, Sekian, terima kasih.


Kamu telah mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh setelah memperoleh kejayaan yang cemerlang dalam UPSR. Sehubungan dengan itu satu majlis jamuan telah diadakan di rumah kamu bagi meraikannya. Sediakan satu ucapan yang sesuai untuk kamu sampaikan dalam majlis tersebut.
Tuliskan ucapan kamu itu selengkapnya.



Yang mulia Tuan Pengerusi Majlis, Tuan Guru Besar, guru-guru, ahli-ahli perpustakaan Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra, serta rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera dan selamat datang saya ucapkan.

Hadirin sekalian,

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini. Saya selaku ketua pengawas perpustakaan Sekolah Kebangsaan Puncak Alam berbesar hati atas kunjungan tuan-tuan ke perpustakaan sekolah kami.

Untuk makluman tuan-tuan, perpustakaan sekolah kami telah menerima anugerah perpustakan terbaik peringkat negeri bagi tahun 2003. Kejayaan kami adalah hasil usaha dan kerjasama semua pihak yang telah menjadikan perpustakaan sekolah ini sebagai sumber ilmu.

Hadirin sekalian,

Untuk meningkatkan kecekapan pengurusan perpustakan sekolah ini, terdapat tiga buah komputer yang telah diprogramkan untuk memudahkan guru-guru dan murid-murid mencari buku-buku atau bahan rujukan yang dikehendaki dengan pantas.

Dengan hal yang demikian telah meringankan tugas kami. Semua rekod penggunaan dapat diperoleh dengan pantas. Kami hanya ditugaskan memantau dan membantu murid-murid menggunakan kemudahan yang disediakan.

Akhir kata saya bagi pihak warga Sekolah Kebangsaan Puncak Alam memohon kemaafan jika layanan kami kurang mumuaskan. Semoga lawatan ini akan menjalin persefahaman antara kita dalam bidang pustakawan.

Sekian. Terima kasih.


Perpustakaan sekolah kamu telah dilawati oleh pustakawan dari sekolah lain. Sebagai ketua pustakawan kamu dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis mengalu-ngalukan lawatan tersebut.

Yang dikasihi kakanda Pengerusi Majlis, ayahanda dan bonda tersayang, seterusnya rakan-rakan yang dihurmati sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan.

Rakan-rakan sekalian,

Terlebih dahulu saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ayahanda dan bonda kerana mengadakan majlis pada malam ini bagi meraikan kejayaan saya dalam UPSR dan mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh.

Sebenarnya hati saya berdebar-debar kerana saya akan berada dalam persekitaran yang baru. Walaupun saya berasa gembira mendapat tawaran ini, tetapi saya juga berasa terharu kerana terpaksa berpisah dengan keluarga dan rakan-rakan tersayang.

Rakan-rakan sekalian,
Saya sangat berterima kasih kepada ibu bapa saya yang telah banyak memberi dorongan dan galakan sehingga saya mencapai keputusan yang cemerlang. Saya juga sangat berterima kasih kepada guru-guru dan rakan-rakan yang telah banyak memberi bimbingan selama ini.

Demi tidak menghampakan orang yang telah banyak berkorban untuk saya, saya berjanji akan belajar bersungguh-sungguh. Untuk mencapai kejayaan yang yang lebih cemerlang di peringkat PMR dan SPM.

Sebelum mengundur diri saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan-rakan kerana memenuhi jemputan saya.

Sekian, terima kasih.

2 ulasan:

  1. kenapa kedatangan guru itu x ada pantun

    BalasPadam
  2. kenapa x ade rangka karangan

    BalasPadam