Isnin, 18 April 2011



CERITA

Pengenalan

  • Karangan cerita merupakan karangan yang paling popular dalam UPSR. Karangan yang hendak ditulis mestilah berdasarkan tema atau situasi yang diberi. Untuk menghasilkan sebuah cerita yang baik, kesinambungan jalan cerita mestilah berurutan dari satu perenggan ke perenggan yang lain.

· Karangan jenis cerita ialah karangan yang berbentuk cerita rekaan, cerita imaginasi.

· Ketepatan fakta tidak diperlukan, tetapi cerita yang dipaparkan mestilah logik, menggunakan bahasa yang indah serta pengolahan yang mempunyai unsur-unsur kreatif.

· Karangan ditulis berdasarkan pengalaman, pemerhatian, perbualan, dan pembacaan.

· Sebuah cerita yang baik mempunyai ciri-ciri seperti berikut, iaitu peristiwa, watak, tempat ( latar cerita) sebab dan akibat kejadian serta plot (jalan cerita).

· Karangan di bahagikan kepada beberapa peringkat, iaitu perkembangan isi, ketegangan, kemuncak, dan penyelesaian.

· Perbualan atau dialog boleh digunakan untuk menghidupkan sesebuah cerita.

· Setiap cerita mempunyai nilai murni seperti tolong-menolong, kasih sayang dan sebagainya.

  • Kemahiran berfikir secara keritis dan kreatif sangat-sangat diperlukan untuk mencorakkan jalan cerita yang lebih menarik dan berkesan.

Tajuk Perbincangan

Tuliskan sebuah karangan cerita yang bertajuk ‘ Menabung’

Lengkapkan cerita di atas. Panjang cerita kamu mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Kamu mestilah membaca soalan karangan tersebut dengan teliti. Fahamkan tema atau cerita yang hendak ditulis. Garisi maklumat-maklumat yang penting supaya kamu tidak melakukan kesilapan semasa membuat rangka karangan. Soalan ini, memerlukan kamu memberikan gambaran mengenai satu cerita yang berhubung dengan kebaikan, kelebihan orang yang suka menabung.

Langkah 2

Berdasarkan tema atau tajuk kamu bolehlah membuat kerangka karangan. Sebaik-baiknya kerangka karangan yang hendak dibuat berdasarkan peta minda. Peta minda hendaklah seberapa ringkas.

Lihat contoh peta minda.





Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan tersebut. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini.

Baca contoh karangan di bawah ini.

Contoh Karangan

Menabung

Jam menunjukkan pukul 10.40 pagi, loceng menandakan waktu rehat berbunyi. Murid-murid keluar dari kelas masing-masing dan berpusu-pusu menuju ke kantin. Mereka beratur untuk membeli pelbagai juadah yang dijual di kantin.

“Kamu tidak ke kantin, Jazlan?” tanya Norita rakan sekelasnya.

“Tidak, aku ada membawa bekalan,” jawab Jazlan sambil membuka bekalan. Memang telah menjadi kelaziman bagi Jazlan membawa bekalan dari rumah. Wang saku yang diberikan oleh ibunya disimpan di dalam tabung. Amalan menabung ini telah dilakukan oleh Jazlan sejak dia di tahun satu lagi.

“Maklumlah, orang hendak cepat kaya. Berbelanja di kantin pun dia tidak mahu. Tidak lama lagi ada seorang rakan kita yang akan bergelar jutawan,” Norita menyindirnya dan disambut dengan hilaian ketawa rakan-rakannya yang lain.

Jazlan tidak berasa hati sedikit pun dengan ejekan dan sindiran rakan-rakannya. Baginya, menabung merupakan tabiat mulia yang perlu diamalkan. Setiap orang perlu berjimat cermat untuk masa depannya. Lebih-lebih lagi wang belanja yang diperoleh adalah hasil jerih ibunnya mengambil upah menjahit.

“Mungkin rakan-rakanku itu keluarganya orang berada. Mereka tidak pernah hidup susah ataupun mengalami masalah kewangan. Segala kemahuan akan dipenuhi oleh ibu bapa mereka. Lainlah aku, keluargaku bukannya daripada kalangan orang yang berada, ayah telah meninggal sejak aku dilahirkan” Jazlan berbisik sendirian memujuk hatinya.

Pada penghujung tahun, Jazlan telah terpilih sebagai pemenang pertama satu pertandingan penyimpan wang terbanyak dan terkerap. Jazlan telah menerima beberapa hidah istimewa berupa wang dan peralatan sekolah daripada pihak bank yang menaja pertandingan tersebut.

Langkah 4

Kamu hendaklah membaca dan menyemak semula karangan itu. Dalam proses penyemakan perkara-perkara berikut perlu diperhatikan ialah kesalahan penggunaan kata, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Latihan Minggu Ini

  1. Tulis sebuah karangan bertajuk ‘Terselamat’

  1. Tulis sebuah karangan tentang ‘Malang Tak Berbau’

3. Tulis sebuah karangan bertajuk ’Akibat Degil’

GLOSARI

gegas

humban

publisiti

hayat

merebak

permatang

mencerap

dokumentari

membuat sesuatu cepat-cepat, penutup lubang peraka pada kapal, mengerat bulu atau sayap ayam dan lain-lain supaya tidak boleh terbang, orang yang mahir memasang atau melaraskan bahagian-bahagian mesin dan sebagainya

melontar jauh-jauh, melemparkan, jatuh dengan kuat atau tercampak

penerangan atau hal mengenai seseorang(peristiwa atau keluaran dan lain-lain) yang dihebahkan melalui alat sebaran am untuk menarik perhatian umum; contoh memperkenalkan barang-barang baru, keadaan diketahui atau dilihat oleh orang ramai.

keadaan yang membezakan manusia, binatang, dan tumbuh-tumbuhan daripada tanah, batu dan sebagainya

menjalar-jalar, menular-nular bagi penyakit, tersebar atau tersiar merata-rata bagi berita dan lain-lain, menjangkit, meluas dan merembet bagi api

jalan kecil(jaluran tanah) yang tinggi sedikit daripada kawasan di sekitarnya, tambak atau batas kecil sawah yang digunakan sebagai tempat berjalan; ban, bahagian yang tertinggi pada lereng gunung atau bukit(Biasanya memanjang dari puncak hingga ke kaki bukit); bahagian tempat dua lereng(gunung,bukit) bertemu, laut – benteng yang panjang dan curam permukaannya yang dibina oleh ombak yang kuat pada tikas air pasang di sepanjang pinggir pantai.

memerhatikan, mengendahkan, mnaruh minat, menerima sesuatu dalam hati dengan panca indera, menanggap sesuatu yang diterima dengan pancaindera

tayangan filem, television atau acara radio yang memaparkan atau menmceritakian maklumat atau fakta sebenar tentang

sesuatu perkara atau subjek

Contoh jawapan 1

Terselamat

Hujan turun renyai-renyai. Aku dan rakan-rakan meminta izin daripada Cikgu Rashidah.

“Baiklah, anak-anak. Berhati-hatilah. Jangan bermain-main di tepi sungai,” Cikgu Rashidah berpesan.“Terima kasih, cikgu. Kami pulang dulu.

Air sungai itu melimpah ke tebingnya. Jalan di tepi sungai licin-licau. Aku, Eton, dan Chot berjalan dengan hati-hati. Eton di hadapan, aku di tengah, dan Chot di belakang.

Tiba-tiba Eton tergelincir lalu tersungkur. Begnya tercampak ke tebing sungai. Chot menerpa ke arah beg itu. Malangnya dia tersepak seketul batu lalu terjatuh ke dalam sungai.

“Tolong aku, Eton! Tolong aku, Siti!” Chot menjerit meminta tolong.

Aku tergamam. Tetapi, aku sempat menarik tangan Chot. Namun demikian, Aku tidak berdaya untuk menarik rakannya itu ke atas tebing. Tangan Chot terlepas daripada peganganku. Chot hanyut dibawa arus sungai itu. Chot kelihatan terkapai-kapai, badannya tenggelam timbul dalam air sungai itu.

Aku dan Eton menjerit-jerit meminta tolong. Beberapa orang pemuda yang kebetulan lalu di situ berlari-lari ke arah kami. Aku memberitahu mereka akan hal itu. Beberapa orang pemuda kampung terjun ke dalam sungai untuk menyelamatkan Chot yang sudah tidak kelihatan lagi.

Hampir setengah jam mereka mencari Chot di sepanjang sungai itu. Akhirnya mereka menemukan Chot yang tersangkut pada sebatang kayu. Chot tidak bermaya lagi, Aku yakin Cot masih hidup. Kami memberikan bantuan pernafasan sambil menekan perutnya untuk mengeluarkan air. Beberapa minit kemudian Chot mulai sedar.

“Chot terselamat!” Aku menjerit sekuat hatiku. Hatiku lega.

Cikgu Rashidah yang turut berada di situ terus membawa Chot ke hospital. Aku dan Eton tidak putus-putus menyebut kalimah syahadah kepada Chot. Peristiwa ini benar-benar menimbulkan keinsafan kepadaku agar menjadi insan cemerlang sebelum dijemput kembali oleh Allah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan