Selasa, 24 Mei 2011

BIOGRAFI

PENGENALAN

Karangan biografi ialah mengenai riwayat atau kisah hidup seseorang.

§ Karangan jenis ini mestilah berdasarkan fakta yang benar.

§ Karangan jenis ini juga bukanlah jenis rekaan atau khayalan.

§ Pastikan anda benar-benar tahu tentang tokoh atau seseorang yang anda ingin tulis biografinya.

§ Biasanya, tokoh yang hendak dipilih hendaklah mempunyai keistimewaan tertentu atau seseorang yang dihormati dan dikagumi.

Beberapa perkara penting yang perlu ada dalam penulisan Biografi;

§ Tarikh lahir dan tempat lahir tokoh.

§ Latar belakang, pendidikan dan sebagainya.

§ Pencapaian, kejayaan-kejayaannya, atau keistimewaannya.

§ Jasa, bakti, dan sumbangan tokoh tersebut.

Soalan Perbincangan

Tulis biografi guru besar sekolah anda. Tuliskan karangan tersebut selengkapnya.

Panjang karangan anda mestilah tidak kurang daripada 80 patah perkataan dan tidak melebihi 120 patah perkataan.

Langkah 1

Sebelum anda menulis karangan ini, anda hendaklah memahami soalan tersebut. Soalan dikemukakan menghendaki anda menulis karangan tentang biografi guru besar sekolah anda

Anda boleh menemuramah guru besar anda untuk mendapatkan maklumat yang lebih tepat.

Langkah 2

Menyediakan isi-isi karangan berdasarkan konsep peta minda. Anda perlu membiasakan diri mencatat isi-isi penting menggunakan peta minda supaya karangan yang ditulis mempunyai isi yang mantap. Peta minda yang dibuat mestilah ringkas, apa yang penting anda dapat memahami peta minda tersebut.




Langkah 3

Berdasarkan peta minda di atas, anda bolehlah menulis karangan anda. Semasa mengarang, binalah ayat-ayat yang betul tatabahasanya supaya anda tidak kehilangan markah di bahagian ini. Baca contoh karangann di bawah ini.

Contoh karangan;

Encik Sabtu bin Sujak, Guru Besar sekolah saya. Beliau dilahirkan di Kampung Sungai Kembung, Pulau Indah, Selangor, pada tahun 1950. Encik Sabtu mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah, kemudian di Sekolah Menengah Ampuan Rahimah.

Dengan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia, beliau melanjutkan pelajaran dalam bidang perguruan di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim. Beliau telah mengikuti kursus itu selama tiga tahun.

Beliau mula mengajar di beberapa buah sekolah di Sarawak dan Selangor. Antara sekolah tersebut ialah Sekolah Menengah Pelabuhan Klang, dan Sekolah Menengah Pulau Indah sebelum dilantik menjadi Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Pulau Indah. Beliau juga pernah berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Klang, sebelum ditukarkan ke sekolah ini.

Walaupun baru dua tahun Encik Sabtu bertugas di sekolah ini, namun beliau yang mempunyai banyak pengalaman itu telah berjaya meningkatkan prestasi sekolah. Ini terbukti dengan peningkatan keputusan UPSR. Selain itu, kawasan sekolah saya kian cantik dan ceria dengan pelbagai pokok hiasan.

Encik Sabtu juga aktif dalam kegiatan kemasyarakatan. Beliau banyak menyertai pertubuhan-pertubuhan amal dan persatuan guru. Beliau yang tinggal di kampung tempat kelahirannya itu juga dilantik memegang pelbagai jawatan di peringkat kampung dan mukim.

Kami berasa bertuah kerana mempunyai seorang Guru Besar yang penyayang dan sentiasa memahami masalah pelajar-pelajarnya. Saya berdoa semoga Encik Sabtu sentiasa sihat dan kekal di sekolah ini sehingga bersara.

Langkah 4

Selepas mengarang, anda hendaklah membaca semula karangan. Betulkan semua kesalahan tatabahasa seperti penggunaan perkataan, struktur ayat, penggunaan imbuhan, tanda baca, dan ejaan.

Soalan Latihan Minggu ini

1 Tulis sebuah karangan biografi mengenai guru kelas anda.

2 Tulis biografi sahabat karib anda. Tuliskan karangan biografi tersebut selengkapnya

3 Tulis sebuah karangan biografi Tokoh Pelajar, yang baru diistiharkan sempena sambutan Hati Q sekolah anda.

GLOSARI

cangap cabang pada hujung galah atau kayu

cekcok saling menyatakan perbezaan pendapat antara satu dengan

yang lain, berbantah, bertengkar

celupar banyak bercakap, cerewet, mulut bercakap sesuka hati

janggal kekok, kaku, canggung

hayat keadaan yang membezakanmanusia, binatang dan

tumbuh-tumbuhan daripada tanah, batu dan sebagainya

kumpar menggulung benang pada gelendong

manjur dapat menyembuhkan penyakit dengan cepat atau lekas, mujarab,

doa atau jampi makbul, racun- dapat mematikan dengan cepat

publisiti penerangan atau hal mengenai seseorang(peristiwa atau keluaran

dan lain-lain) yang dihebahkan melalui alat sebaran am untuk

menarik perhatian umum; contoh memperkenalkan

barang-barang baru, keadaan diketahui atau dilihat

oleh orang ramai.

sanubari jantung hati, perasaan yang terkandung dalam hati, perasaan batin

berubah ansur berubah secara beransur-ansur

Contoh Jawapan Karangan 2

Setiap orang mempunyai sahabat. Tanpa sahabat atau kawan, hidup kita ibarat ‘kera sumbang’. Sahabat biasanya menjadi rakan belajar, bermain, dan bertukar-tukar fikiran.

Saya mempunyai seorang sahabat yang saya anggap cukup istimewa. Sahabat saya bernama Masdor. Saya memanggilnya Dor sahaja. Dor dilahirkan pada 12 Julai 1990. Dia ialah anak sulung Encik Masdar Ali, seorang jurutera dan Puan Marhamah Malim, seorang guru.

Saya mengenali Dor sejak kecil lagi kerana kami berjiran. Selain itu, kami dibesarkan oleh pengasuh yang sama iaitu Mak cik Jamilah, yang juga jiran kami. Persahabatan kami begitu akrab. Saya sering dibawa oleh keluarga Dor balik ke kampungnya. ‘Macam belangkas’ itulah ungkapan yang sesuai mengambarkan betapa akrabnya kami.

Dor bercita-cita menjadi seorang jurutera seperti ayahnya. Dalam pelajaran, kami sentiasa bersaing untuk merebut tempat teratas di sekolah. Kami sentiasa bersaing sejak kami menjejakkan kaki di bangku sekolah. Kami sentiasa mendapat ‘A’ dalam semua matapelajaran.

Dalam bidang sukan, Dor dan saya telah mewakili sekolah dalam permainan badminton, catur, dan bola sepak. Selain itu, kami juga mempunyai hobi yang sama iaitu mengumpul topi dan lencana.

Persahabatan kami yang akrab tidak menghalang untuk saya mengenali lebih ramai kawan, bak kata pepatah, ‘berkawan biar seribu, bermusuh jangan sekali’. Teman setia pula ialah apabila dia sanggup sedih dan ketawa bersama-sama.














10 ulasan: