UJIAN PERCUBAAN 2
BAHASA MELAYU
Ujian Penulisan
SOALAN PILIHAN BAHAGIAN B
1 Sebagai setiausaha Persatuan Bahasa Melayu, kamu diminta menulis surat kepada guru besar untuk meminta kebenaran mengadakan lawatan sambil belajar.
Tulis surat kamu selengkapnya.
ATAU
2 Sebelum cuti akhir tahun bermula, kelas kamu akan mengadakan jamuan perpisahan. Sebagai ketua kelas kamu dikehendaki menyampaikan ucapan dalam majlis jamuan tersebu.
Tuliskan ucapan kamu itu selengkapnya.
ATAU
2 Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka…
Lengkapkan cerita di atas.
KERTAS SOALAN TAMAT
Contoh jawapan 1
Khilawati binti Haji Mohamad Nasir,
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan.
Tuan Guru Besar,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
39500 Sungai Pelik, Sepang,
Selangor Darul Ehsan. 25 JUN 2009
Tuan,
Memohon Kebenaran Mengadakan Lawatan Sambil Belajar Ke Balai Berita
Sukacita dimaklumkan, Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini bercadang akan mengadakan lawatan ke Balai Berita, Kuala Lumpur. Sehubungan dengan itu, saya,memohon kebenaran mengadakan lawatan tersebut.
2. Tujuan lawatan diadakan adalah untuk mendedahkan ahli-ahli persatuan tentang cara-cara penerbitan surat khabar khususnya akhbar DIDIK. Pengalaman tersebut diharapkan akan dapat membantu ahli-ahli persatuan menerbitkan buletinnya sendiri.
3. Kami bercadang untuk mengadakan lawatan itu pada hari Sabtu bersamaan dengan 26 Julai 2009. Rombongan ini dijadualkan bertolak dari sekolah pada pukul 8.00 pagi dan balik pada pukul 3.00 petang.
4. Lawatan ini akan disertai oleh 30 orang ahli persatuan dan dua orang guru penasihat persatuan ini iaitu Cikgu Hilal bin Mohamad Nor dan Cikgu Jamilah binti Bidin.
5. Saya berharap pihak tuan tidak keberatan memberikan kebenaran kepada persatuan ini untuk mengadakan lawatan tersebut. Kerjasama dan sokongan daripada pihak tuan didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Sekian, terima kasih.
Yang menjalankan tugas,
Khilawati Mohamad Nasir
…………………………………
(KHILAWATI BINTI HAJI MOHAMAD NASIR)
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra,
Contoh jawapan 2
Yang mulia Tuan Pengurusi Majlis. Tuan Guru Besar, guru-guru, dan rakan-rakan sekalian. Salam sejahtera saya ucapkan. Terlebih dahulu, saya mengucapkan jutaan terima kasih kerana diberi peluang menyampaikan ucapan dalam majlis ini.
Seperti yang kita sedia maklum, hari ini merupakan hari terakhir bagi kami di sekolah ini. Tidak dapat digambarkan betapa pilunya hati kami untuk meninggalkan sekolah ini. Maklumlah sudah enam tahun kami belajar di sekolah ini.
Hadirin sekalian,
Sepanjang tempoh tersebut, tentulah banyak ilmu dan pengalaman serta kejayaan yang kami perolehi. Semua ini adalah hasil kerja keras guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik kami menjadi insan yang cemerlang dalam semua bidang.
Saya bagi pihak rakan-rakan mengambil peluang ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua guru yang telah banyak membimbing kami. Kami tidak mampu membalas jasa cikgu. Semoga Allah akan membalasnya.
Hadirin sekalian,
Pada kesempatan ini juga , kami meminta maaf atas segala kesilapan dan kesalahan yang telah kami lakukan sepanjang kami belajar di sekolah ini.Segala yang baik itu akan kami jadikan teladan dan yang buruk itu kami jadikan sempadan.
Saya bagi pihak rakan-rakan mengucapkan selamat berpisah kepada guru-guru dan rakan-rakan sekalian.
Kalau ada sumur di ladang,
Bolehlah saya menumpang mandi;
Kalau ada umur yang panjang,
Bolehlah kita bertemu kembali.
Sekian, terima kasih.
Contoh jawapan 3
Dengan perlahan-lahan aku melangkah masuk ke rumah melalui pintu belakang. Akan tetapi, dengan tidak disangka-sangka ayah terdengar bunyi pintu dibuka ‘krek……’ . “Siapa di dapur!” ayah bersuara. “Kali ini nahas aku,” bisik hati kecilku.
Aku terus menuju ke bilik air. Belum sempat aku membuka pintu, ayah telah tercegat di depanku. “Zali pergi kemana tadi? Kenapa tak beritahu ayah dan ibu? Kenapa?!…” Aku terpaku, terkunci mulutku untuk berkata-kata, membisu seribu bahasa.
Ayah terus berkhutbah. “Lain kali kalau hendak pergi kemana-mana beritahulah kepada ayah atau ibu. Budak baik patut meminta kebenaran ibu bapa sebelum keluar rumah supaya tidak menimbulkan kerisauan kepada orang tua”.
“Ayah dah tahu segala-galanya, tak payahlah Zali hendak beri alasan lagi. Tadi kawan ayah telefon, nampak Zali dengan kawan-kawan sedang melepak di pasaraya”. Ayah terus menyerangku.
Kini giliran ibu pula, “Zali memang suka membuang masa. Bukankah lebih baik Zali duduk di rumah mengulangkaji pelajaran, lagipun UPSR sudah hampir benar. Zali ingat, mudah untuk mendapat 5A? Pergi mandi! Jangan buat lagi”.
Selepas mendengar kata-kata ayah dan ibu, aku pun mengakui kesalahan aku dan segera meminta maaf kepada ayah dan ibu. Mereka tersenyum lalu mengusap kepala aku. Kini, aku telah insaf. Aku berjanji tidak akan melakukan kesalahan seperti itu lagi.
Cadangan Aktiviti di atas:
• Garisi isi penting yang terdapat dalam contoh karangan yang diberi.
(3 minit untuk karangan)
• Tukarkan maklumat contoh karangan yang diberikan dengan maklumat anda.
( 5 minit untuk sebuah karangan )
SELAMAT MENCUBA
SELAMAT BERJAYA
sayap patah sudah cacat,orang membuat kita mencatat
BalasPadam