Jumaat, 28 Ogos 2009

UJIAN PENULISAN BAHAGIAN B

UJIAN PERCUBAAN 4


UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH 2009

BAHASA MELAYU

Soalan 1

Pada cuti semester yang lalu, pelbagai aktiviti yang menarik telah diaturkan oleh keluarga anda. Perihalkan mengenai salah satu aktiviti tersebut.

ATAU

Soalan 2

Anda mempunyai seorang kawan karib. Sejak akhir-akhir ini, kawan anda itu selalu termenung dan pelajarannya turut merosot. Apakah tindakan anda untuk mengatasi masalah kawan anda itu.

ATAU

Soalan 3

Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti lawatan sambil belajar yang dianjurkan pihak sekolah.
Tulis faedah-faedah mengikuti lawatan tersebut.


KERTAS SOALAN TAMAT



Contoh jawapan 1

Hatiku melonjak-lonjak riang, tidak sabar rasanya menunggu harinya. Begitulah perasaanku apabila diberitahu oleh ayah bahawa kami akan bercuti di sebuah pulau peranginan. Di mana ya? Ayah masih berahsia kepada kami.

Lamunanku tersentak apabila mendengar suara ayah, “Turun!...kita dah sampai ke jeti.” Lumut, perkataan yang tertulis di pintu masuk ke jeti. Sahlah sekarang, bahawa ayah akan membawa kami ke Pulau Pangkor. Aku menjerit. “Yahoo!…” Ayah dan ibu tersenyum melihat gelagat kami tiga beradik.

Selepas setengah jam, kami pun sampai ke calet tempat kami menginap. Ayah menyewa sebuah kereta lalu membawa kami bersiar-siar mengelilingi pulau. Kami dapat melihat pantai yang putih bersih dan laut yang membiru. Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Pokok-pokok kelapa melambai-lambai, seolah-olah menyambut kedatangan kami.

Pada sebelah malam, ayah membawa kami ke sebuah restoran di tepi laut untuk menikmati makanan laut yang sungguh segar dan enak. Kami makan dengan sepuas-puasnya. Gulai ketam, udang, sotong dan ikan bakar menjadi hidangan yang cukup istimewa sehingga menjilat jari.

Esoknya, pagi-pagi lagi kami sudah melangkah ke gigi air tidak jauh dari calet penginapan kami. Kami bermandi-manda di air yang jernih dan sejuk. Saya dan adik membina istana pasir. Abang pula mengutip kulit-kulit siput. Ayah telah merakamkan segala pergerakan kami dengan kamera digitalnya untuk dijadikan kenangan.

Selepas bercuti di situ selama empat hari, kami pun berkemas untuk pulang. Sebelum bertolak, kami singgah di gerai untuk membeli sedikit cenderahati. Akhirnya, kami pulang dengan membawa seribu kenangan manis yang tidak mudah kami lupakan.


Contoh Jawapan 2

Perubahan sikap Herlina kawan karibku ini dapat aku rasakan sejak ayahnya meninggal dunia. Herlina kelihatan murung dan kurang bersemangat untuk belajar lantaran itu, tidak hairanlah jika prestasi pelajarannya semakin merosot.

Aku dan rakan-rakan berusaha menasihati Herlina supaya sentiasa berdoa kepada Allah semoga diberi ketabahan dan ketenangan. Aku sering mengajaknya berbual-bual dan berbincang. Aku dan rakan-rakan akan memastikan Herlina sentiasa diberi perhatian setiap hari. Namun, sikapnya tidak banyak berubah.

“Herlina perlu menjadikan apa yang telah berlaku sebagai satu cabaran. Sebagai anak sulung, kamu perlu berjaya dengan cemerlang untuk membantu keluarga”, kata-kata Cikgu Zamrud memberi perangsang kepada Herlina apabila melihat prestasi akademik Herlina semakin merosot dalam ujian baru-baru ini.

Sebagai seorang kawan karib, aku aku tidak patah semangat, aku terus berusaha mendampingi Herlina. Aku telah mengajaknya menemui kaunselor sekolah Puan Mustika Aman. Nampaknya, daripada beberapa pertemuan yang telah diaturkan, telah mula memberikan keyakinan kepada Herlina.

Selain itu, aku juga berusaha mengajak Herlina ke rumahku untuk berbincang tentang pelajaran. Kami sekeluarga menganggap Herlina seperti keluarga kami sendiri. Kami melayannya dengan mesra dan pada hujung minggu aku dan keluarga akan menziarahi keluarga Herlina atau pergi berkelah bersama-sama.

Setelah empat bulan berlalu, kini Herlina telah kembali ceria dan dia begitu yakin untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Aku turut gembira dengan perubahan Herlina dan guru-guru di sekolah turut memberi perangsang kepadanya untuk berjaya. Aku sungguh bangga kerana telah dapat membantunya.
.
Contoh Jawapan 3

Jauh berjalan luas pandangan ialah ungkapan yang mengambarkan seseorang akan memperolehi banyak pengalaman jika banyak berjalan atau mengikuti lawatan.

Justru itu, lawatan merupakan satu aktiviti yang sangat berfaedah kepada para pelajar. Dengan menyertai aktiviti tersebut seseorang pelajar akan memperolehi banyak maklumat. Contonya jika melawat ke Melaka, kita akan dapat melihat banyak tempat-tempat bersejarah.

Selain itu, semangat patriotisma lebih mudah disemai sekiranya kita melawat ke tempat-tempat bersejarah. Contohnya jika melawat Memorial Tun Abdul Razak, kita dapat mengetahui perjuanagan bekas Perdana Menteri Malaysia.

Setelah penat belajar, melancong merupakan cara terbaik bagi seseorang untuk merehatkan fikiran dan tubuh badan. Fikiran akan lebih tenang dengan menyertai aktiviti lawatan. Kita akan lebih bertenaga dan bersemangat.

Industri pelancongan, di negara kita memerlukan sokongan daripada orang ramai terutamanya rakyat tempatan. Dengan pelbagai aktiviti lawatan akan mendorong lebih banyak lagi hotel-hotel dan rumah rehat dibina. Dengan itu akan dapat meningkatkan industri pelancongan dan ekonomi negara.

Kesimpulan daripada pernyataan di atas jelaslah kepada kita bahawa lawatan sememangnya banyak mendatangkan faedah. Sama ada kepada diri sendiri atau kepada negara. Janganlah kita jadi seperti katak di bawah tempurung.

1 ulasan: