Selasa, 28 Jun 2011

uji 4

Jawab semua soalan di bawah;


1 Kamu akan mengambil bahagian dalam pertandingan syarahan. Tajuk syarahan yang kamu ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar’. Tuliskan syarahan kamu itu selengkapnya.

2 Persatuan atau kelab yang kamu sertai bercadang untuk mengadakan satu ekspedisi. Sebagai setiausaha, kamu diminta menulis sepucuk surat kepada Guru Besar sekolah kamu untuk meminta kebenaran berhubung perkara tersebut.

Tuliskan surat itu selengkapnya.

3 Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku….

Sambung cerita di atas selengkapnya.


Contoh Jawapan Soalan 1

Yang saya hormati, Tuan Pengerusi Majlis, para hakim yang arif lagi bijaksana, guru-guru, dan hadirin sekalian. Assalamualaikum dan salam sejahtera. Tajuk syarahan saya pada hari ini ialah ‘Sayangilah Alam Sekitar .’

Alam sekitar yang bersih dan indah perlu dipelihara untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Apakah langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan setiap insan menyayanginya?

Hadirin sekalian.

Aktiviti yang boleh menjejaskan flora dan fauna hendaklah dikawal. Hal ini demikian kerana jika tidak dikawal, akan mengakibatkan berlakunya bencana alam seperti banjir, tanah runtuh dan sebagainya.

Selain itu, kita juga hendaklah memastikan kebersihan alam sekita tidak dicemari oleh unsur-unsur yang boleh membawa kemusnahan seperti sisa-sisa toksik, sampah sarap, dan tumpahan minyak.

Penguatkuasaan undang-undang perlu dijalankan dengan lebih keras. Denda dan hukuman yang berat perlu dikenakan kepada individu atau kumpulan yang melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan dan memusnahkan keindahan alam.

Hadirin sekalian,

Marilah kita bersama-sama memikul tanggungjawab bagi menentukan dunia yang kita diami ini terus terpelihara, bersih, dan indah. Jika anda sayang diri anda, ‘sayangilah alam sekitar!’.

Contoh Jawapan soalan 2

Setiausaha Kelab Rekriasi,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan.


Tuan Guru Besar,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan. 05 MEI 2011

Tuan,

Kebenaran Mengadakan Ekspedisi Berbasikal ke Bagan Lalang
Sukacita dimaklumkan perkara di atas adalah dirujuki.

2 Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kelab Rekriasi pada 01 April 2011, telah bersetuju untuk mengadakan ekspedisi ke pantai peranginan tersebut.

3 Tujuan ekspedisi ini adalah untuk membina ketahanan diri pelajar. Selain itu, ekspedisi ini juga diharapkan dapat mendedahkan pelajar mengenali satu-satunya pantai peranginan di daerah ini, di samping memupuk semangat kerjasama di kalangan para peserta.

4 Jika tiada apa-apa halangan, ekspedisi ini akan disertai oleh 40 orang pelajar dan empat orang guru. Mengikut perancangan, ekspedisi ini akan diadakan pada 24 dan 25 Mei 2011.

5 Oleh itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat menimbangkan permohonan ini. Dengan kebenaran dan sokongan daripada pihak tuan diharap dapat menambah pengalaman dan pengetahuan para peserta yang tidak boleh didapati di sekolah.

6 Akhir kata, saya bagi pihak Kelab Rekriasi mengucapkan terima kasih atas segala pertimbangan dan perhatian yang tuan berikan.

Sekian, terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Nordin Sulung

(NORDIN BIN SULUNG)

Setiausaha Kelab Rekriasi,

Sekolah Kebangsaan Taman Pantai Sepang Putra

43950 Sungai Pelek,

Sepang,

Selangor Darul Ehsan.

Contoh jawapan soalan 3

Aku dan beberapa orang rakan sedang membersihkan tapak untuk mendirikan khemah. Tiba-tiba salah seorang rakanku menjerit, “Mastura pengsan!”….

Aku dan Jamiah tergamam seketika. Kami meghampiri Mastura. Muka Mastura kelihatan pucat dan tidak bermaya. Kami segera memapah Mastura dan membawanya ke bawah pokok. Aku menyuruh Jamiah mengambil kotak ubat yang kami bawa.

Aku pasti Mastura pengsan kerana keletihan. Aku membuka butang bajunya, sambil mengipas-ngipaskannya. Jamiah mengeluarkan minyak angin lalu menyapukannya di bahagian kepala dan lehernya. Lima minit berlalu, namun Mastura masih belum sedar.

Aku dan Jamiah segera melaporkan hal tersebut kepada Cikgu Zaki yang berada di khemah utama. Cikgu Zaki mengambil keputusan untuk membawa Mastura ke hospital.

Sampai di hospital , aku memberitahu doktor mengenai kejadian yang menimpa Mastura. Mastura telah dibawa ke unit rawatan rapi. Aku berdoa semoga Mastura akan selamat.

Sepuluh minit kemudian, doktor yang merawat Mastura menepuk-nepuk bahuku sambil menyatakan bahawa Mastura pengsan kerana masalah pernafasan. Mujurlah dia mendapat pertolongan segera. Aku bersyukur kerana Mastura selamat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan